NOTIS:
Khabar angin Hanafiah tenat tidak benar
KEMAMAN 31 Ogos - Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat menafikan dakwaan beliau dalam keadaan tenat setelah menjalani prosedur pemindahan buah pinggang di China baru-baru ini.
Hanafiah berkata, penyebaran khabar angin di laman sosial mengenai tahap kesihatannya itu adalah tidak benar kerana keadaannya bertambah pulih dan dijangka kembali bertugas pada 1 November depan.
Katanya, segala urusan pembedahan pemindahan buah pinggang pada 31 Julai lalu termasuk rawatan berjalan lancar, bahkan proses pemulihannya ketika ini turut disifatkan agak cepat berbanding pesakit lain.
"Alhamdulillah, berkat doa rakyat urusan saya dipermudahkan dan keadaan kesihatan pun semakin baik selepas sebulan menjalani pembedahan.
"Terima kasih kepada semua yang mendoakan saya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gong Pauh di sini hari ini.
Hanafiah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai berkata, sepanjang tempoh cutinya itu tugas beliau kini dipangku Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Katanya, sebahagian tugasan berkenaan turut dilaksanakan Timbalannya, Alias Harun yang merupakan ADUN Rantau Abang bagi mewakilinya ke majlis atau program berkaitan.
"Aktiviti di peringkat DUN juga berjalan seperti biasa dengan digerakkan Pemuda Pas bahagian dan Pejabat DUN.
"Antaranya program penyerahan sumbangan kepada fakir miskin, ziarah orang sakit dan kematian di samping pelaksanaan program belia seperti pertandingan futsal, bola sepak dan permainan video popular, PlayerUnknown's Battlegrounds (PUBG)," katanya. - UTUSAN ONLINE
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments
Post a Comment