NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kecilkan Saiz Kabinet Dan Kurangkan Gaji Menteri.


Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor.

Kegelisahan awam sudah tak mampu dibendung dengan pelbagai isu yang melanda tanahair ini, hubungan antara kaum yang semakin rapuh dan tahap sosio ekonomi yang semakin memburuk di bawah kerajaan PH. Seperti gerah yang datang menerpa,segalanya kelihatan hodoh seolah hilang keberkatan.

Antara isu yang melingkari rakyat ialah pengganguran kalangan anak muda, harga barang yang tak terkawal, skim pencen yang akan dihentikan, pendakwaan terpilih, keceluparan pemimpin kerajaan yang masih bermentaliti pembangkang dan seribu satu isu yang menunjal akal.

Kerajaan PH yang menaiki kuasa dengan taufan fitnah seolah masih tak mempunyai rentak dan matlamat untuk memerintah. Polemik dan intriq sesama mereka tak mampu disembunyikan dibawah nyiru, perbalahan dalaman diantara pemimpin PKR, keghairahan pemimpin DAP untuk memuaskan kaum utama penyokong mereka seolah inilah penggal terakhir mereka untuk memerintah. Dr Mahathir tidak mampu mengawal anggota kabinet yang merasa besar kepala kerana jumlah kerusi parti Tun Mahathir yang kerdil.

Melihat situasi kebobrokan yang semakin membarah ini terutama alasan kerajaan akan kekurangan wang dalam kantung negara, juga dengan alasan tumpukan hutang negara maka saya mencadangkan agar rakyat mendesak agak saiz kabinet dikecilkan. Gaji dan elaun Menteri dan Timbalan Menteri wajar dikurangkan untuk mengurangkan masalah kewangan negara.

Kempen turunkan gaji menteri dan kecilkan saiz kabinet wajar disuarakan oleh pelbagai parti politik, jaringan sivil dan gerakan swadaya masyarakat. Sudah tiba masanya kita menunjukkan keseriusan menggerakkan kempen ini diseluruh akar umbi masyarakat, paralel dengan nisbah kesusahan yang ditanggung rakyat dengan ketololan pemimpin negara yang menang PRU 14 akibat pancingan janji manifesto yang akhirnya dibakulsampahkan seperti ludahan air sireh di jalanan.

Setiap hari tanpa rehat sepicing pun, pasti ada Pak Menteri atau Timbalan Menteri yang dibahan rakyat akibat berbohong dan menunjukkan kedunguan mereka. Pemimpin adalah pembaca serta wajib mempunyai kognitif serta kompetensi yang pakej, malangnya pimpinan PH adalah kelompok malas membaca, apatah lagi untuk menulis idea-idea mapan untuk membangunkan negara.

Apabila kurang berbudaya ilmu, maka politikus jalanan yang akhirnya merengkuh kuasa melalui fitnah keji ini seperti rusa masuk kampung apabila berada dipos strategik negara. Polisi yang dibuat oleh anggota kabinet juga cacamarba sehingga pusingan U menjadi lumrah mainan, mengundang rasa mual rakyat yang memerhati tingkah anggota pentadbiran negara.

Kalau dianalisa kepada paparan dan hantaran pak Menteri kerajaan PH dimedia sosial, maka kelihatan kontang idea, seolah kanak-kanak yang terperangkap dalam tubuh orang dewasa dan kurang bermanfaat kepada pembangunan negara. Segalanya kelihatan janggal dan merepek namun kita tak perlu merasa kepelikan kerana sebahagian mereka menggunakan ijazah palsu dan penggalang sijil SPM. Mereka mungkin hebat memasak didapur, menggalang unjuk rasa, mengoperasikan bilik saraf parti politik,namun duduk menggubal polisi negara bukan tempat mereka. Saya bertanya kalian, mengapa perlu 70 k sehingga 80k sebulan dibazirkan kantung wang negara untuk membayar gaji dan pelbagai elaun seorang Menteri dan Timbalan Menteri?. Ayuh teman-teman, kita gelorakan kempen ini, paling kurang semoga anggota Kabinet sedar diri bahawa mereka dilantik bukan untuk membuat kerja-kerja bodoh dan membuang masa percuma diruang paling signifikan tanah leluhur ini.

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI Pusat)

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo