NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Iran Bakal Hadapi Ancaman Amerika Syarikat, Israel - Muhammad Khalil


Oleh : Fidee Aziz

KUALA TERENGGANU, 23 September - Iran bakal menghadapi ancaman terbesar daripada Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya, Israel apabila pakatan mereka mendapat alasan untuk menyerang negara itu melalui loji penapisan minyak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, pakatan AS dan Israel yang berupaya menimbulkan perang dunia akan turut menjayakan hasrat mereka untuk melemahkan Iran

“Setelah berjaya mengekang pengaruh Iran dan mengasingkan Iran daripada dunia antarabangsa, AS mahupun Israel kali ini mendapat alasan yang cukup kuat untuk menyerang Iran.

"Baru-baru ini loji penapisan minyak Abqaiq, yang terbesar di dunia milik Aramco, syarikat minyak dan gas milik Arab Saudi telah diserang oleh drone yang dipercayai milik tentera Houthi di Yaman," ujarnya.

Menurut beliau, serangan ke atas loji penapisan minyak tersebut menyemarakkan lagi api peperangan yang sememangnya sudah sedia membara di rantau Timur Tengah.

Namun, yang dikesali adalah sikap membisu organisasi-organisasi yang sepatutnya lantang bersuara menentang kezaliman.

"Yang paling menyedihkan sekali ialah Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) dan Liga Arab, semenjak berlakunya konfrontasi ini mereka langsung tidak bermaya dan diam seribu bahasa.

"Perdana Menteri Iraq, Adil Abdul Mahdi memberi gambaran bahawa peperangan besar akan berlaku akibat daripada peristiwa tersebut dengan bumi Iraq akan menjadi medan pertembungan utama Amerika Syarikat dan sekutunya menentang Iran," tambah beliau.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo