Lebih setahun saya meninggalkan dunia penulisani. Selama itu ‘Kalam Perantau’ sunyi Kalau tidak silap ingatan, tulisan terakhir saya dalam ‘Kalam Perantau’ bertajuk Pulau Pinang terus kekal di bawah PH diarkibkan dalam laman web kalamperantau.wordpress.com bertarikh 5hb Julai, 2018.
Kolum ‘Kalam Perantau’ sebelum ini saya tulis saban minggu di akhbar cetak, Harakah merupakan ulasan politik semasa dari seorang pemerhati politik tanahair. Kali ini akhbar online, 1Media.my pun dah beberapa kali mempelawa saya menulis dengan mereka. Begitu juga dengan Ketua Pengarang Harakah, Wan Nordin Wan Yaakob juga beberapa kali mempelawa saya kembali menulis dengan Harakah semula.
Sebelum menulis dalam Harakah, saya telah menulis dalam pelbagai media sejak akhir 1980an, bermula dengan akhbar Watan, Mingguan Politik, Siasah dan sebagainya termasuik pelbagai majalah yang sudah tidak ada lagi di pasaran sekarang ini kecuali Harakah.
Saya mula mengikuti politik secara dekat adalah pada pilihanraya umum (PRU) ke5 pada tahun 1978 ketika PAS bertanding bersendirian selepas di’tendang’ dari Barisan Nasional yang disertainya menjelang pilihantraya umum ke4 pada tahun 1974.
Kira-kira 30 tahun saya berkecimpung dalam bidang penulisan. Bidang penulisan ini bukanlah kerjaya bagi saya. Saya juga tidak mengikuti latihan formal sebagai wartawan. Saya menulis kerana minat yang mendalam. Saya bukanlah seorang penulis yang istiqamah dalam bidang penulisan ini kerana dah banyak kali berhenti. Kemudian menulis kembali. Ramai yang mencadangkan saya kembali ke bidang ppenulisan semula.
Hari ini 16hb September, 2019 saya gagahkan diri mengetuk ‘keyboard’ untuk menulis kembali bagi memenuhi hasrat sahabat yang ingin melihat saya kembali menulis. Secara jujurnya saya tidak tahu pun apa yang patut saya tulis pada hari ini.
Terkial-kial memikirkan apa yang patut saya coretkan dalam tulisan kali ini. Disebabkan hari ini 16hb September hari Malaysia, ada baiknya saya coretkan sedikit tentang Hari Malaysia ini.
Hari Malaysia
Hari Malaysia disambut pada 16 September setiap tahun untuk memperingati penubuhan persekutuan Malaysia di tarikh yang sama pada tahun 1963. Ia menandakan penggabungan bersama Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura bagi membentuk Malaysia. Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman membacakan Pemasyhuran Malaysia di Stadium Merdeka pada pagi 16 September 1963.
Maka dengan nama Allah Yang Maha Murah lagi Maha Mengasihani, saya Tunku Abdul Rahman Putra ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Perdana Menteri Malaysia dengan persetujuan dan perkenan ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Yang Terutama Yang di-Pertuan Negeri Singapura, Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah dan Yang Terutama Gabenor Negeri Sarawak dengan ini mengisytihar dan memasyhurkan bagi pihak umat Malaysia bahawa mulai daripada Enam Belas hari bulan September tahun Seribu Sembilan Ratus Enam Puluh Tiga bersamaan dengan Dua Puluh Lapan hari bulan Rabiul Akhir tahun Hijrah Seribu Tiga Ratus Lapan Puluh Tiga, Malaysia yang mengandungi Negeri Pahang, Negeri Terengganu, Negeri Kedah, Negeri Johor, Negeri Sembilan, Negeri Kelantan, Negeri Selangor, Negeri Perak, Negeri Perlis, Negeri Pulau Pinang, Negeri Melaka, Negeri Singapura, Negeri Sabah dan Negeri Sarawak dengan izin dan kehendak Allah Rabbul–Alamin akan kekal menjadi sebuah Negara demokrasi yang merdeka lagi berdaulat serta berasaskan kebebasan dan keadilan dan sentiasa mempertahankan serta memelihara keamanan dan kemesraan umatnya dan mengekalkan keamanan di antara segala bangsa di dunia ini.
16 September, Hari Malaysia merupakan cuti am di negeri Sabah sempena hari keputeraan Yang Di-Pertua Negeri. Walaupun pada awalnya Hari Malaysia bukan merupakan cuti am di Sarawak dan Semenanjung Malaysia, namun mulai tahun 2010, Hari Malaysia juga merupakan cuti am di semua negeri di Malaysia..
Sambutan Hari Malaysia lebih meriah di sambut oleh rakyat Sabah dan Sarawak. Sambutan Hari Malaysia pada tahun ini akan diadakan di Padang Merdeka Kuching pada 16 September 2019 bertemakan Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih.
Sambutan Hari Malaysia kali ini diharap dapat meningkatkan semangat patriotik dan cinta kepada negara di samping meningkatkan semangat perpaduan bersama rakyat di dalam Malaysia yang berbilang kaum, agama dan bangsa.
Parti Islam SeMalaysia (PAS) juga tidak ketinggalan memeriah dan menyambut Hari Malaysia pada hari ini 16 September tetapi lokasinya diadakan di sebuah rumah panjang di Bintulu.
No comments
Post a Comment