NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

1,000 pelajar UMT berhimpun bantah gabungan


KUALA NERUS 12 Sept. - Kira-kira 1,000 pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berhimpun secara aman di sini hari ini bagi membantah cadangan penggabungan dengan Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza).

Himpunan aman yang berlangsung selama lebih sejam di Dewan Sultan Mizan kampus itu digerakkan oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bagi mengumpul suara pelajar secara kolektif berhubung isu berkenaan.

Yang Dipertua MPP, Muhammad Hasyimi Hasyim Mohd. Suddin berkata, mereka sebulat suara menolak sepenuhnya cadangan itu bagi mengekalkan bidang tujahan UMT dalam ilmu kelautan di samping turut mengemukakan beberapa tuntutan.

"Antara tuntutan itu termasuk kami mahu pelajar UMT dilibatkan sama dalam urusan penggabungan selain mahu keadilan dari segi identiti universiti ini.

"Kami akan terus membantah gabungan ini agar UMT terus selamanya menjadi UMT," katanya kepada pemberita selepas bantahan aman itu.

Muhammad Hasyimi Hasyim berkata, pihaknya juga akan menghantar satu petisyen menolak cadangan penggabungan itu kepada Kementerian Pendidikan dalam masa terdekat.

Sementara itu, Naib Yang Dipertua 1 MPP, Nur Ainaa' Meor Ahmad Nazizan, 22, berkata, selain memperjuangkan nasib 10,000 pelajar UMT, bantahan tersebut juga bertujuan membela nasib semua kakitangan dan warga institusi berkenaan di samping alumninya yang lain.

"Kami tetap dengan pendirian ini kerana kami percaya UMT memiliki kekuatan tersendiri dan tidak akan ada lagi universiti lain seperti UMT," katanya.

MPP UMT turut menjalankan petisyen dalam talian berhubung bantahan penggabungan tersebut dan setakat pukul 7 malam ini, seramai 9,000 warga universiti itu telah menandatanganinya. - UTUSAN ONLINE

Sumber: https://www.utusan.com.my/pendidikan/1-000-pelajar-umt-berhimpun-bantah-gabungan-1.969882

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo