Oleh:Mohd Fadli Ghani
Institut al-Balaghul Mubin
13 Zulhijjah 1440 / 14 Ogos 2019
Anda ingin membaca buku ini untuk memahami sikap orang Cina terhadap hak-hak orang Melayu?, sila layari dan like fb saya di https://m.facebook.com/mohdfadlighani
KETUANAN Melayu adalah isu yang telah lama diangkat oleh para pejuang bangsa, sejak sebelum merdeka lagi. Mereka menuntut supaya orang Melayu sebagai pribumi bukan sahaja diberikan hak kerakyatan, tetapi hak ini juga mestilah dinyatakan secara jelas di dalam Perlembagaan Persekutuan. Tetapi, para pendatang khususnya orang-orang Cina yang mendapat sokongan penjajah berusaha untuk menuntut supaya mereka sebagai bangsa pendatang juga diberikan hak yang seimbang, termasuk.diberikan hak kerakyatan secara mudah, iaitu jus soli. Parti-parti Melayu seperti PAS, Parti Melayu Semenanjung (PMS), Parti Rakyat Malaya (PRM) dan juga parti-parti di peringkat negeri begitu lantang menuntut supaya hak ketuanan Melayu ditegakkan, terutama semenjak proses menuntut pilihan raya segera mulai 1953. Namun begitu, kebergantungan Umno kepada MCA telah menyebabkan orang-orang Cina bukan sahaja mendapat kerakyatan mudah, tetapi orang Melayu terlepas hak ketuanan, lalu digantikan dengan hak-hak istimewa.
PAS yang bertegas dengan tuntutan hak ketuanan ini pada dekad 1960-an, telah beberapa kali membawa usul di Dewan Rakyat supaya hak ini dijamin oleh Perlembagaan, tetapi ditolak oleh Perikatan. Kesannya, orang-orang yang mendapat hak mengundi melalui kerakyatan mudah telah mencetuskan rusuhan kaum pada 13 Mei 1969. Isu perkauman dan tindakan mempersoalkan perkara-perkara sensitif yang menjadi hak orang Melayu terus berlanjutan sehingga 1980-an. Pada pertengahan 1986, para pemimpin Cina telah mengkritik Dasar Ekonomi Baru (DEB) secara terbuka di akhbar-akhbar, yang menyebabkan Dato' Abdullah Ahmad, seorang penasihat politik Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamed membuat ucapan mempertahankan hak ketuanan orang Melayu di Singapura dalam bulan Ogos 1986. Ucapan beliau ini kemudiannya mengundang pelbagai reaksi pemimpin Cina. Konflik berpanjangan ini akhirnya membawa kepada perhimpunan di Stadium Jalan Raja Muda pada 1987, sekali gus menyebabkan berlakunya Operasi Lalang 1987.
Dato' Abdullah Ahmad (m. 2006) adalah seorang pemimpin politik veteran yang berpengaruh dan pernah menjadi Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Tun Abdul Razak. Tokoh yang berasal dari Kok Lanas, Kelantan ini dilahirkan pada 1933 dan mendapat pendidikan di Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK), sebelum menyambung pelajaran di Cambridge University dan Harvard University. Pada asalnya beliau merupakan seorang wartawan, sebelum aktif dalam politik dan memegang jawatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Pada zaman Tun Hussein Onn, beliau ditahan ISA kerana dituduh terlibat dengan komunis, tetapi menjadi penasihat kanan Dr Mahathir kemudiannya. Beliau juga pernah menjadi Duta Khas ke PBB dan Ketua Pengarang Kumpulan Berita Harian, sebelum berhenti pada zaman Datuk Seri Abdullah Badawi. Isu ketuanan Melayu yang beliau bangkitkan di Singapura pada 30 Ogos 1986 telah menimbulkan reaksi keras pemimpin MCA, Gerakan dan DAP termasuk Lee Lam Thye dan Dr Kua Kia Soong.
Buku Ketuanan Melayu (Gateway Publishing House, Kuala Lumpur, 1987) ini asalnya adalah ucapan Dato' Abdullah Ahmad di Singapura pada 30 Ogos 1986, kemudian dikompilasikan oleh Abdul Kadir Adabi bersama beberapa artikel lain yang memberikan reaksi terhadap ucapan tersebut. Pemimpin-pemimpin Cina memberikan pandangan yang keras terhadap hak-hak orang Melayu dan dasar affirmative action kerajaan melalui DEB. Buku ini pada asasnya menyiarkan semula ucapan Dato' Abdullah Ahmad yang bertajuk "Ketuanan Melayu" dan juga tulisan-tulisan reaksi seperti "Kepimpinan Melayu" oleh Abdul Kadir Adabi dan "Masa Depan Orang Melayu" oleh Hassan Ismail. Pemimpin chauvinist Cina yang pernah memimpin DAP, Suaram dan Dong Jiao Zhong, Dr Kua Kia Soong juga turut memberi kritikan menerusi artikel bertajuk "DEB Dasar Pilih Kasih," dan dua artikel pemerhatian oleh Abdul Kadir Adabi, "Reaksi Orang Cina" dan "Reaksi Orang Melayu."
No comments
Post a Comment