NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tandas kotor: Revolusi minda ubah sikap masyarakat


oleh: TAN SRI LEE LAM THYE

Kebanyakan pelawat asing ke Malaysia akan bercerita perkara yang baik tentang negara kita kecuali keadaan tandas awam termasuk di kedai dan restoran.

Perdana Menteri sendiri telah menyuarakan rasa malu terhadap keadaan tandas awam di negara ini. Tun Dr. Mahathir Mohamad semalam berkata bahawa beliau sering melakukan pemeriksaan tandas awam dan mendapati ia selalu berada dalam keadaan kotor.

Walaupun kempen tandas bersih sering diadakan namun nampaknya tidak banyak yang dicapai dan budaya tandas kotor ini terus menjadi isu.

Saya telah membangkitkan isu ini lebih 20 tahun dan turut menulis kepada media dan pihak berkuasa berkaitan untuk menyelesaikan masalah ini. Malangnya, ia seolah-olah tidak membawa sebarang perubahan.

Mungkin menjadikan negara maju sebagai penanda aras agak terlampau tinggi. Sebaliknya kita harus mencontohi beberapa negara membangun seperti negara jiran Thailand yang terkenal dengan tandas bersih termasuk di kawasan luar bandar.

Pernah dilaporkan bahawa 61 peratus daripada 10,257 tandas awam di Malaysia berada dalam keadaan teruk.

Hanya 350 atau 3.4 peratus yang mencapai penarafan lima bintang manakala 1,086 atau 10 peratus pula dalam keadaan amat teruk untuk mendapat penarafan satu bintang yang paling minimum.

Audit yang dibuat Jabatan Kerajaan Tempatan menunjukkan kebanyakan tandas awam kita berada dalam keadaan tidak memuaskan.

Malah tandas di kompleks beli-belah dan restoran-restoran mewah juga tidak bersih dan berbau walaupun orang ramai perlu membayar untuk menggunakan kemudahan tersebut. Pengusaha makanan lebih berminat mencari jalan untuk meningkatkan kualiti makanan tetapi bukan tandas mereka.

Ia berbalik kepada soal penyelenggaraan, penggunaan dan tentu saja budaya kebersihan dan kesedaran sivik.

Anak-anak kita harus memahami dan mengamalkan pendidikan sivik yang diajar di sekolah dan bukan hanya menghafalnya untuk lulus peperiksaan.

Isu pengguna yang tidak mengetahui cara menggunakan tandas dengan betul dan isu vandalisme adalah perkara yang perlu ditangani.

Reka bentuk tandas juga perlu diperbaiki kerana saya menyedari bahawa rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang mempunyai cara berbeza dalam menggunakan kemudahan tersebut. Sebagai contoh, ada yang tidak suka menggunakan urinal tetapi memilih kubikel untuk membuang air kecil.

Sudah tiba masanya untuk orang ramai dididik tentang cara menggunakan tandas dengan betul. Terdapat juga keperluan untuk menyemai budaya menjaga kebersihan tandas awam agar mesra pengguna.

Secara ringkasnya, kita memerlukan revolusi untuk menjadikan tandas kita bersih sepanjang masa dan tidak membiarkannya kotor.

Kita perlu melakukan revolusi terhadap pemikiran kita mengenai isu tandas. Kita tidak seharusnya berpandangan bahawa tandas itu sememangnya kotor dan kita tidak perlu berbuat apa-apa mengenainya.

Semua pihak berkuasa dan setiap rakyat Malaysia juga perlu menyemai budaya penyelenggaraan yang baik dan menjadikannya cara hidup. Janganlah kita berfikiran dunia ketiga dalam aspek penyelenggaraan walaupun mempunyai infrastruktur kelas pertama. Dalam hubungan ini adalah diharapkan Perdana Menteri menjadikan isu ini sebagai agenda nasional untuk pelaksanaan.

TAN SRI LEE LAM THYE ialah Aktivis masyarakat

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo