NOTIS:
Peningkatan Yuran IPT, Ke Arah Mahasiswa Ikat Perut
oleh: YB Shaharizukirnain Abdul Kadir
1. Isu peningkatan yuran perkhidmatan Universiti Teknologi Mara yang berlaku kenaikan sehingga 113% daripada RM328 kepada RM700 disifatkan sebagai Kerajaan tidak serius menangani isu mahasiswa ikat perut.
2. Sehingga kini, kenyataan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mengatakan bahawa Kerajaan akan menyalurkan bantuan makanan lengkap kepada mahasiswa universiti awam masih lagi tidak berlaku, yang berlaku adalah peningkatan yuran yang jelas semakin membebankan mahasiswa.
3. Sebelum ini, saya ada mencadangkan agar Kerajaan mengurangkan kos pengajian bagi golongan B40 agar mahasiswa dapat menggunakan wang tersebut bagi menampung kos sara hidup.
4. Kerajaan juga sewajarnya memperkasakan mekanisme ‘Wakaf Pendidikan’ agar sebahagian kos pengajian dapat dialihkan daripada bebanan para pelajar tanpa menjejaskan kewangan IPT berkenaan. Langkah ini ternyata telah terbukti berjaya, sebagai contoh, Universiti Al-Azhar yang merupakan institusi pendidikan tinggi dibiayai oleh sistem wakaf. Langkah ini juga sekaligus mampu mengurangkan kebergantungan dana kerajaan.
5. Saya menggesa agar Kerajaan PH terutamanya Kementerian Pendidikan Tinggi mengambil peduli dengan nasib rakyat yang mendepani masalah peningkatan yuran pengajian yang semakin meningkat. Saya juga berharap agar cadangan mengurangkan yuran kepada B40 serta pemerkasaan sistem waqaf ini diambil serius.
6. Kerajaan sewajarnya menonjolkan sikap peduli rakyat seperti mana yang dilaung-laungkan terhadap isu peningkatan yuran IPT yang jelas sekali membebankan mahasiswa dan tidak mustahil isu mahasiswa lapar, mahasiswa ikat perut berulang lagi.
“Islam Memimpin Perpaduan”
YB Shaharizukirnain Abdul Kadir ialah Ahli Parlimen Setiu
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments
Post a Comment