NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Negara Pincang, Elok Bubar Sahaja Pakatan Harapan


oleh: HAFEZ SABRI

1.    Kerajaan PH ketika ini dilihat seolah-olah tidak lagi berfungsi hingga hal ehwal rakyat dan agenda pembangunan negara dilihat terabai serta terpinggir. Semuanya angkara parti-parti komponen dalam PH secara terbuka sedang bersengketa sesama sendiri, bahkan saling menjatuhkan. Malah, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selaku ketua kerajaan terang-terangan dipertikai, didesak dan digugat.

2.    Nilai Eksekutif pihak kerajaan selaku pentadbir negara sudah hancur apabila banyak ketetapan yang telah dipersetujui, diperdebatkan sendiri oleh Menteri atau Timbalan Menteri di medan awam dan media. Apatah lagi bantahan emosi berbaur ugutan halus dari Ahli Parlimen dan politikus PH terhadap Tun M semakin dahsyat ketika ini. Ini membuktikan PH sememangnya tiada dasar dan hala tuju jelas serta merupakan 'pakatan' yang rapuh.

3.    Hatta, Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang dahulu kuat menyerang Perdana Menteri, kemudian mempotretkan manisnya hubungan mereka di dalam PH, tiba-tiba kembali menyanggah kuat Tun Mahathir. Lebih buruk, apabila Kit Siang menyuarakan kesangsian bernada tuduhan terhadap Tun M. Kononnya wujud 'teori konspirasi' bahawa isu-isu yang kontroversi kini dicipta kem Tun M bagi motif politik tertentu.

4.    Tetapi Kit Siang membutakan pula 'konspirasi' dari pelbagai tindakan yang mengepung Tun M untuk memaksanya menyerahkan jawatan Perdana Menteri yang dicipta dari 'Langkah Port Dickson'. Menunjukkan hal-hal sedemikian, secara 'teori konspirasi' kenapa ia seolah-olah sengaja dibiarkan DAP? Siapakah dalang yang mengatur dan mencaturnya?

5.   DAP kini dilihat menyerlahkan kerakusan kuasa sebenarnya apabila memfokuskan apa sahaja yang berkaitan Islam dan Melayu sebagai sasaran untuk diserang. DAP kini dilihat terlalu obses dengan kuasa dan jawatan, hingga sesiapa sahaja sedia diganyang untuk tunduk kepada kemahuan mereka.

6.    Malangnya, dalam pertembungan dicipta hingga menzahirkan sengketa tegang terhadap sensitiviti kaum dan agama ini, PKR dan PAN hanya diam membisu melihat hanya PPBM sahaja ketika ini yang mempertahankan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri dalam belbagai isu ketika diserang DAP. Apakah masing-masing sedang asyik dibuai dengan kedudukan dan jawatan lantas diam membisu dalam segala apa yang berlaku ketika ini?

7.    Maka pasti berkecailah 'harapan' dan segala impian rakyat pada jenama Malaysia Baru yang hakikatnya hanya retorik, kemungkiran janji, kepalsuan dan paling dahsyat adalah pengkhianatan. Terutama DAP yang dengan sesiapa sahaja mereka berkawan, pasti akhirnya bertelingkah, tikam belakang, memijak, mengkhadam hingga bermusuhan secara fanatik. DAP angkuh merasa boleh berdiri sendiri.

8.    Setelah pula PH hanyalah pawagam untuk pihak-pihak berkepentingan bersandiwara. Maka demi masa depan rakyat dan negara ini di mana mesti dibawa kembali ke landasan masyarakat majmuknya yang aman harmoni, DAP dan petualangnya mesti disingkirkan. Jika tidak, jalan paling selamat untuk semua pihak, adalah bubarkan sahaja PH setelah nyata ia tidak membawa apa-apa harapan.

"Islam Memimpin Perpaduan"

HAFEZ SABRI ialah Ketua Penerangan PAS Negeri Perak

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=2415683328497054&id=117086798356730

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo