NOTIS:
Menyapu Ubat Pada Luka Marawi: Pedulikah Kita?
Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor
Peta luka ummat Islam sentiasa memanjang senarainya. Menitip qunut nazilah kerana darah ummat yang ditumpahkan dengan cara yang tidak halal, daripada Gaza, Syria, Kashmir, Xinjiang, Afrika Tengah ,kini wajar dimasukkan sekali nama Marawi. Berjiran dengan Malaysia, Filiphina bukanlah asing kepada rakyat negara ini ,namun tak terjangkau penderitaan kepada anak cicit kerajaan Sulu ini. Sepanjang tempoh lima dekad pembantaian terhadap muslim di Mindanao ,lebih 100 000 muslim telah terkorban, jutaan yang tercedara bahkan terpaksa melarikan diri ke Sabah ,seterusnya mengheret isu hiliran yang lain.
Adalah langkah yang sangat tepat bagi Yayasan Amal Malaysia dengan kerjasama gerakan swadaya bangsa Moro, TSIS ( bagi pihak kerajaan Terengganu) menganjurkan International Conference on Marawi yang berlangsung selama tiga hari di Duyong Marina Resort Kuala Terengganu. Program impak masif yang membongkar kesengsaraan penduduk Islam Marawi selama puluhan dekad serta merancang usaha membangunkan kembali ibukota pesisir laut yang indah itu.
Marawi semudah kita menyebut Melawi di Kelantan adalah dua tempat yang berbeda, Marawi dijamu dengan airmata dan darah,manakala satu lagi terkenal dengan nasi kerabu daging bakar. Pusat kerajaan Mindanao ini dikenali sebagai Bandar Islam Marawi yang mana hampir 99 peratus adalah penduduk islam yang berjumlah 200,000 populasi. Kubah masjid dengan pancaran matahari laut menyerlahkan karektor bandar ini, lokasi Marawi terletak di selatan Pulau Mindanao Filipina. Sejarahnya panjang dan menggugah nurani, bangsa Moro adalah pemberani yang pernah berdada dengan penjajah Sepanyol, Amerika dan Jepun. Mereka menggenggam akidah sekuat menggigit akar kayu dengan geraham gigi.
Puluhan tahun gerakan pemisah berusaha mewujudkan kerajaan sendiri dengan identiti mereka sendiri yang sangat jauh berbeda dengan kerajaan pusat di Manila. Dalam masa terdekat Filipina akhirnya akan mengambil langkah kompromi dengan membenarkan kerajaan autonomi di Mindanao. Proses transisi inilah yang akan membuka ruang dan peluang untuk membangunkan Kota Marawi dan Wilayah Mindanao ini.
Peristiwa serangan kerajaan Filipina ke atas bandar Marawi itu berlaku pada bulan Mei 2017 lagi, dengan alasan kononnya memerangi pengganas Daesh, Maute dan Abu Sayyaf. Impak kerosakan kolateral dijangkakan apabila seluruh penduduk awam Marawi diminta keluar mengungsi sehelai sepinggang untuk sementara waktu . Namun penderitaan ini berlanjutan lebih daripada dua tahun, mengheret derita panjang kepada kesan berangkai yang lain.
Bandar Marawi yang indah gemalai itu kini hancur , diterjah serangan " carpet bombing" tentera Filiphina dengan euforia ketakutan masyarakat awam . Kota paling besar di Mindanao itu kini tidak boleh dimanfaatkan oleh warganya dan penduduk asalna tidak boleh pulang ke rumah masing-masing sehingga sekarang . Krisis kemanusiaan menjelma dengan wajah yang hodoh, serangan 2017 dahulu telah memusnahkan 95% struktur bangunan bandar di mana 3,152 bangunan telah musnah berantakan secara keseluruhan manakala 2,145 bangunan telah mengalami separuh kerosakan. Bangunan milik kerajaan awam , sistem pembentungan , saluran air terjejas dengan teruk sehingga menyukarkan kehidupan.
Peperangan atas alasan apa sekali pun akan menoreh luka yang dalam. Selama 5 bulan peperangan berlangsung pada tahun 2017 telah menyebabkan 47 orang awam terbunuh dan lebih 359,00 atau 72,000 keluarga kehilngan tempat tinggal dengan erti kata menjadi pelarian perang. Bandar Marawi mempunyai kira-kira 200 000 penduduk Muslim yang terlibat secara langsung menjadi mangsa perang tidak diendahkan nasib mereka oleh masyarakat antarabangsa.
Perang antara tentera kerajaan Filiphina dan separatis, elemen-elemen daesh dan sebagainya telah menyebabkan sekurang-kurangnya 3,000 keluarga lagi hidup merempat . Kanak-kanak, wanita dan orang tua sangat terkesan dengan penderitaan ini. Mereka menjadi pelarian di negara sendiri , hanya mampu berteduh di khemah plastik dengan latar sosial yang sangat terpuruk.
Persidangan International Conference Marawi (ICM) di bawah IFRD yang merupakan sebuah NGO Antarabangsa yang digerakkan penubuhannya oleh Yayasan Amal Malaysia ( YAM) terdiri daripada sepuluh buah negara diadakan bagi mencerahkan mata masyarakat dunia antarabangsa agar menyorot isu pembantaian Marawi ini sebagai suatu yang menusuk nurani dan perlukan pembelaan dan pemberdayaan semula. Peserta dan delegasi pelbagai negara mengerah akal untuk membincang langkah membangunkan semula Marawi, dengan peserta berprofil tinggi seperti mantan -mantan Menteri kanan Malaysia, tokoh-tokoh gerakan swadaya antarabangsa, ilmuan dan aktivis tegar.
Menurut Haji Apandi Mohamad, inilah julung kali dibuat sidang perbincangan untuk krisis Kota Marawi, menggerakkan pembelaan di peringkat antarabangsa dan melibatkan banyak pihak. Menurut Haji Husein Ismail ,Presiden YAM bahawa isu Marawi ini adalah berkait dengan dua perkara iaitu isu yang menimpa umat Islam dan isu kemanusiaan sejagat.
Tan Sri Datuk Seri Panglima Abdul Kadir Sheikh Fadzir yang membacakan resolusi sidang ini menyentuh isu bagaimana kita hendak membantu dan memulihkan semula masyarakat Marawi dan pembangunan semula di Marawi itu dengan gandingan semua pihak,kerajaan dan bukan kerajaan. Diamnya kita adalah jenayah yang sepi dan kejam kepada nasib sebuah peta luka ummat Islam.
( Penulis ialah AJK PAS Pusat dan aktivis bantuan kemanusiaan tanpa sempadan)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments
Post a Comment