NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Memo Larangan Pekerja Solat : Ini Negara Malaysia, Bukan Komunis



oleh:SYARHAN HUMAIZI HALIM
1 Zulhijjah 1440H | 2 Ogos 2019

Penularan memo larangan solat ke atas pekerja oleh pihak pengurusan salah satu kilang di Klang adalah satu tindakan yang biadap dan tidak menghormati sensitiviti umat Islam yang merupakan majoriti rakyat dalam negara Malaysia.

Memo larangan yang disertai dengan hukuman denda sebanyak RM 500 itu juga seakan mencabar kedaulatan negara Malaysia yang memperuntukkan Islam sebagai agama Persekutuan sebagaimana dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan.

Walaupun isu ini telah pun selesai menurut laporan berita dari Utusan Malaysia (http://m.utusan.com.my/berita/nasional/pekerja-sahkan-memo-larangan-solat-betul-1.947594) pada semalam, 1 Ogos 2019, setelah wakil pekerja berjumpa dengan pihak pengurusan kilang namun diharapkan perkara seumpama begini tidak akan berulang kembali.

Amat mendukacitakan apabila alasan yang diberikan oleh pihak pengurusan adalah salah faham mengenai waktu solat yang akhirnya menyebabkan memo tersebut dikeluarkan sedangkan Malaysia sebuah negara yang memiliki peratusan penganut Islam yang besar.

Selain itu, isu yang menyentuh sensitiviti umat Islam ini tidak wajar dipandang enteng dan dibiarkan sebegitu sahaja. Sepatutnya di Negeri Selangor ini yang Menteri Besarnya memegang portfolio Agama mestilah cakna, mengambil tanggungjawab dan melakukan sesuatu tindakan untuk memastikan perkara seumpama ini tidak berlaku di tempat yang lain.

Kita juga memberi amaran agar semua pihak yang ada menghormati sensitiviti umat Islam dalam apa jua keadaan. Kita melihat sejak akhir-akhir ini khususnya pasca PRU 14, isu yang menyentuh sensitiviti umat Islam kerap berlaku. Namun yang menjengkelkan ialah kadang kala alasan yang diberikan ialah salah faham atau tidak tahu, sedangkan kita berada di negara yang diperintah oleh orang beragama Islam, majoriti rakyat beragama Islam, serta peruntukan Islam sebagai agama Persekutuan dalam Perlembagaan malah Institusi Beraja selaku Ketua Agama, bukannya kita berada di dalam sebuah negara komunis!

ISLAM MEMIMPIN PERPADUAN

SYARHAN HUMAIZI HALIM ialah Ketua Penerangan PAS Selangor
1 Zulhijjah 1440H | 2 Ogos 2019

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo