NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Masa untuk Dr M guna kuasa perogratif rombak Kabinet


oleh: Timmy Say

Untuk mengatasi apa-apa masalah, langkah pertama ialah mengakui wujudnya masalah tersebut.

Jika ditanya soalan ini kepada rakyat, perlukah Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad merombak Kabinetnya, dipercayai majoriti akan menjawab "Ya".

Ura-ura akan berlakunya rombakan Kabinet sudah lama bergema. Pada 19 Julai yang lalu, khabar angin akan berlakunya rombakan Kabinet menjadi rancak susulan penularan sekeping gambar Mahathir dengan barisan penuh jemaah menterinya.

Ketika itu, Mahathir menafikannya. Beliau berkata gambar itu diambil sempena satu-satunya mesyuarat yang dihadiri semua ahli Kabinet.

Baru-baru ini, ura-ura rombakan kabinet kembali menjadi rancak.

Kali ini, Mahathir tidak menafikannya. Beliau berkata ia sekadar satu cadangan kepada Kabinet untuk melakukan sedikit pertukaran portfolio dalam kalangan anggotanya.

Selain itu, beliau juga menegaskan tiada menteri baru akan dimasukkan dalam penyusunan semula portfolio ini untuk mematikan cakap-cakap kedai kopi bahawa Ahli Parlimen Jeli Mustapa Mohamed akan dibawa menyertai Kabinet.

Mengikut pecahan kabinet hari ini, PPBM menguasai 6 kerusi menteri iaitu perdana menteri, menteri dalam negeri, menteri pendidikan, menteri pembangunan luar bandar, menteri belia dan sukan dan menteri pembangunan usahawan.

Seperti PPBM, DAP juga menguasai 6 kerusi menteri iaitu menteri kewangan, menteri pengangkutan, menteri komunikasi dan multimedia, menteri sumber manusia, menteri industri utama dan menteri tenaga, sains, teknologi, alam sekitar dan perubahan iklim.

Sebagai parti yang mempunyai kerusi Parlimen terbesar di dalam Pakatan Harapan, PKR pula menguasai 7 kerusi menteri iaitu timbalan perdana menteri, menteri ehwal ekonomi, menteri perumahan dan kerajaan tempatan, menteri air, tanah dan sumber asli, menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna, menteri kerja raya dan menteri luar negeri.

Amanah pula menguasai 5 kerusi menteri iaitu menteri pertahanan, menteri pertanian dan industri asas tani, menteri kesihatan, menteri di Jabatan Perdana Menteri dan menteri wilayah persekutuan, Warisan menguasai 3 kerusi menteri iaitu menteri di Jabatan Perdana Menteri, menteri perdagangan antarabangsa dan industri dan menteri pelancong, seni dan budaya dan kerusi terakhir menteri di Jabatan Perdana Menteri diberikan kepada Waytha Moorthy.

Melihat kepada pembahagian kerusi menteri antara kelima-lima parti, apakah DAP, PKR dan Amanah akan bersetuju portfolio kementerian yang diberikan kepada parti masing-masing ditukar-tukar dengan parti lain? Sekiranya pertukaran sedemikian berlaku, dijangka akan menimbulkan protes dalaman kerana masing-masing berusaha untuk membina jambatan dalam kementerian yang dipegang parti masing-masing.

Ataupun penyusunan semua portfolio ini hanya melibatkan lingkungan portfolio kementerian yang dipegang oleh parti masing-masing, dan memerlukan persetujuan antara Mahathir dan ketua parti berkenaan?

Apakah atas sebab tersebut, Mahathir hanya sekadar mengumumkan pertukaran portfolio sedangkan apa yang diperlukan ialah rombakan Kabinet? Persoalannya, bagaimana pertukaran portfolio ini boleh membantu untuk menguatkan kabinet Mahathir sekiranya tiada pertukaran pemainnya? Sudah tentu, perubahannya sangat terhad.

Jika ya, nampaknya rombakan Kabinet yang bakal berlaku hanya akan melibatkan kementerian yang dipegang PPBM.

Sekiranya keadaannya begitu, Mahathir nampaknya tersepit untuk melakukan perubahan yang sepatutnya untuk memantapkan Kabinet dan pentadbirannya daripada terus dibelenggu menteri berprestasi lemah, menteri yang hanya tahu bercakap, menteri berego tinggi yang tidak reti mematuhi keputusan mesyuarat Kabinet, menteri yang tidak berupaya melaksanakan tugas kerana kesihatan yang lemah serta menteri yang mengutamakan agenda parti berbanding agenda negara.

Dalam pelbagai isu, ramai yang tidak suka sekiranya perdana menteri menggunakan kuasanya sewenang-wenangnya.

Tapi dalam isu rombakan Kabinet, perasaan muak rakyat terhadap prestasi Kabinet hari ini akan memberikan ruang yang secukupnya kepada Mahathir untuk menggunakan kuasa perogatifnya bagi merombak Kabinetnya sebelum kerosakan yang ada mula mereput.

Sekiranya ada mana-mana parti yang membantah keputusan rombakan Kabinet Mahathir, mereka seharusnya melakukan perkara terhormat iaitu mengundurkan diri daripada pentadbiran Mahathir sehingga persaraan beliau.

Dengan usia yang lanjut dan masa yang semakin suntuk, Mahathir memerlukan Kabinet yang efektif dan stabil agar beliau dapat menumpukan kerja memulihkan ekonomi dan bukannya membazirkan masa diri dan Kabinet dengan perkara remeh seperti membahaskan isu pengenalan 6 muka surat pengenalan huruf jawi di sekolah vernakular. - FMT


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo