NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Mari rebut barakah, pahala dari Assabiqun


SAYA ajak penyokong Sidang Assabiqun di Kawasan PAS Pandan petang 21 Julai lalu berlumba-lumba mencari barakah dan pahala dengan menyokong dan menghidupkan Sidang Assabiqun yang PAS tubuhkan tiga tahun lalu bagi jasawannya yang berusia 55 tahun ke atas dan tidak upaya lagi cergas dalam medan siyasah – politik Islam.

Sidang Assabiqun ini adalah kelab bagi para aktivis PAS yang berjasa di berbagai lapisan justeru usia dan uzur tua tidak upaya lagi memimpin dan cergas dalam politik sedang politik Islam itu tempoh bersaranya apabila tiba ajal.

Maka apa hendak buat bagi menghidupkan jamaah Islam sementara menungngu mati? Bersekutulah dengan Sidang Assabiqun, beramal apa yang patut sambil mengingatkan mati. Bagi yang beriman mengingat mati adalah berpahala. Menyumbang apa yang patut bagi menguatkan semangat seolah-olah tidak akan mati selama-lamanya. Jangan tidak menyumbang dan tidak buat apa-apa, yang demikian itu bererti sudah mati sebelum mati.

Tiga tahun terakhir ini pemimpin PAS memberi dua anugerah kepada penyokong PAS. Pertama mempelopori penyatuan ummah, menggerakan PAS dan Umno supaya berdua. Kedua memberi Sidang Assabiqun bagi jasawan yang mencecah usia 55 tahun.

Siapa yang memberi nama Assabiqun itu? Tuan Guru Presiden Haji Abdul Hadi Awang di Sungai Besi, Bandar Tun Razak, serentak pada malam pemilihan Tuan Guru Hashim Jasin sebagai Mursyidul Am PAS yang baru.

Kelab jasawan itu sudah ada lama dikenali Kelab Veteran PAS. Ia bukan kalimah membawa apa-apa motivasi pada Islam. Tidak dipastikan ada barakah dan motivasi.

Lalu ia dijemakan semula sebagai Sidang Assabiqun. Dari mana nama itu diambil? Ia adalah panggilan kepada golongan yang awal yang mula-mula menerima Islam di zaman Rasulullah SAW dulu iaitu Assabiqun al-awwalun.

Ia dirakamkan pada surah At-Taubah ayat 100 yang bermaksud: Dan orang-orang yang terdahulu – yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dan orang-orang Muhajirin dan Ansar, dan orang-orang yang mengikut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta ia menyediakan untuk mereka syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya, itulah kemenangan yang besar.

Tidak diketahui selepas itu ada sidang memakai nama Assabiqun di dunia. Mungkin PAS yang pertama.

Assabiqun al-awwalun itu adalah nama besar dan berjasa besar kepada Islam, moga-moga memakai nama Assabiqun itu kita mendapat barakah daripadanya dan setiap yang barakah itu berpahala. Maka bagi mendapat barakah dan pahala itu mari semuanya beramai-ramai menyertai dan menyokongnya.

Jadikan ia satu institusi yang penting dalam Islam dan mampu menjana PAS sebagai parti masa depan.

Hari tua bagi yang bersia 55 tahun ke atas adalah masa yang penting untuk memungut sebanyak-banyak pahala. Biar setiap minit sehingga hari mati semua beroleh sebanyak-banyak pahala.

Mari kita rebut barakah dari memuliakan kalimah Assabiqun dan al-awwalun itu. Mari kita rebut barakah dari bakti setiap muhajirin dan setiap ahli Ansar yang menyambut Nabi di Madinah. Kita mahu menumpang pahala setiap yang mengikut jejak Assabiqun. Kita mahu diredhai Allah dan kita pula meredhai-Nya.

Moga-moga mendapat ganjaran syurga seperti mereka dan kekal. Kita mahu minum, berenang dan menyelam di sungai-sungai yang disediakan. Siapa tidak mahu dengan kemenangan besar Assabiqun itu?

Bersama Assabiqunlah sejak di dunia! – HARAKAHDAILY 4/8/2019

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo