NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kerajaan Pakatan Harapan Perlu Bela Nasib Pekebun Kecil


oleh: Dr. Asyraf Wajdi Dusuki
6 Ogos 2019

1) Tindakan Kerajaan untuk menghentikan skim bantuan tanaman semula kepada pekebun kecil sawit di seluruh negara adalah amat dikesalkan lebih-lebih lagi di kala pekebun kecil yang mencecah hampir 650,000 orang kini terpaksa berhadapan dengan harga minyak sawit global yang rendah.

2) Alasan yang diberikan oleh YB Menteri Industri Utama Teresa Kok bahawa skim ini diberhentikan kerana ianya tidak adil bagi pekebun-pekebun kecil tersusun seperti peneroka FELDA dan peserta FELCRA. Ini tidak tepat kerana sekiranya Kerajaan komited mahu membantu golongan ini, kesemuanya termasuklah pekebun kecil persendirian dan tersusun boleh menerima skim bantuan ini.

3) Sebagai contoh antara insentif Hari Peneroka FELDA peringkat Kebangsaan 2017, Perdana Menteri ketika itu, YB Datuk Seri Najib Razak mengumumkan Geran Tanam Semula MPOB yang selama ini diterima oleh pekebun kecil persendirian juga dipanjangkan kepada peneroka FELDA yang melalui fasa tanam semula pada tahun 2017 - 2020 dengan dana khas berjumlah RM166.60 juta dengan kadar RM7,500 sehektar untuk keluasan berjumlah 24,280 hektar.

4) Alasan yang diberikan oleh YB Menteri ini nampaknya cuba menutup kelemahan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang tidak mempunyai peruntukan yang cukup disebabkan kekurangan pendapatan selepas pemansuhan GST tahun lepas. Skim bantuan tanaman semula ini menjadi 'mangsa' seterusnya selepas banyak lagi bantuan-bantuan rakyat luar bandar seperti bantuan nelayan, pesawah, dan Bantuan Musim. Tengkujuh (BMT) yang dihentikan pada Belanjawan 2019!

5) Pemuda UMNO amat kecewa kerana pekebun-pekebun kecil ini terpaksa berhutang di bawah 2 skim pinjaman baharu yang dirancang oleh Kerajaan PH. Sudahlah harga sawit rendah dan pekebun-pekebun kecil ini tidak boleh menyimpan banyak untuk tabung sara hidup mereka! Bagaimana pula nasib mereka yang terpaksa berhutang dan kekurangan dana sara hidup untuk menyara keluarga sementara menunggu hasil pokok matang?

6) Justeru, Pemuda UMNO menyeru Kerajaan PH khususnya Menteri Kewangan untuk meluluskan segera peruntukan khas bagi skim bantuan tanam semula dalam bentuk geran kepada semua pekebun kecil seluruh negara baik persendirian atau tersusun seperti di FELDA dan FELCRA untuk meringankan beban mereka yang sudah besar akibat harga minyak sawit dunia rendah.

Dr. Asyraf Wajdi Dusuki ialah Ketua Pemuda UMNO Malaysia

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo