NOTIS:
Kenapa bukan Melayu takut jawi?
Kenapa bukan Melayu takut jawi?
oleh: FAISAL MUHAMAD
CERITA tentang jawi dan seni khat ini sudah berlegar beberapa minggu. Di media sosial dan mesej WhatsApp juga tidak ketinggalan isu ini ditularkan. Ramai yang mengulasnya. Daripada orang biasa, luar biasa dan juga yang berkuasa. Anak-anak sekolah mungkin ada mengulasnya juga.
Banyak juga tanggapan yang dilontarkan. Bermacam-macam buah fikiran dan pendapat yang boleh kita baca. Disusuli pula dengan hujah-hujah pengukuhan yang bernas dan hebat terutama daripada orang bijak pandai dalam kalangan akademik.
Selain itu, kebanyakan isu ini boleh dibaca dalam surat khabar yang ada juga bertanya kenapa takut pada jawi?
Sebenarnya ketakutan pada jawi ini rata-ratanya memberi sebab yang tidak kukuh. Tidak timbul sebenarnya kenapa ada yang tidak bersetuju dan takut terutama kaum bukan Melayu tentang jawi diajar di sekolah.
Setelah membaca dan mengkaji dengan teliti, antara sebab yang diberi ialah jawi ini akan menyebabkan penyebaran Islamisasi kepada anak-anak bukan bangsa Melayu. Mungkin boleh diterima pakai juga. Namun sebenarnya, bantahan bukanlah berkenaan penggunaan jawi menyebabkan penyebaran Islamisasi. Tetapi lebih kepada jawi ini dimasukkan ke dalam kandungan buku teks Bahasa Malaysia sahaja.
Mereka cadangkan jawi yang juga digunakan dalam penulisan seni khat dimasukkan ke dalam pendidikan seni sahaja. Itu menurut bacaan yang dibuat oleh saya. Tidak timbul ketakutan pengaruh Islamisasi itu.
Penulisan jawi lebih berbentuk kepada kesenian. Kesenian orang Melayu selain sebagai bahasa penulisan lama memang perlu untuk dikekalkan dan diperjuangkan supaya anak cucu tidak kira bangsa apa pun tahu akan kewujudannya.
Menulis jawi
Sebenarnya jawi ini sudah lama. Yang menjadikan ia hampir pupus disebabkan ramai yang tidak tahu membaca dan menulisnya. Apatah lagi menggunakannya sebagai penulisan harian.
Kita hendaklah bertanya, siapa yang merombak dan menyarankan supaya penulisan jawi ditukar kepada huruf rumi sebelum ini? Maka untuk tidak menyalahkan sebab musabab dahulu kala maka eloklah giatkan lagi penulisan jawi selain daripada menjadikan ia sebagai khazanah kesenian warisan bangsa Malaysia.
Kalau orang Melayu sendiri sudah tidak tahu atau tidak mahu menggunakannya apatah lagi kaum lain. Kita sendiri yang mampu mengubahnya. Contohnya, apa kata dalam surat rasmi sekali sekala, kita menggunakan penulisan jawi dalam kalangan kakitangan kerajaan dan swasta Melayu? Lagipun menurut Perlembagaan 152 Pasal (1) tidak ada larangan pun untuk menggunakannya. Ini juga disusuli oleh Akta Bahasa Kebangsaan iaitu menurut Seksyen 9.
Apabila orang Melayu sendiri menggunakannya dan giat mempromosikan dengan sentiasa menulisnya, maka dengan sendirinya tulisan jawi dan khat ini akan terkenal seantero dunia.
Memang betul kerajaan juga perlu memainkan peranan berkenaan dasar tulisan jawi. Tetapi apabila dasar tidak diiringi oleh tindakan rakyat sendiri maka sia- sia sahaja. Ambil tahu juga akan Akta Bahasa Kebangsaan itu. Jangan buat tidak tahu sahaja.
Ibarat kata peribahasa Melayu lama 'kurang kerat, rengkuh yang lebih'. Maksudnya bolehlah dicari sendiri. Kalau tidak tahu juga amat beratlah keadaan orang Melayu sekarang ini kerana tidak cintakan Bahasa Melayu.
Oleh itu sama-samalah kita mula menulis dengan tulisan jawi. Dengan banyak menulis di mana-mana juga mungkin boleh bermula di media sosial. Tidak perlu menunggu kerajaan bercakap tentang jawi kerana selama ini pun senyap sahaja tentang jawi. Tiada siapa ambil tahu.
Yang ramainya seperti kata peribahasa Melayu lama 'ramai bermulut di mulut orang sahaja'. Bermulut semata-semata adalah sebab politik dan kuasa sahaja. Mereka ini hanya berpura-pura. Seperti kata peribahasa Melayu lama lagi, 'kepala yu, ekor babi'.
Berkenaan dakwaan mengatakan orang bukan Melayu takutkan tulisan Jawi ini yang berkaitan Islamisasi ini ada benarnya juga
Menurut kajian saya lagi, dari segi pandangan intelektual dan akademik di mana saya telah melontarkan persoalan objektif sebagai bentuk kajian di samping menggunakan pendekatan Socrates dalam bertanya soalan, saya dapati ketakutan bukan Melayu kepada jawi ini hanya atas satu sebab. Mereka takut di‘jawikan’ sahaja. Sebab itu mereka membantah habis-habisan agaknya. Saya pun ada bercadang untuk ‘jawikan’ dua orang anak saya pada musim cuti sekolah nanti.
*Faisal Muhammad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk bersatira, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com
Sumber : https://www.sinarharian.com.my/article/43322/KOLUMNIS/Kenapa-bukan-Melayu-takut-jawi
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments
Post a Comment