NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Keadilan untuk Dr Zakir dari pelampau politik


oleh: YB Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi 

SAYA merasakan bahawa keadilan tidak diberikan tempat yang sewajarnya dalam isu Dr. Zakir Naik. Pelbagai tuduhan yang tidak tepat dan berfakta telah dilemparkan ke atas beliau. Namun begitu saya amat berterima kasih kepada YAB Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana dengan kebijaksaan beliau dalam menangani isu Dr. Zakir Naik, tokoh agama ulung ini kekal bermastautin di dalam negara.

Ilmu perbandingan agama adalah satu ilmu yang sukar dipelajari mahupun diamalkan. Ia memerlukan kebijaksanaan yang tinggi untuk menguasainya sama ada melalui nas-nas yang terdapat di dalam Al-Quran mahupun hadis, amalan dan kelaziman perbuatan mahupun fatwa daripada ulama muktabar terdahulu mahupun terkini serta mengetahui dengan mendalam ilmu agama yang berlainan selain daripada Islam.

Namun begitu dalam kes Dr. Zakir Naik, beliau langsung tidak diberikan peluang mempertahankan diri dari pelbagai tuduhan yang dilemparkan. Malah beliau dituduh ekstrimis, perosak malah pencetus huru hara. Lebih jijik, tutur kata dan ucapan beliau diputar belit malah disunting untuk kepentingan segelintir pihak tanpa memaparkan fakta dan kefahaman yang sebenar. Di manakah moral, jati diri dan maruah sang pelaku atau sanggup menggadaikan maruah dan harga diri hanya kerana mahu secubit habuan dunia?

Sepatutnya jika tidak bersetuju dan sependapat dengan hujah beliau maka kemukalah hujah untuk menangkisnya beserta dengan bukti dan fakta, bukannya menutup segala ruang dan menuduh tidak bertempat. Dilaung-laungkan keadilan, integriti dan rule of law namun bila tidak sependapat dan bersetuju maka undang-undang rimba dan perilaku kuno serta zaman batu ditonjolkan. Apakah ini Malaysia Baharu yang dibanggakan atau sebenarnya negara telah kembali mundur ke belakang?

Apa yang meyedihkan, terdapat segelintir umat Islam yang cetek pengetahuan agama turut mempertikaikan apa yang beliau sampaikan malah ada yang sanggup menuduh beliau dengan tuduhan yang tidak masuk akal. Maka disebabkan itulah saya sarankan kepada yang cetek pengetahuan agama agar mempelajari kembali Al-Quran dan hadis serta kitab-kitab karangan alim ulama tersohor serta memahami kembali maksud dakwah.

Mempelajari dan mendalami agama dengan betul tidak akan membuat kita kembali ke zaman kuno atau zaman batu. Hanya orang yang buta hatinya sahaja berkata demikian kerana Islam diturunkan sebagai panduan manusia hingga ke akhir zaman, itu janji Allah SWT. Maka sebagai orang Islam, sebelum menuduh seorang alim dengan tuduhan yang melampau dan tidak benar, ingatlah kerana neraka tidak mengenal wang ringgit, pangkat, keturunan mahupun kuasa kerana pendosa tempatnya adalah neraka.

Di atas nama kebebasan bersuara walaupun ianya hak dan benar, tetap akan ditolak dan dinafi. Islam bukan hanya sekadar bayar zakat, haji, puasa, mengucap dua kalimah syahadah dan sebagainya kerana Islam mengajar manusia menjadi insan yang kamil. Maka belajarlah Islam dengan betul dan benar, bukan hanya sekadar mengambil yang perlu dan melempar segala yang tidak suka atau sesuai. Maka sebelum kenal Islam dalam erti kata yang sebenar, lebih elok diam dan muhasabah diri kembali.

Saya sarankan kepada yang tidak sependapat dan bersetuju dengan Dr. Zakir Naik agar bersemuka dan berhujah dengan beliau. Namun sayang kerana apabila dipelawa, ditolak mentah-mentah dengan pelbagai alasan, apakah itu adil, berprinsip dan bermaruah? Jangan hanya berani melontar batu dari jauh namun bacul bila diajak bersemuka. Bak kata pepatah umpama meludah ke langit akhirnya jatuh ke muka sendiri.

YB MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI ialah AJK PAS Pusat merangkap  Adun Batu Burok 

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo