NOTIS:
Kashmir, Uighur & Palestin
oleh: ABDUL MUEIN ABADI | | 8 Ogos 2019
TERJEMAHAN takbir raya:
“ALLAH Maha Besar, ALLAH Maha Besar sebesar-besarnya...
Dan segala puji bagi ALLAH sebanyak-banyaknya, Dan Maha Suci ALLAH pagi dan petang...
Tidak ada Tuhan melainkan ALLAH, Kami tidak menyembah kecuali kepada-Nya...
Dengan ikhlas untuk agama (Islam), Walaupun dibenci oleh golongan Kafir...
Tidak ada Tuhan melainkan ALLAH yang Esa yang benar janji-Nya, dan yang menolong hamba-Nya dan yang memuliakan tentera-tentera-Nya (tentera Muslimin), dengan mengalahkan tentera Ahzab dengan keesaan-Nya...Tidak ada Tuhan melainkan ALLAH dan ALLAH Maha Besar, ALLAH Maha Besar dan bagi ALLAH segala puji-pujian”.
Menjelang Hari Raya Korban 2019 ini, nasib umat Islam di beberapa negara begitu menyayat hati.
Dalam keadaan rejim Zionis Israel bebas meluaskan penempatan haram Yahudi di wilayah Palestin, rejim Komunis China semakin menjadi-jadi dalam penghapusan identiti Islam etnik Uighur di Xinjiang, rejim pelampau Hindu di India pula secara tiba-tiba mencuri perhatian.
Jika sebelum ini kita dihadapkan dengan berita seperti kewujudan kem tahanan jutaan saudara Muslim kita di China, pemusnahan masjid di sana, penghapusan identiti Muslim Uighur serta tragedi jenayah kemanusiaan Zionis di Gaza, kini perhatian kita beralih ke New Delhi.
Mungkin kerana mereka melihat tiada apa yang mampu dilakukan kuasa-kuasa besar – apatah lagi negara-negara Islam – terhadap rejim Zionis Israel dan rejim Komunis China, maka tidak hairanlah apabila rejim pelampau Hindu di India bertindak meluaskan penjajahan mereka tanpa segan silu.
Pada 5 Ogos, kerajaan India di bawah penguasaan parti haluan kanan Hindu – Parti Bharatiya Janata (BJP) – dengan tiba-tiba bertindak unilateral menghapuskan status khas wilayah yang didiami majoriti orang Islam iaitu Kashmir menerusi dekri Presiden – bertentangan dengan Resolusi PBB.
Tanpa apa-apa pembunuhan atau serangan daripada golongan Muslim Kashmir yang memaksa langkah sebegini untuk diambil, langkah India ini adalah merupakan tindakan yang paling jijik dalam tempoh 70 tahun.
Dialog dibakulsampahkan. Rundingan dibakulsampahkan. Toleransi dibakulsampahkan. Demokrasi dibakulsampahkan. Bahkan kini hak yang termaktub dalam Perlembagaan India sendiri dibakulsampahkan oleh tangan-tangan para pelampau Hindu India sendiri.
Pemansuhan Artikel 370 yang menandakan berakhirnya status autonomi khas Kashmir dalam Perlembagaan India ini diumumkan Menteri Dalam Negeri, Amit Shah yang juga merupakan sekutu Perdana Menteri, Narendra Modi.
Dahsyatnya tindakan India ini hinggakan penganalisis dasar antarabangsa, Andrew Korybko menyatakan bahawa India bertindak ibarat Israel – malah mungkin lebih melampau. Perlu diketahui bahawa kedua-dua konflik Kashmir dijajah India dan Palestin dijajah Israel ini telah berlangsung lebih 70 tahun dan merupakan dua kes yang paling lama gagal diselesaikan kuasa-kuasa besar di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC).
Seperti mana celakanya rejim Zionis Israel meluaskan wilayah mereka di Palestin, seperti mana celakanya rejim Komunis China memindahkan penduduk etnik Han beramai-ramai ke Xinjiang, begitu jugalah tindakan rejim pelampau Hindu BJP yang bertindak menggunakan senjata penghijrahan golongan Hindu secara besar-besaran di Kashmir untuk merampas wilayah milik umat Islam itu secara demografi.
Tidak cukup dengan mengharamkan segala mesyuarat politik di Kashmir serta mengisytiharkan darurat, rejim pelampau Hindu India turut bertindak menamatkan perkhidmatan telefon, internet dan rangkaian kabel di Kashmir.
Dalam masa yang sama, ribuan pelancong diarahkan keluar dari Kashmir atas alasan terdapat ancaman daripada kumpulan militan yang disokong Pakistan.
Menteri Informasi dan Penyiaran Pakistan, Chaudhary Fawad Hussain secara terbuka menulis di Twitter bahawa India cuba menjadikan Kashmir ibarat Palestin dan rakyat Pakistan perlu bersedia untuk berperang jika dipaksa.
Reaksi yang tegas turut disuarakan Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan yang menyifatkan tindakan India itu sebagai tidak sah dan menggugat kestabilan dan keamanan serantau.
Seharusnya tragedi umat Islam di tiga negara ini – India, China, dan Palestin – memberi iktibar kepada kita. Ingatlah firman ALLAH SWT:
“Mereka hendak memadamkan cahaya agama ALLAH dengan mulut-mulut mereka, ALLAH tetap menyempurnakan cahaya Islam ini walaupun dibenci oleh musuh-musuhnya.” (Surah As-Saff: 8)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments
Post a Comment