NOTIS:
Isu 3R: PAS ingatkan kerajaan mesti ikut ‘rule of law’
SHAH ALAM, 24 Zulhijjah 1440H, Ahad – Amaran kerajaan untuk mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang menggunakan isu bangsa, agama dan raja (3R) bagi mencetuskan sentimen kebencian adalah tidak jelas, kata Naib Presiden PAS.
Justeru, Idris Ahmad meminta kerajaan pimpinan Pakatan Harapan memberikan penjelasan secara lengkap berhubung konsep berkenaan supaya tidak disalah guna pihak tertentu.
Beliau bertanya sama ada seseorang pemimpin politik dianggap bersalah sekiranya mempertahankan prinsip atau agama apabila terdapat pihak menghina agama Islam.
"Tak boleh ambil tindakan ke atas orang yang cakap dia nak bela orang hina agama, tapi yang perlu diambil tindakan adalah orang yang menghina agama, itu baru betul.
"Begitu juga dalam soal raja-raja, apakah salah orang yang menyuruh mengambil tindakan terhadap orang yang menghina raja-raja seperti dalam bentuk perkataan iaitu rompak dan syaitan.
"Apakah apabila kita membela dalam konteks ini, akan dianggap sebagai orang yang menggunakan isu beraja? Sebaliknya perlu diambil tindakan terhadap mereka yang menghina raja-raja," katanya seperti dilapor Sinar Harian.
Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang memainkan isu 3R, menerusi segala undang-undang sedia ada termasuk Akta Hasutan 1948.
"Saya hendak mengingatkan jangan 'main-main'. Polis ada. Mereka tahu dan diberi arahan untuk gunakan apa juga undang-undang yang ada.
"Akta Hasutan selagi ia belum dimansuhkan, ia masih dikuatkuasakan. Soal sama ada ada yang setuju atau tidak, itu soal lain. Saya fikir semua orang setuju kerana yang penting soal keamanan dan keselamatan negara tidak boleh dikompromi," kata Muhyiddin
Mengulas lanjut, Idris turut mengingatkan kerajaan supaya bersikap adil dan profesional tanpa mengira siapa yang terbabit.
"Jangan pula bila pembangkang nak pertahankan soal prinsip ini akan diambil tindakan, tetapi kalau pihak kerajaan timbulkan persoalan tentang perkara sama dibiarkan, ini tidak kena. Maknanya 'rule of law' itu mesti berlaku," katanya.
Sumber: https://www.ismaweb.net/2019/08/25/isu-3r-pas-ingatkan-kerajaan-mesti-ikut-rule-of-law/
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments
Post a Comment