NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

IKATAN Lebih Bangsa Malaysia Berbanding DAP


1. Pada 3 Ogos 2019, Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) telah mengadakan Mesyuarat Pertama Dewan Pemuda IKATAN Malaysia bagi sesi 2019-2021, diikuti oleh Majlis Penyampaian Watikah Dewan Pemuda IKATAN Malaysia dan Amanat Tan Sri Presiden. Ini menjadi titik mula kepada memperkukuhkan suara anak muda Bangsa Malaysia serta menjadi platform politik baru untuk mengutarakan isu-isu berkaitan anak muda pada hari ini.
2. Kepimpinan Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) sesi 2019-2021 melibatkan pemimpin anak muda profesional pelbagai kaum yang membawa idelogi politik matang dan bersih agar menjadi contoh kepimpinan politik masa hadapan. Berikut adalah senarai kepimpinan tertinggi Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) sesi 2019-2021:
• Ketua Pemuda: Shahir Adnan
• Naib Ketua Pemuda: Aifaa Zaffan Bagauddin Abdul Aziz
• Naib Ketua Pemuda: Dato Jonathan Lim
• Naib Ketua Pemuda: Vijayiyakumar a/l Nadarajah

3. Adalah jelas bahawa Parti IKATAN Bangsa Malaysia lebih memahami maksud Bangsa Malaysia yang berpandukan Perlembagaan Persekutuan, berbanding DAP yang membawa slogan Malaysian Malaysia yang menunjukkan sikap berat sebelah kepada sesetengah pihak sahaja. Konsep Bangsa Malaysia yang dibawa oleh IKATAN berteraskan perjuangan menyatupadukan dan merapatkan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, agama dan budaya supaya benar-benar menjadi satu Bangsa Malaysia yang bersatu-padu, maju, adil, saksama dan sejahtera. Perjuangan ini adalah perjuangan menyedarkan dan menginsafkan kembali seluruh rakyat mengenai kesepaduan serta semangat kekeluargaan jati diri yang wujud semasa zaman perjuangan bersama dahulu untuk mencapai kemerdekaan.

4. Dewan Pemuda IKATAN Malaysia mengecam tindakan pemimpin akar umbi termasuk beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP yang membantah rancangan pelaksanaan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4 pada tahun 2020. Tindakan dangkal ini adalah tindakan rasis yang menunjukkan belang sebenar parti itu seperti tidak percaya kepada semangat Bangsa Malaysia. Seharusnya, perkara sebegini dialu-alukan untuk kita sama-sama memahami budaya dan tradisi bangsa lain.


5. Tulisan Jawi atau seni khat ini tidak ada kena mengena dengan agama. Jawi juga bukan bahasa Arab. Jawi adalah tulisan berbahasa Melayu. Dewan Pemuda IKATAN Malaysia ingin mendidik pemimpin-pemimpin DAP yang menentang keras isu ini dengan memberikan satu contoh mudah. Dalam bahasa Arab, “kereta” ditulis dengan “Sayyaratun”, manakala dalam tulisan Jawi “kereta” masih ditulis sebagai “kereta”. Kalau dikatakan hendak menerangkan keagamaan pada orang lain, tidak timbul isu ini kerana Jawi adalah tulisan dan Khat adalah seni.

6. Bahasa Melayu diperakukan sebagai Bahasa Rasmi Kebangsaan yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan. Bahasa lain boleh digunakan secara meluas tanpa sebarang sekatan. Pemimpin DAP harus belajar sejarah dan sedar bahawa Bahasa Melayu ditulis dan dibaca dalam tulisan Jawi sejak dahulu lagi. Orang Melayu tidak menggunakan huruf Roman seperti yang ada hari ini. Contoh sejarah paling mudah adalah Batu Bersurat Terengganu, adakah ia ditulis menggunakan huruf Roman? Kenyataan DAP ini sebenarnya menunjukkan mereka buta sejarah dan rasis terhadap kaum Melayu. Dewan Pemuda IKATAN Malaysia bersetuju dengan kenyataan YAB Perdana Menteri dan YB Menteri Pendidikan yang tetap dengan pendirian mahukan pembelajaran jawi dan khat diteruskan. Ini adalah identiti Bangsa Malaysia.

7. Dewan Pemuda IKATAN Malaysia turut mencadangkan agar diajar pembelajaran asas tulisan kaligrafi Cina dan tulisan Hindi di sekolah-sekolah agar kita sama-sama memahami budaya dan tradisi semua bangsa. Ini adalah semangat Bangsa Malaysia yang sebenar dianjurkan oleh Parti IKATAN Bangsa Malaysia. Belajar Jawi dan seni Khat tidak menjadikan orang Cina atau India pengkhianat kepada bangsa asal mereka. Belajar kaligrafi CIna dan tulisan Hindi tidak juga menjadikan orang Melayu kurang jati diri Melayu.

8. Pembelajaran sebegini akan memberikan kita pengetahuan yang bermanfaat sebagai individu, malah memelihara identiti bangsa yang sememangnya unik di Malaysia. Generasi muda akan datang tidak akan melupakan tulisan Jawi atau Khat, kaligrafi Cina dan tulisan Hindi. Bayangkan jika sistem pendidikan ini berjaya, negara akan melahirkan anak Melayu, Cina dan India yang pandai membaca tulisan Jawi, menulis kaligrafi Cina dan bertutur tulisan Hindi. Ini adalah semangat Bangsa Malaysia yang sebenar.

9. Sebagai penutup tinta kali ini, Dewan Pemuda IKATAN Malaysia menyeru rakyat terus ingat dan jangan lupa akan susah payah yang kita terpaksa tempuhi ini sehingga PRU-15 dek kecelaruan yang ditimbulkan oleh Pimpinan Pakatan Harapan. Pada waktu itu, rakyat boleh menghukum kealpaan pimpinan Pakatan Harapan yang leka dengan kerakusan politik mereka hari ini. Dewan Pemuda IKATAN Malaysia sentiasa cakna akan hal-hal anak muda terutama berkaitan jati diri Bangsa Malaysia, kemerosotan ekonomi negara dan penindasan yang berlaku kepada rakyat Malaysia. Bertabahlah rakyat sekalian. Salurkan kegusaran anda kepada kami kerana kami mendengar denyut nadi kalian.

Demi Bangsa Malaysia!

Shahir Adnan ialah Ketua Pemuda Parti IKATAN Bangsa Malaysia, merangkap Pemuda Gagasan Sejahtera

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo