NOTIS:
Dong Zong tidak pernah berjuang demi negara - Tun M
TERPULANG kepada polis untuk menentukan sama ada badan Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) perlu diharamkan atau tidak.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Dong Zong hanya mempertahankan satu komuniti dan lupa bahawa ini adalah negara pelbagai kaum.
“Saya tidak tahu setakat ini ( sama ada perlu Dong Zong diharamkan), biar pihak polis yang putuskan.
“Jika mereka berterusan cuba menggalakkan orang untuk bergaduh antara satu sama lain, itu melanggar undang-undang.
“Kita ada kebebasan bersuara tapi kita juga sentiasa sensitif untuk tidak mempengaruhi mereka yang berlainan bangsa untuk melawan antara satu sama lain,” katanya ketika mengulas petisyen dalam talian dilancarkan Armada Parti Peribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bagi mengumpul sokongan menggesa pengharaman Dong Zong.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-21 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.
Exco ARMADA, Muzzammil Ismail, hari ini, menyifatkan Dong Zong sebagai keterlaluan dan mempunyai niat menggugat perpaduan masyarakat.
Sementara itu, Dr Mahathir mempertahankan kenyataannya semalam yang menganggap Dong Zong sebagai rasis kerana selalu membuat kenyataan tanpa memikirkan perasaan kaum lain di negara ini.
Beliau berkata, walaupun negara ini mengamalkan kebebasan bersuara, semua pihak seharusnya peka dalam membuat sebarang kenyataan yang boleh mengguris perasaan kaum lain.
“Anda lihat sendiri latar belakang Dong Zong yang langsung tidak pernah berjuang untuk Malaysia, tetapi hanya untuk satu kaum sahaja.
“Ini negara majmuk berbilang kaum, anda harus memikirkan perasaan orang lain. Apabila kita berbuat sesuatu, kita harus memikirkan apa yang orang lain akan kata. Kalau mereka tidak gembira, mungkin kita harus berbuat sesuatu,” katanya.
Perdana Menteri berkata, pada masa dahulu tidak ada masalah untuk beliau ke sekolah di mana semua kaum belajar di tempat sama.
“Ada Benggali, Cina, India, Melayu semuanya ada. Semuanya ok. Tetapi kalau ikutkan Dong Zong ini, anak-anak Cina tidak seharusnya bergaul dengan kaum lain. Untuk berada di satu perhimpunan pagi menggabungkan ketiga-tiga sekolah, seolah-olah ‘anathema’ untuk mereka.
“Sebab itu saya kata Dong Zong ini sangat rasis, yang terlampau mengabdikan diri untuk mempertahankan hak kaumnya sahaja,” katanya.
Dalam pada itu, ditanya mengenai kenyataan Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran yang mahukan penceramah bebas, Dr Zakir Naik diusir serta-merta kerana mengeluarkan kenyataan menghina penganut agama Hindu di negara ini, Dr Mahathir berkata, Malaysia tidak boleh mengusir Dr Zakir Naik kerana wujud ancaman bunuh terhadap penceramah kontroversi itu.
Namun, beliau berkata, sekiranya ada mana-mana negara yang mahu menerima penceramah berasal dari India itu, mereka dialu-alukan untuk berbuat demikian.
“Masalah yang kami hadapi ialah kami tidak boleh menghantarnya pulang (ke India) kerana beliau menghadapi risiko untuk dibunuh.
“Tetapi jika ada negara yang mahu menerimanya, mereka dialu-alukan berbuat demikian,” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments
Post a Comment