oleh:Abdul Mu'izz Muhammad
7 Ogos 2019.
Demokrasi merupakan sistem politik yang dirintis oleh peradaban Yunani kuno sejak 2500 tahun yang lalu. Sekalipun kelihatan ideal, ia hangat dikritik oleh pemikir-pemikir besar Yunani, terutamanya Socrates & anak muridnya, Plato.
Menjelang Era Pencerahan Eropah, baharulah demokrasi mendapat nama yang baik sebagai reaksi serik masyarakat Eropah terhadap sejarah gelap mereka. Ia dianggap sebagai solusi kepada kekejaman politik Teokrasi.
⚫ Demos-Kratos.
Mengapa sistem yang diimejkan dengan gagasan hidup manusia serba murni ini, hanya melahirkan situasi-situasi politik yang semakin pincang? Itu realiti. Seakan-akan di atas kertasnya baik, tetapi praktik & hasilnya tidak seperti yang diingini.
Sekalipun ia boleh dikaitkan dengan elemen-elemen Islam, namun sudah pasti terdapat ruang-ruang kelemahan yang wujud di sebalik demokrasi. Logiknya, ia adalah sistem ciptaan manusia yang serba lemah.
Maka ia amat bergantung dengan pilihan manusia. Sedangkan manusia pula merupakan makhluk yang terdedah kepada manipulasi. Inilah yang dapat difahami di sebalik pengistilahan demokrasi dari bahasa Yunani, iaitu Demos-Kretos yang bermaksud 'kuasa rakyat'.
⚫ Demagog.
Sebuah buku berjudul 'Demagoguery & Democracy' tulisan Patricia Roberts - Miller, telah merungkai secara tuntas, akan permasalahan di sebalik demokrasi. Topik ini telah pun menjadi perbahasan di kalangan ahli falsafah, sejak di zaman Yunani kuno lagi.
Demagog berasal dari bahasa Yunani, Demos-Agogos. Ia merupakan istilah negatif yang bermaksud, pemimpin jahat serta licik yang bijak mempengaruhi orang bawahan atau rakyat demi kepentingan kuasanya.
⚫ Kebergantungan Manusia Terhadap Persepsi.
Oleh kerana demokrasi amat bergantung dengan persepsi manusia, maka mencipta serta menguasai persepsi merupakan sebahagian dari kemahiran yang perlu dimiliki oleh politikus. Dalam proses mengolah persepsi itulah, ramai politikus yang terjebak menjadi jahat dalam keadaan tidak sedar.
Maka tidak hairanlah jika sering kita lihat hari ini, keperibadian seseorang yang terlibat dalam politik mengalami kemerosotan. Dari kemurnian sifat insani, lantas akhirnya sifat haiwani mendominasi jiwanya.
Sedikit demi sedikit, berubah menjadi penipu & kejam. Dahulunya tidak pandai menabur janji & memungkiri janji, lama kelamaan ia menjadi kebiasaan.
Berlakon dianggap sebagai bakat penting untuk berjaya dalam politik. Lantas licik mengambil kesempatan ke atas kelemahan orang bawahan & rakyat.
Fenomena demagog seperti ini berlaku hanya kerana alasan, demi menguasai persepsi orang ramai. Logiknya, apabila menguasai persepsi orang ramai, maka mereka akan menang dalam persaingan demokrasi.
⚫ Eksploitasi Nama Rakyat.
Politikus demagog bijak mengolah cita-cita politiknya, dengan mengatas-namakan rakyat. Antaranya:
• Gemar melaung-laungkan slogan demi rakyat. Seakan-akan mereka tidak ada sebarang kepentingan politik. Kelihatan seluruh perjuangannya untuk rakyat bawahan.
• Pandai mempersembahkan perilaku seolah-olah mereka berfikir, merasai & menjiwai situasi golongan bawahan. Lantas semua itu diolah agar kelihatan seakan-akan majoriti bersamanya.
• Menunjukkan sikap anti kepada golongan bangsawan atau kelas atasan untuk mengambil hati rakyat bawahan. Hingga rakyat lupa bahawa realiti politikus dermagog itu pun merupakan kelas bangsawan pada lingkungan mereka tersendiri.
Lantas apabila mereka melaungkan kuasa rakyat, hakikatnya ia bermaksud kuasa mereka yang telah mempengaruhi rakyat. Atau dalam erti kata lain, yang dimaksudkan dengan rakyat itu adalah mereka & mereka adalah rakyat.
⚫ Perbodohkan Golongan Bawahan.
Tiada siapa yang mampu sangkal, bahawa topik politik merupakan sebuah wacana yang kompleks. Ia banyak terkait dengan pelbagai pertimbangan prinsip & kepentingan.
Maka sudah pastilah jika mahu melangsungkan politik yang benar, pembudayaan ilmu perlu digiatkan. Ini kerana untuk memastikan agar golongan bawahan & rakyat bijak membuat pilihan dengan penuh kewarasan ilmu.
Namun lain pula halnya dengan politikus demagog. Mereka gemar mengambil kesempatan ke atas keterbatasan informasi & pengetahuan golongan bawahan & rakyat. Kalau boleh, biarkan golongan bawahan itu kekal tidak tahu & bodoh, agar mereka senang dieksploit.
Hal ini juga yang telah diperingatkan oleh al-Quran, bagaimana Firaun memelihara survival kuasanya dengan membodohkan orang bawahannya:
ŁَŲ§Ų³ْŲŖَŲ®َŁَّ ŁَŁْŁ
َŁُ ŁَŲ£َŲ·َŲ§Ų¹ُŁŁُ ۚ Ų„ِŁَّŁُŁ
ْ ŁَŲ§ŁُŁŲ§ ŁَŁْŁ
ًŲ§ ŁَŲ§Ų³ِŁِŁŁَ
"Maka dia (Firaun) meringankan akal (membodohkan) rakyatnya, lantas mereka mentaatinya. Sesungguhnya adalah mereka itu golongan yang fasiq" - al-Zukhruf 54.
⚫ Projek Pembodohan.
Sehubungan dengan agenda pembodohan, berlangsunglah plot-plot yang cukup tipikal kelihatan berlaku dalam politik:
• Konsisten menggambarkan bahawa masalah politik yang berlaku, boleh diselesaikan dengan cukup mudah. Iaitu tukar sahaja pihak yang sedang berkuasa. Kononnya dengan sekadar penukaran tersebut, semua masalah boleh selesai sekelip mata.
• Apabila ia ditelan bulat-bulat, menyebabkan rakyat hilang keupayaan untuk berfikir secara kritis & objektif. Lantas wacana berkenaan punca sebenar masalah yang membebani mereka kian dilupakan.
• Sekiranya orang bawahan mempertikai relevansi tindakan politikus demagog, maka mereka akan mengatakan topik tersebut tidak layak dipersoal oleh orang bawahan.
• Sekaligus berlakulah kontradiksi terhadap slogan-slogan mereka. Pada awalnya mereka menggambarkan mereka hanyalah menjalankan aspirasi orang bawahan. Namun apabila dipertikai, mereka memposisikan diri mereka sebagai golongan berkasta atasan pula.
⚫ Doktrin Politik Yang Menilai Identiti, Bukan Polisi.
Aspirasi asal demokrasi adalah, rakyat memilih berdasarkan perbandingan dasar serta polisi yang ditawarkan dalam persaingan sesama ahli-ahli politik. Sedangkan wacana berkenaan idea, agak sukar diketengahkan oleh orang-orang bodoh yang mahu berpolitik. Pada masa yang sama, ia sukar dilakonkan.
Maka politikus demagog mengubah logik berfikir dalam politik. Bukan mengemukakan idea yang berbentuk polisi. Sebaliknya dengan identiti. Iaitu gaya, retorika, persembahan & gimik. Itu semua amat mudah dilakonkan & laris dijual dalam pasaran politik yang serba pincang.
Pendekatan sedemikian akhirnya mampu melencongkan fokus rakyat terhadap politik. Dari berbincang hal polisi, kepada hal yang terkait dengan karektor politikus tertentu.
Terkadang kita melihat propaganda dalam kalangan politikus demagog, memaparkan mereka melakukan aktiviti orang bawahan sebagai mesej kerendahan hatinya. Begitu juga lakonan-lakonan yang berunsur tawadhu', santai & 'cool' yang amat mempersona. Terutamanya bagi penyokong masing-masing.
Hingga kita terlupa, apakah tugas utama seorang calon pemimpin atau pemimpin yang sedang berkuasa? Sepatutnya mereka menggagaskan idea yang layak dijadikan solusi, bukan gaya.
Maka disebabkan itu, demokrasi yang sepatutnya merangsang persaingan idea untuk dipilih secara bebas oleh rakyat, berubah menjadi ruang persembahan gaya sesama politikus demagog. Jika ditanya bagaimana mahu menyelesaikan masalah, selalunya masing-masing bingung.
Bahkan berapa banyak perbincangan & percambahan idea itu dinilai bukan berdasarkan hujah. Sebaliknya dinilai, berdasarkan ia datang dari mana.
Jika idea atau hujah itu datang dari puak yang tidak seaspirasi dengan kita, maka dibuang jauh-jauh. Sebaliknya jika datang dari puak sendiri, yang dangkal pun dihias menjadi seakan sangat genius. Yang pasti tabiat ini bakal merugikan semua pihak.
⚫ Menularnya Fanatik.
Dengan pencitraan-pencitraan yang telah disebutkan di atas, maka menularlah fanatisme di dalam politik. Semua itu menghasilkan situasi:
• Pemimpin pujaan masing-masing dianggap sebagai 'superhuman' yang tiada kelemahan & mustahil melakukan kesilapan.
• Mereka perlu diikuti secara membuta tuli, tanpa selayaknya difikirkan secara kritis.
• Yang terbina hanyalah hubungan emosi, bukan atas timbangan kefahaman secara rasional. Emosi itu diolah samada untuk kesetiaan sesama sendiri atau untuk kebencian terhadap seteru.
⚫ Serba Tidak Konsisten, Bermakna Tidak Istiqamah.
Kita kerap melihat tabiat dalam politik, satu perbuatan yang sama tetapi dinilai dengan andaian yang berbeza-beza. Sebagai contoh, menipu atau mungkir janji. Apabila ia dilakukan oleh seteru politik, maka perbuatan itu akan dikutuk dengan maksimum.
Namun jika perbuatan yang sama dilakukan oleh pihak yang disokong secara fanatik, maka akan digeledah seribu satu alasan untuk mewajarkannya. Yang lebih parah jika sudah tidak mampu dipertahankan dengan justifikasi logik, maka akan dikemukakan alasan bahawa:
"Orang lain pun melakukan kesalahan yang sama. Mengapa persalahkan kami sahaja?"
Dari logik ini, akhirnya secara telanjang mendedahkan bahawa sesama politikus demagog adalah sama sahaja keperibadiannya. 2x5. Bezanya hanyalah pada persembahan yang sesuai dengan prospek masing-masing.
⚫ Bagaimana Menangani Pembiakan Politikus Demagog?
Selain dari menguruskan politik dengan matang tanpa terbawa-bawa dengan emosi kebudak-budakan, kita perlu memahami jenis-jenis falasi yang kerap diaplikasikan oleh politikus demagog.
Terdapat banyak jenis falasi yang menjadi zikir politikus demagog. Agak panjang juga jika mahu disenaraikan semuanya di dalam tulisan ringkas ini. Yang pasti, topik falasi merupakan perbahasan penting untuk menyedari kepalsuan dalam politik.
Bagaimana falasi mereka ketika mempertahankan diri dengan memperlekeh pihak & idea yang menyaingi kebijaksanaan mereka. Semua perlekehan itu dibuat tanpa hujah balas yang konstruktif.
Kita juga perlu merekod kenyataan-kenyataan politikus demagog yang serba tidak konsisten. Sememangnya politikus demagog berlidah cabang. Begitu juga kita perlu mempertahankan nilai objektif dalam perbahasan politik.
⚫ Kehidupan Memerlukan Ilmu.
Perbahasan berkenaan demagog ini telah diwacanakan sejak zaman Yunani kuno ribuan tahun dahulu. Islam turut menjelaskan hadith-hadith akhir zaman yang disampaikan oleh Nabi, berkaitan kemerosotan kualiti berpolitik sesama manusia.
Bagaimana pesanan baginda, berkenaan masyarakat manusia semakin tidak berilmu. Apa lagi yang tersisa jika tiada ilmu, melainkan emosi. Lantas mereka bingung lalu melantik pemimpin yang bankrup ilmu & akhlak. Dari fenomena itulah menularnya kejahilan & kezaliman.
Justeru, jika dikatakan berilah kuasa kepada manusia untuk memilih, ia pasti kedengaran ideal. Persoalannya, manusia yang bagaimana diberikan kuasa untuk memilih itu? Adakah mereka memilih berdasarkan kewarasan ilmu? Atau mereka didorong oleh kedangkalan emosi yang dibentuk oleh politikus demagog.
No comments
Post a Comment