NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

DAP: Kewaspadaan Dan Kelekaan Umat

Antara kewajiban utama politik Islam ialah sentiasa memberi peringatan kepada negara dan rakyatnya akan mara bahaya dan ancaman daripada musuh samada dari dalam dan luar.

Hampir tiada satu saat dan ketika, Islam boleh bebas dan aman daripada ancaman musuhnya. Serahmat dan sesejahtera mana Islam memperaga dirinya buat manusia, kewujudan musuh adalah tabiat dan kesemulajadian bagi perjuangan menegakkan agama di dalam kehidupan.

Justeru politik Islam mestilah memahami, mendalami, menguasai dan memiliki keupayaan untuk memintas tipu daya musuhnya pada tahap tertinggi. Politik adalah persaingan dan perebutan di kalangan pesaingnya yang pelbagai latarnya di antara kebenaran dan kebatilan. Pemenangnya adalah kumpulan yang berjaya menguasai minda rakyat dan padang politiknya yang luas dan panas membahang. Ia pintas memintas.

Ingat, politik bukan hanya berkisar soal integriti, indeks rasuah, turun naik harga barang, kebebasan bersuara dan segala janji manis ahli politik yang penuh makar. Politik seawalnya dan hakikatnya adalah persaingan hala tuju negara dan binaan asasnya. Di atas asas binaan yang benar, akan lahirlah persembahan politik dan ahli politiknya yang benar, amanah dan berintegriti.

Memandang rendah pada bahaya dan ancaman musuh adalah kebodohan dan jenayah ke atas umat. Apatah jika dilihat bersekongkol pula dengan musuh dengan alasan dan hujah rahmat Islam dan kasih sayangnya terhadap manusia. Tidakkah antara sifat yang nyata yang mesti dimiliki oleh setiap mukmin dan jamaahnya sebagaimana termaktub di dalam al Quran adalah 'berkasih sayang sesama mereka dan keras tegas ke atas musuh'?

Di medan jihad, Al Quran (lihat al Nisa':102) memberi arahan yang jelas agar para pejuang Islam tidak boleh lalai daripada dua senjata utama iaitu pedang dan sifat kewaspadaan. Pedang tanpa kewaspadaan adalah lebih bahaya daripada kewaspadaan tanpa pedang. Begitulah kehangatan nasihat dan arahan agar umat sentiasa berwaspada daripada mara bahaya dan ancaman musuh.

Politik tanpa senjata kewaspadaan adalah kelalaian yang nyata. Ia menghalang kemaraan dan kemenangan umat dengan kesalahan oleh diri sendiri. Musuh mentertawakan.

Mengapa memilih jalan yang sukar difahami oleh umat sendiri, disamari pula oleh sokongan daripada kumpulan-kumpulan yang hari-hari mereka adalah berpenat lelah berusaha menjauhkan umat Islam daripada agamanya yang sempurna?

Justeru PAS sebagai sebuah parti politik Islam, selain fungsi utamanya menyeru kepada Islam dan politiknya yang sejahtera, sentiasa berusaha mengesan mara bahaya dan ancaman ke atas umat yang menanti di hadapan. Ia adalah satu kewajiban agama yang ditekuni oleh PAS.

Ketika PAS bertegas menolak politik DAP dan kemaraannya untuk menguasai Putrajaya, ia adalah satu signal dan peringatan berterusan buat umat Islam dan rakyat Malaysia bahawa ideologi dan perjuangan DAP adalah ancaman untuk Islam dan negara. DAP sedang merobek dan merosakkan segala tunjang sedia ada yang mendukung kerukunan dan ketatasusilaan negara.

Hujah kebebasan bersuara, demokrasi, integriti, kesamarataan dan seumpamanya yang tidak berteraskan neraca Islam hakikatnya adalah perajaan terhadap akal dan nafsu manusia yang terlarang. Ia hanyalah kepalsuan yang akan berakhir dengan kerosakan dan kerugian buat negara. Ia akan menanggalkan pakaian tauhid, akhlak dan cara hidup Islam yang mesti sentiasa diperkasakan ke atas umat Islam.

PAS juga secara langsung dan tegas mengecam dan menolak politik PAN yang atas nama dan hujah agama, berusaha keras menaturalisasikan perjuangan DAP sehingga menjadikannya sebahagian daripada aktor penting pementasan Negara Rahmah momokan mereka. PAN, bagi PAS tidak lebih selain kabus atau jerebu yang menghalang pandangan umat terhadap ancaman musuhnya.

PAN hanyalah sitkom dan bahan ketawa DAP. Ia lahir daripada keegoan dan lagak diri sebagai alim politik. Semoga pementasan ini berakhir sebelum senja.

Ini adalah pernyataan serius daripada PAS buat negara Malaysia tercinta. Ia adalah tanda kecintaan dan kasih sayang buat negara dan umat. Ambillah peringatan daripada nasihat dan panduan agama. Sesungguhnya peringatan itu memberi manfaat kepada orang-orang yang beriman.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo