oleh: Dato' Iskandar Abdul Samad
5 Zulhijjah 1440 / 5 Ogos 2019REACH mengalu-alukan pengumuman Menteri Perumahan (KPKT), Hajjah Zuraida Kamaruddin, untuk mengadakan satu mesyuarat jawatankuasa yang membabitkan semua pihak terlibat bagi mencari satu mekanisme untuk mengurangkan insiden melibatkan lif di negara ini. Keputusan ini adalah selepas kejadian lif terhempas di PPR Kg Kerinchi, Kuala Lumpur Jumaat lepas yang mengakibatkan 8 penduduk cedera.
Walau bagaimanapun kami berharap KPKT tidak hanya memberi penekanan kepada lif tetapi kepada aspek-aspek lain terutamanya di Program Perumahan Rakyat ( PPR ). Kebanyakan PPR telah lama dibina dan ada yang usianya melebihi 20 tahun.
Oleh yang demikian satu pemeriksaan yang terperinci ( audit ) perlu dilakukan oleh kerajaan untuk memastikan ianya masih selamat didiami.
Lif memang merupakan aspek utama yang perlu diberi perhatian tetapi terdapat aspek-aspek lain yang juga perlu diambil berat. Di antaranya adalah,
1.) PENDAWAIAN ELEKTRIK.
Pendawaian elektrik yang usang boleh mengakibat litar pintas dan kebakaran. Sebarang kebakaran di PPR 17 tingkat boleh menyebabkan bukan sahaja kerugian harta benda tetapi kehilangan nyawa. Oleh itu, pendawaian elektrik perlu diperiksa untuk menentukan sama ada ia masih selamat atau tidak.
Kerajaan mesti bersedia untuk menanggung kos pendawaian semula. Kerajaan tidak boleh cuba untuk melakukan sebarang penjimatan jika ia melibatkan nyawa penduduk.
2.) TEMBOK BATU DAN “RAILINGS” YANG TIDAK LAGI KUKUH.
Tembok dan “railings” terutamanya di koridor mestilah disahkan masih kukuh. Tembok yang telah usang boleh runtuh bila-bila masa. “Railings” yang teruk berkarat boleh tertanggal. Ia amat merbahaya kepada sesiapa yang bersandar kepada tembok atau “railings” tersebut terutamanya kanak-kanak. Mereka berkemungkinan akan terjatuh dan jika dari tingkat yang tinggi boleh mengakibatkan kecederaan parah malah kematian. Terdapat 2 kes kanak-kanak meninggal dunia akibat terjatuh dari sebuah PPR kerana “railings” yang telah tertanggal.
Tembok dan “railings” yang jatuh dari tingkat atas juga boleh membunuh dan mencederakan mereka di bawah.
Ketika saya menjadi Exco Perumahan Negeri Selangor, pada tahun 2016 Kerajaan Negeri telah membaik pulih “railings” di koridor dan tangga di PPR Kota Damansara yang telah karat dan ada yang telah tertanggal.
3.) KEPINGAN PENUTUP BUMBUNG YANG REPUT DAN USANG.
Kepingan penutup bumbung seperti genting konkrit, kepingan logam atau kepingan gentian simen ( cement fibre ) yang reput, pecah atau usang boleh mengakibatkan kebocoran ketika hujan. Air yang memasuki kediaman mungkin tidak merbahaya tetapi ia boleh menyebabkan litar pintas yang boleh mengakibatkan kebakaran atau boleh mengalirkan arus elektrik yang menjadi punca kepada renjatan elektrik.
Selain dari itu, kepingan bumbung yang jatuh dari atas atau diterbangkan angin boleh menyebabkan kecederaan parah atau kematian jika mengenai penduduk.
Kos menukar bumbung adalah tinggi tetapi ianya satu keperluan jika dapat meningkatkan keselesaan penduduk dan mengelakkan berlakunya kemalangan jiwa.
Oleh itu, kami berharap KPKT dan kerajaan-kerajaan negeri yang terlibat akan bekerjasama melaksanakan pemeriksan terperinci ( audit ) yang menyeluruh agar keselamatan penduduk adalah terjamin.
Berdasarkan pengalaman saya sebagai Exco sebelum ini, kerajaan negeri turut membaikpulih kemudahan-kemudahan di PPR tetapi mereka mungkin tidak memiliki dana yang mencukupi untuk menanggung keseluruhan kos tersebut. Oleh itu, Kerajaan Persekutuan perlu memperuntukan dana yang mencukupi.
Dalam tahun 2012 ketika saya Exco Perumahan, Kerajaan Negeri Selangor telah membelanjakan RM3.2 juta untuk membaikpulih 29 lif dan 2 pam air di PPR Kota Damansara dan PPR Taman Putra Permai, Lembah Subang. Pada pandangan kami,
Kerajaan Persekutuan perlu memperuntukan sekurang-kurangnya RM200 juta untuk membaikpulih semua PPR. Kerajaan tidak boleh menunggu apabila berlaku kemalangan baru hendak bertindak.
Dato' Iskandar Abdul Samad ialah Ketua Penyelaras REACH(Pusat Sumber Untuk Memajukan Masyarakat Dan Perumahan)
No comments
Post a Comment