NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Benarkah Dong Zong tidak rasis?


KOTA BHARU 14 Ogos - Walaupun menafikan mereka rasis sebagaimana dilabel Perdana Menteri, Tun. Dr. Mahathir Mohamad, tindak-tanduk Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) terhadap usaha penyatuan kaum di negara ini mencerminkan perkara sebaliknya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi negeri, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, jika benar tidak rasis, Dong Zong perlu meraikan Jawi dan tulisan khat dari sudut positif iaitu sebagai satu proses asimilasi komunikasi rakyat pelbagai kaum.

Malah kata Ahli Jawatankuasa Pas itu, Kelantan sendiri melihat kepelbagaian kaum sebagai khazanah yang perlu diraikan dan tidak mempunyai masalah memperkenalkan subjek bahasa Mandarin di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias) serta sekolah-sekolah agama di negeri ini.

"Apabila pelajar sekolah agama kita belajar bahasa Cina atau Mandarin, adakah itu bermaksud kita berminat pada agama Buddha? Atau Kristian? Tidak. Jadi pandanglah dari sudut positif.

"Tidak sepatutnya mereka menentang Jawi dan khat seagresif begitu, kerana orang akan buat kesimpulan Dong Zong ini kumpulan pelampau yang akan membantah apa sahaja unsur keMelayuan dan Islamik. Mereka dianggap anti-Islam walaupun niat dia bukan begitu.

"Dalam keadaan negara kita berdepan konflik kaum dan agama yang meruncing hari ini, tidak perlu lagi ada pihak yang menambah api," katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Dr. Mahathir Mohamad dilaporkan melabel Dong Zong sebagai rasis kerana tidak pernah bersetuju dengan dasar pendidikan negara, termasuk dalam isu pembinaan Sekolah Wawasan sebelum ini.

Beliau berkata, Dong Zong menunjukkan sikap sama apabila pertubuhan itu membantah pembelajaran Jawi dan tulisan khat di sekolah vernakular, sedangkan keputusan tersebut dibuat kerajaan terdahulu sejak 2012.

Dong Zong yang dilaporkan menggerakkan usaha mengumpul petisyen membantah pembelajaran Jawi dan tulisan khat bagaimanapun menafikan tuduhan Perdana Menteri kononnya mereka rasis.

Mengulas lanjut, Mohamed Fadzli berkata, Dong Zong perlu berpada-pada dan tidak bersikap melampau dalam membuat tuntutan, lebih-lebih lagi pertubuhan itu hanya menjaga kepentingan kaum Cina sahaja.

"Bagaimana dengan Melayu? Bagaimana dengan India? Kalau semua kaum ada kumpulan yang melampau dalam membuat tuntutan untuk kelompok dia sahaja, bagaimana kita nak tubuh negara bangsa, iaitu Bangsa Malaysia?

"Sekolah Wawasan dulu dia juga yang tidak setuju walaupun itu idea yang baik. Memang sesuailah orang gelar Dong Zong ni macam-macam. Tak perlu nafi," katanya. - UTUSAN ONLINE

Sumber: http://m.utusan.com.my/berita/nasional/benarkah-dong-zong-tidak-rasis-1.954361

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo