Mukadimah
Alhamdulillah, segala puji kami panjatkan kepada-Nya. Selawat dan salam ke atas Junjungan Nabi SAW, keluarga, para sahabatnya dan yang mengikut jejak langkah hingga ke hari akhirat.
Bulan Ogos ini, bagi kita rakyat Malaysia akan teringat detik 31 Ogos dengan gambar al-Marhum Tunku Abdul Rahman yang melaungkan 'Merdeka' menjadi sejarah yang tidak akan dilupakan. Ketika berlangsungnya peristiwa keramat tersebut, bendera Union Jack diturunkan dan bendera Malaysia dikibarkan dengan gah dan izzah. Inilah merdeka yang didambakan oleh rakyat Malaysia selepas dijajah hampir setengah ribu tahun bermula dengan Portugis 1511 dan berakhir dengan Inggeris 31 Ogos 1957.
Terkadang-kadang kita terlupa peranan bendera Malaysia yang sudah pasti sebahagian dari kalangan kita tidak merasa apa-apa simbol tersebut. Justeru, Bayan Linnas pada kali ini akan mengupas berkenaan dengan bendera Malaysia dan tanggungjawab kita terhadapnya. Makanya kami namakan Bayan Linnas pada kali ini dengan tajuk Bendera Malaysia: Hormatilah.
Semoga kasih kita kepada negara kita dan juga kefahaman berkenaan dengan bendera Malaysia dapat diserlahkan. Amin.
Takrif Bendera
Menurut Kamus Dewan, bendera bermaksud sepotong kain segi empat atau segi tiga dengan gambar atau warna tertentu yang digunakan sebagai lambang atau sebagai tanda atau panji-panji. Bendera Kebangsaan ialah bendera yang digunakan sebagai tanda sesebuah negara. (Lihat Dewan Bahasa dan Pustaka)
Sejarah Bendera Malaysia
Penciptaan Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah diilhamkan melalui satu pertandingan mereka cipta bendera peringkat kebangsaaan pada Mei 1948. Seramai 373 karyawan telah mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut dan telah melalui proses pemilihan serta pertimbangan. Pada 15 November 1949 hanya tiga reka bentuk yang berjaya dipilih ke peringkat akhir.
Reka bentuk seorang arkitek Jabatan Kerja Raya Negeri Johor, Encik Mohamed Bin Hamzah[1] telah mendapat majoriti dan perkenan Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada 22 dan 23 Februari 1950. Walau bagaimana pun reka bentuk bendera tersebut telah dibuat beberapa pindaan iaitu bulan sabit dan bintang yang pada asalnya berwarna putih diganti dengan warna kuning bagi melambangkan warna diraja.
Pada 26 Mei 1950, buat pertama kalinya bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dikibarkan di hadapan Istana Sultan Selangor di Kuala Lumpur. Majlis pengibaran itu dihadiri oleh Sultan Selangor dan Menteri Besar bagi Negeri Perak, Terengganu, Perlis, Kedah dan Negeri Sembilan. Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dinaikkan oleh Sir Henry Gurney[2] iaitu Pesuruhjaya Tinggi British bagi Persekutuan Tanah Melayu.
Jalur Gemilang[3] ialah bendera Malaysia yang mempunyai 14 jalur merah dan putih yang sama lebar bermula dengan jalur merah di bahagian atas dan berakhir dengan jalur putih di bahagian bawah. Jalur Bendera Malaysia melambangkan satu haluan yang lurus, hala tuju dan arah yang sama diikuti oleh rakyat negara ini dalam menuju kegemilangan bangsa dan negara. Jalur Gemilang ini mewakili keanggotaan 13 buah negeri manakala 1 jalur mewakili Kerajaan Persekutuan.
Gemilang pula bermaksud bercahaya terang benderang dan cemerlang. Ia juga melambangkan kecemerlangan negara dan rakyat Malaysia dalam mengharungi suasana kehidupan dengan penuh gigih, taat dan bersatu padu serta boleh menaikkan imej negara di dalam dan di luar negara. (Lihat Bendera Kita Jalur Gemilang oleh Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan Malaysia, hlm. 3-5)
Tafsiran dan Makna Bendera Malaysia
Setiap lambang dan warna yang terdapat pada Bendera Malaysia mewakili maksud-maksud tertentu.
Bahagian yang berwarna biru tua di sebelah kiri melambangkan perpaduan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, bersatu padu dan berusaha dalam memajukan pembangunan ekonomi berasaskan sains serta teknologi moden.
Warna kuning pada lambang anak bulan dan bintang pecah 14 bermaksud kedaulatan Raja Berperlembagaan serta mendokong dan menghormati lunas-lunas perlembagaan dan falsafah Rukun Negara.
Lambang anak bulan membawa maksud Islam sebagai agama rasmi negara sementara bintang pecah 14 menunjukkan perpaduan 13 buah negeri dan kerajaan Persekutuan.
Merah melambangkan keberanian dan bersedia dalam menghadapi segala rintangan dan cabaran dalam usaha meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara maju.
Warna putih pula melambangkan kesucian, keikhlasan dan kesungguhan bagi mempertingkatkan ketahanan rakyat yang beradab dan berkeperibadian Malaysia. (Lihat Bendera Kita Jalur Gemilang, hlm. 8-9)
Maksud Bendera dalam Islam
Bendera mempunyai pelbagai nama. Jika kita melihat dalam bahasa Arab dan sejarah Islam ada beberapa nama yang masyhur sebagai istilah yang menunjukkan makna bendera, antaranya al-Liwa'
(Ų§ŁŁِّŁَŲ§Ų”ُ), ar-Rayah (Ų§ŁŲ±َّŲ§ŁَŲ©ُ), al-'Alam (Ų§ŁْŲ¹َŁَŁ
ُ) dan al-'Uqab (Ų§ŁŲ¹ُŁَŲ§ŲØ).
Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani berkata: al-Liwa' (Ų§ŁŁِّŁَŲ§Ų”ُ), al-Rayah (Ų§ŁŲ±َّŲ§ŁَŲ©ُ) dan al-'Alam (Ų§ŁْŲ¹َŁَŁ ُ) adalah satu perkara dengan sebutan berbeza. Beliau berkata: "Al-Liwa' dengan huruf lam yang dibaca kasrah dan waw panjang adalah ar-Rayah (bendera) dan disebut juga dengan al-'Alam." (Lihat Fath al-Bari, 6/126)
Ia menjadi simbol dan memberi makna sesebuah negara, negeri, blok, pasukan, jabatan atau lain-lain. Ia sentiasa dikibarkan bagi menunjukkan kedaulatan dan penguasaan negara tersebut pada satu-satu tempat.
Antara hadis dan athar yang menggambarkan tentang bendera dan panji pasukan perang semasa zaman Nabi SAW ialah, daripada Ibn 'Abbas R.Anhuma, katanya:
ŁَŲ§Łَ ŁِŁَŲ§Ų”ُ Ų±َŲ³ُŁŁِ Ų§ŁŁŁِ ŲµَŁَّŁ Ų§ŁŁَّŁُ Ų¹َŁَŁْŁِ ŁَŲ³َŁَّŁ
َ Ų£َŲØْŁَŲ¶َ ، ŁَŲ±َŲ§ŁَŲŖُŁُ Ų³َŁْŲÆَŲ§Ų”َ
Maksudnya: "Bendera (Liwa) Rasulullah SAW berwarna putih, dan panjinya (Rayah) berwarna hitam."
Riwayat Al-Hakim dalam al-Mustadrak (2506) dan
al-Baihaqi dalam Dala'il al-Nubuwwah (4/376)
Begitu juga daripada Ibn 'Abbas R.Anhuma, katanya:
ŁَŲ§ŁَŲŖْ Ų±َŲ§ŁَŲ©ُ Ų±َŲ³ُŁŁِ Ų§ŁŁَّŁِ ŲµَŁَّŁ Ų§ŁŁŁُ Ų¹َŁَŁْŁِ ŁَŲ³َŁَّŁ
َ Ų³َŁْŲÆَŲ§Ų”َ ŁَŁِŁَŲ§Ų¤ُŁُ Ų£َŲØْŁَŲ¶ُ، Ł
َŁْŲŖُŁŲØٌ Ų¹َŁَŁْŁِ: ŁَŲ§ Ų„ِŁَŁَ Ų„ِŁَّŲ§ Ų§ŁŁَّŁُ Ł
ُŲَŁ
َّŲÆٌ Ų±َŲ³ُŁŁُ Ų§ŁŁَّŁِ
Maksudnya: "Panji (rayah) Rasulullah SAW berwarna hitam, dan benderanya (liwa') berwarna putih, tertulis padanya: "ŁَŲ§ Ų„ِŁَŁَ Ų„ِŁَّŲ§ Ų§ŁŁَّŁُ Ł ُŲَŁ َّŲÆٌ Ų±َŲ³ُŁŁُ Ų§ŁŁَّŁِ".
Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu'jam al-Ausat (219)
Ketika peristiwa penaklukan kota Mekah, dicatatkan bahawa Rasulullah SAW memasuki kota Mekah dengan membawa bendera (al-liwa') berwarna putih. Daripada Jabir bin Abdillah R.A, katanya:
Ų£َŁَّ Ų§ŁŁَّŲØِŁَّ ŲµَŁَّŁ Ų§ŁŁŁ Ų¹َŁŁْŁِ ŁŲ³َŁَّŁ
َ ŲÆَŲ®َŁَ Ł
َŁَّŲ©َ ، ŁَŁْŁ
َ Ų§ŁْŁَŲŖْŲِ ŁَŁِŁَŲ§Ų¤ُŁُ Ų£َŲØْŁَŲ¶ُ
Maksudnya: "Bahawa Nabi SAW memasuki kota Mekah ketika Peristiwa Pembukaan dengan benderanya (liwa') berwarna putih."
Ibn Majah (2817), Abu Daud (2594), al-Tirmizi (1679)
dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (13441)
Syeikh Abdul Hayyi al-Kattani menjelaskan rahsia bahawa jika suatu kaum berhimpun di bawah satu panji/bendera, itu bererti panji/bendera itu menjadi tanda kesatuan pendapat mereka (ijtima'i kalimatihim) dan persatuan hati mereka (ittihadi qulubihim). Dengan demikian mereka bagaikan satu tubuh. (Lihat al-Taratib al-Idariyyah oleh Abd al-Hayyi al-Kattani, 1/266)
Panji pasukan pada zaman Nabi SAW sangat diutamakan serta tidak dibuat sewenang-wenangnya. Ibn Battal ketika menjelaskan tentang al-Rayah sebagai berikut: "Dalam hadis tersebut (hadis pemberian bendera oleh Rasul pada pemimpin perang), diketahui bahwa al-Rayah tidak wajib dibawa kecuali oleh orang yang diberi kuasa oleh Imam (Pemimpin Negara) dan tak mempunyai autoriti apa pun bagi orang yang mengambilnya kecuali dengan adanya mandat kekuasaan." (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari oleh Ibn Battal, 5/ 141)
Begitu juga sepertimana dijelaskan oleh Ibn al-Athir dengan katanya: "Tidaklah boleh memegang al-Liwa' kecuali pemimpin pasukan tentera." (Lihat al-Nihayah fi Gharib al-Hadith wa al-Athar, 4/279).
Mengapakah Negara Kita Mempunyai Bendera Kebangsaan?
Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan seperti berikut dengan sedikit tafsiran. Antaranya untuk:
membangkitkan semangat patriotik
menimbulkan rasa bangga terhadap negara
tanda ketaatan dan negara
lambang kemegahan penduduk
lambang rasmi negara
identiti sesebuah negara
lambang kedaulatan negara[4]
Kesemua alasan di atas, apabila kita melihat acara rasmi negara masing-masing, begitu juga acara sukan seperti Sukan Olimpik, Bola Sepak Piala Dunia dan lain-lain akan dijulang bendera pemenang serta dinyanyikan lagu kebangsaan masing-masing. Bahkan sebelum perlawanan diarak bendera negara masing-masing dan dinyanyikan lagu kebangsaan negara mereka. Ada yang menitiskan air mata sebagai petanda cintakan kepada negara mereka. Hal ini akan dirasai oleh seseorang rakyat yang mempunyai semangat patriotik kepada negaranya.
Ini sudah berlaku kepada rakyat Malaysia yang mewakili negara dengan bangganya menjulang jalur gemilang serta menyanyikan lagu kebangsaan. Kita boleh rujuk dalam arkib.
Tanggungjawab Kita Terhadap Bendera
Kami nyatakan di sini antara tanggungjawab yang perlu dimainkan oleh rakyat sesebuah negara terhadap Bendera Kebangsaan masing-masing:
Mempertahankannya dari dijatuhkan atau dihina.
Sejarah peperangan dalam Islam jelas menunjukkan Rasulullah SAW mengurniakan bendera kepada panglima atau ketua pasukan. Mereka menganggap amanah yang cukup besar yang wajib dipertahankan dan tidak boleh dijatuhkan sementelahan lagi dari pihak musuh atau dihina. Peperangan Mu'tah[5] menunjukkan bagaimana Ja'far bin Abi Talib R.A menjaga dan mempertahankan bendera sekalipun kedua-dua belah tangannya ditetak, tetapi tetap mempertahankan bendera dengan tunggul tangan yang berbaki.
Syeikh Sofiyurrahman al-Mubarakfuri menyebut: Setelah Zaid bin Harithah menemui syahid, panji Islam terus diambil oleh Jaafar bin Abi Talib. Beliau juga tidak kurang hebatnya dari Zaid bin Harithah, hingga apabila beliau terasa berat berperang dengan kuda, beliau melompat dari kudanya yang berwarna perang itu lantas disembelihnya. Kini beliau bertempur di bawah, hingga apabila tangan kanannya terputus maka panji Islam itu dipegang dengan tangan kirinya, dan setelah tangan kirinya terpotong pula, lalu diapit bendera itu dengan dua belah lengannya.
Dengan keadaan begini beliau terus menjulang bendera Islam hinggalah beliau gugur syahid. Ada pula pendapat mengatakan yang beliau telah ditetak oleh seorang tentera Rom sehingga terputus dua, dan kemudian Allah menggantikannya dengan dua sayap yang membolehkan beliau terbang di dalam syurga Allah, ke mana sahaja yang dia mahu. Kerana itu beliau dikenali sebagai Ja'far al-Tayyar dan Jaafar Zu al-Janahain (yang mempunyai dua sayap).
Al-Bukhari meriwayatkan dari Nafi' bahawa Ibn Umar R.Anhuma telah menceritakan kepadanya semasa beliau mendapati Jaafar telah syahid, pada tubuhnya terdapat kesan-kesan pukulan dan tikaman sebanyak lima puluh liang, tidak ada satu pun di sebelah belakangnya.
Di dalam satu riwayat yang lain kata Ibnu Umar: Aku bersama mereka di dalam peperangan berkenaan. Kami mencari Jaafar dan kami dapati beliau di antara yang terbunuh syahid. Kami melihat pada jasadnya lebih sembilan puluh liang tikaman dan tetakan yang telah disebut dalam riwayat al-Umri dari Nafi'. Dan kami telah mendapati kesemuanya itu dari sebelah hadapan jasadnya.
Ketika Jaafar gugur syahid selepas pertarungan yang sengit itu maka bendera Islam lantas disambar oleh Abdullah bin Rawahah. Kemudian beliau pun terus memecut kudanya mara ke hadapan. (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 275-276)
Jangan memijak bendera.
Ini kerana memijak bendera sendiri seolah-olah tidak menghormati negara kita sendiri. Saya teringat kisah perhimpunan pemimpin-pemimpin dunia. Sebagai petanda setiap pemimpin dari sudut susunan kedudukan yang ditetapkan, maka dilihat di bawah kakinya bendera masing-masing. Tiba-tiba Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan[6] telah mengambil bendera negaranya Turki dan menyimpan dalam sakunya. Peristiwa ini memaknakan betapa sensitifnya seseorang yang memahami tentang bendera masing-masing.
Memacakkan bendera pada tempat yang tinggi.
Pembukaan kota Konstantinopel oleh Sultan Muhammad al-Fateh pada tahun 1485 Masihi bersamaan 857 Hijrah berjaya selepas hampir 54 hari dikepung. Akhirnya panglima tentera Turki, Hasan Ulubatli[7] telah memacak bendera di tembok tertinggi kerajaan Konstantinopel sekaligus memarakkan lagi semangat tentera Uthmaniyah dalam mentahqiqkan hadis Nabi SAW yang berbunyi:
ŁَŲŖُŁْŲŖَŲَŁَّ Ų§ŁْŁُŲ³ْŲ·َŁْŲ·ِŁŁِŁَّŲ©ُ ، ŁَŁَŁِŲ¹ْŁ
َ Ų§ŁْŲ£َŁ
ِŁŲ±ُ Ų£َŁ
ِŁŲ±ُŁَŲ§ ، ŁَŁَŁِŲ¹ْŁ
َ Ų§ŁْŲ¬َŁْŲ“ُ Ų°َŁِŁَ Ų§ŁْŲ¬َŁْŲ“ُ
Maksudnya: "Sesungguhnya Konstantinopel akan dibukakan. Sebaik-baik pemerintah ialah pemerintah yang membukanya dan sebaik-baik tentera ialah tentera pemerintah itu."
Riwayat Ahmad (18957) dan al-Hakim dalam al-Mustadrak (8300)
Jangan sekali-kali memasang bendera secara terbalik.
Ini akan memberi banyak maksud serta persepsi yang tidak baik sama ada ketidakcaknaan dan keprihatinan kedudukan bendera itu sendiri. Pada Jumaat yang lepas, 23 Ogos 2019, sebelum mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk solat Jumaat di Masjid Salahuddin al-Ayyubi, Taman Melati, saya sempat bersama rakan menjamu selera di salah sebuah restoran Arab di sekitar tersebut. Saya melihat beberapa pekerja Arab sedang memasang bendera Malaysia. Bendera yang pertama dipasang dengan benar dan betul. Kemudian, mereka mahu memasang satu lagi bendera. Pada awalnya, mereka cuba silangkan, tetapi kemudian mereka membetulkan semula berdasarkan kepada kedudukan bendera pertama. Maka terdetik pada hati saya, walaupun mereka tidak memahami maksud yang mendalam berkenaan dengan makna dan tafsiran bendera Malaysia, tetapi sekurang-kurangnya mereka mengambil kecaknaan dalam pemasangan bendera Malaysia.
Menggantikan bendera yang lusuh dengan yang baru.
Ini kerana ia merupakan lambang sesebuah negara yang perlu dihormati. Makanya bendera yang lusuh, carik, rosak dan koyak akan menunjukkan rakyat yang kurang prihatin terhadap lambang negara iaitu bendera yang sebenarnya bukti kasih dan cinta kita kepada negara.
Cadangan Kami
Kami kemukakan di sini beberapa cadangan:
Wujudkan hari Bendera Malaysia. Ini sebagai tajdid, sokongan dan dokongan serta kasihkan negara.
Mulakan Berita Perdana jam 8 malam dengan kibaran bendera Malaysia serta lagu Kebangsaan kerana ia adalah waktu puncak bagi penonton.
Kibarkan Jalur Gemilang pada bangunan kerajaan, swasta dan syarikat.
Popularkan lagu Bendera Malaysia. Setakat dapatan kami, telah terdapat sekurang-kurangnya dua buah lagu iaitu Jalur Gemilang[8] dan Benderaku[9].
Masukkan silibus dalam subjek Sivik pada peringkat Sekolah Rendah dan sejak Tadika lagi akan semangat patriotik serta menghormati bendera Malaysia dan lagu Negaraku.
Penutup
Kami nukilkan di sini kata-kata pujangga, antaranya:
Albert Camus berkata:
Saya perlu mencintai negara saya dan keadilan.R Bulwer Lython berkata:
Setiap orang mencintai dan bangga pada negaranya sendiri, kerana dia dilahirkan di negara itu.(Lihat Negara Sejahtera Rahmat untuk Semua, hlm. 4)
Berdasarkan kepada situasi semasa dan juga keperluan memberi kefahaman kepada masyarakat dan rakyat berkenaan dengan peri pentingnya menghormati Bendera Kebangsaan, maka kami cadangkan agar kerajaan menggubal suatu akta berkenaan penggunaan bendera Malaysia atau logo rasmi Malaysia bagi memastikan rakyat menghormati dan mencintai bendera yang menjadi kebanggaan negara. Hal seperti ini sudah berlaku di negara lain seperti Amerika Syarikat, India dan Singapura yang mempunyai Akta Bendera yang tersendiri.
Masyarakat hendaklah diberi kefahaman yang jelas dan mereka perlu mengubah sikap serta mentaliti berkenaan dengan Bendera Kebangsaan yang juga dikenali sebagai Jalur Gemilang menjadi lambang identiti negara tempat tumpah darah kita. Adalah tidak wajar untuk mengambil mudah dan enteng perihal menjaga martabat identiti negara seperti Bendera Kebangsaan dan juga lagu Kebangsaan.
Semoga negara kita Malaysia sentiasa aman dan masyarakatnya berpadu erat dalam membangun ke arah kegemilangan. Marilah sama-sama kita kibarkan jalur gemilang sempena sambutan Hari Merdeka pada tahun ini dengan lebih gah dan izzah.
Akhir kalam, kami berdoa dan munajat:
Akhukum fillah,
SS Dato' Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
25 Ogos 2019 bersamaan 25 Muharram 1441 Hijri
__________________
Nota Hujung:
[1] Mohamed bin Hamzah (5 Mac 1918 - 19 Februari 1993) merupakan pencipta Jalur Gemilang, bendera Malaysia. Beliau berasal dari Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru, Johor. (Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Mohamed_bin_Hamzah)
[2] Henry Gurney dilahirkan pada 27 Jun 1898 di Cornwall, United Kingdom. Dia adalah anak lelaki GGH Gurney dan Florence Gurney. Dia belajar di Kolej Winchester Universiti College, Oxford. Berkahwin dengan Lady Isabel Lowther Weir pada 1924 dan mendapat dua anak lelaki, Michael dan Peter.
Beliau telah melancarkan Rancangan Briggs dengan tujuan untuk memutuskan hubungan komunis dengan penduduk setempat. Beliau telah melancarkan kempen 'Bulan Penduduk Tanah Melayu Menentang Komunis'. Beliau juga telah menubuhkan Jawatankuasa Hubungan Antara Kaum untuk mengeratkan perpaduan rakyat menentang komunis. Beliau telah menggalakkan penubuhan penubuhan parti politik Cina yang tidak berhaluan ke Negara China.
Namanya kini terpahat di salah sebuah sekolah di Telok Mas, Melaka. Pada 6 Oktober 1951, dia ditembak mati di Bukit Fraser dalam perjalanan menghadiri satu mesyuarat di sana. Dia ditembak mati oleh sekumpulan gerila pengganas komunis dari Parti Komunis Malaya. (Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Henry_Gurney)
[3] Tanggal 30 Ogos 1997, Perdana Menteri Malaysia, YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad secara rasmi menamakan bendera Malaysia sebagai Jalur Gemilang.
[4] Lihat https://gerbangsejaraham.blogspot.com/2012/11/q-jata-negara-dan-bendera-malaysia.html.
[5] Perang Mu'tah (Bahasa Arab: Ł
Ų¹Ų±ŁŲ© Ł
Ų¤ŲŖŲ© , ŲŗŲ²ŁŲ© Ł
Ų¤ŲŖŲ©) berlaku pada bulan Jamadi al-Awwal tahun ke lapan Hijrah bersamaan tahun 629M ketika di akhir kehidupan Nabi Muhammad SAW. Ketika ini baginda menghantar tentera seramai 3,000 orang untuk menghadapi tentera Rom Byzantine seramai 100,000 orang tentera.
Tujuan baginda menghantar tentera Islam kerana sebagai tindak balas atas pembunuhan seorang utusan baginda ke wilayah kerajaan Ghassan ketika baginda ingin menyebarkan Islam ke wilayah jajahan Rom.
Ketika ini, baginda melantik tiga orang panglima Islam dengan Zaid ibn Harithah dilantik sebagai ketua panglima, Ja'afar ibn Abi Thalib sebagai ketua panglima sekiranya Zaid terkorban dan Abdullah ibn Rawahah sebagai pengganti Ja'afar sekiranya Ja'afar terkorban.
Pertempuran berlaku di Karak di mana pada hari ini terletak di dalam negara Jordan. Di dalam peperangan ini, ketiga-tiga ketua panglima yang dilantik oleh Nabi terkorban. Apabila kesemua panglima terkorban, Thabit ibn Arqam mengendalikan tentera Islam buat seketika, namun beliau tidak berkehendak untuk memimpin tentera Islam ketika itu.
Setelah beberapa ketika, Thabit mencadangkan Khalid bin al-Walid dilantik sebagai ketua panglima tentera Islam. Perlantikan ini dipersetujui oleh kesemua tentera Islam. Selepas perlantikannya, Khalid bertindak dengan menyelamatkan tentera Islam daripada diasak hebat oleh tentera Rom.
Dengan strategi pertukaran yang dibuat dan susunan tentera secara memanjang ke belakang beserta taktik untuk melakukan keriuhan di barisan belakang, taktik ini berjaya mengelirukan barisan hadapan tentera Byzantine. Hasilnya. Khalid berjaya mengundurkan tentera Islam sedikit demi sedikit tanpa dikejar oleh tentera musuh.
Selepas ini, Khalid bertindak cemerlang dalam memimpin tentera Islam dalam usaha untuk menyebarkan Islam di Parsi dan di dalam siri Peperangan Islam-Rom Byzantine.
[6] Perhimpunan tersebut adalah bersama pemimpin negara G-20 di St. Petersburg, Russia pada 6 September, 2013.
[7] Beliau lahir pada 831 Hijrah bersamaan 1428 Masihi di Ulubatli (Ų£ŁŁŲØŲ§ŲŖŁŁ) di Karacabey yang merupakan sebuah daerah di Wilayah Bursa, Turki.
[8] Lirik lagu Jalur Gemilang:
Merah mu bara semangat waja
Putih mu bersih budi pekerti
Kuning berdaulat payung negara
Biru perpaduan kami semua
Puncak dunia telah kau tawan
lautan luas telah kau redah
Membawa semangat jiwa merdeka
Semarak jaya kami warganya
Empat belas melintang jalurnya
Semua negeri dalam Malaysia
Satu suara satu semangat
Itu sumpah warga berdaulat
Jalur Gemilang... di bawah naunganmu Jalur Gemilang...
kami semua bersatu
Perpaduan ketaatan Amalan murni rakyat Malaysia
Jalur Gemilang...
megah kami terasa
Jalur Gemilang... kibarkanlah wawasan
Merah putih biru kuning
Jalur semangat kami semua
Berkibarlah
Berkibarlah
Berkibarlah
Jalur Gemilang!
Pencipta: Pak Ngah
Penulis Lirik: Siso Kopratasa
[9] Lirik Lagu Benderaku:
Bendera ku yang gagah perkasa
Merah putih kuning biru warnanya
Berkibar megah penuh bercahaya
Pusaka kita rakyat Malaysia
Bendera Malaysia oh bendera ku
Ku pertahankan sepenuh raga ku
Dikaulah lambang negara berpadu
Di bawah naungan Duli Tuanku
Berkibar terus oh bendera ku
Kau kan ku junjung sepanjang waktu
Harumlah nama negara yang tercinta
Pada mu tempat taat dan setia
Bendera Malaysia bendera kita
Kemegahan rakyat kita semua
Berkibar berkibar di ruang angkasa
Dirgahayu bendera tercinta.
Ciptaan dan Seni Kata: Tony Fonseka
from Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan - Bayan Linnas https://ift.tt/2zhHtYd
No comments
Post a Comment