NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Setiu bakal miliki taman tema berkonsep agro-pelancongan



SETIU: Sebuah taman tema berkonsepkan agro-pelancongan bakal dibina di Setiu awal tahun depan.

Pengurus Besar Peladang Setiu Agro Resort, Ahmad Sanusi Ibrahim berkata projek pembinaan taman tema yang dijangka menelan kos lebih RM4 juta itu akan mengambil masa kira-kira setahun untuk siap sepenuhnya.

"Setelah menerima kelulusan dasar dari kerajaan negeri pada November tahun lalu, kita kini dalam proses menghantar pelan pembangunan kepada pihak berkuasa tempatan.

"Bila pelan itu diluluskan, projek tersebut akan melalui beberapa fasa dan dibina pada keluasan tanah 4.46 hektar berdekatan Peladang Setiu Agro Resort di Guntung," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Katanya taman tema tersebut akan dikelilingi keindahan alam semulajadi yang menjadikan ia berbeza daripada taman tema yang lain.

Menurut Ahmad, dengan adanya taman tema itu, ia bukan sahaja akan membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat malah turut menjadi tarikan tambahan kepada Peladang Setiu Agro Resort.

"Pelancong bukan sahaja dapat meluangkan masa di taman tema, malah dapat melakukan aktiviti seperti water rafting, jungle tracking, flying fox dan sebagainya yang turut ditawarkan di resort kami," katanya.

Sementara itu, Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Komunikasi, Ariffin Deraman berkata sekiranya projek itu berjaya, Setiu akan menjadi pintu pelancongan Terengganu.

"Lokasi projek itu mempunyai pemandangan yang cantik kerana ia berada di kawasan berbukit bukau dan mampu menarik pelancong," katanya ketika ditemui Bernama selepas lawatan kerja ke Setiu hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ariffin berkata kerajaan negeri meluluskan peruntukan segera sebanyak RM60,000 bagi membaik pulih infrastruktur seperti tandas, bilik persalinan serta surau di Air Terjun Lata Chakah dan Lata Payung.

"Kita cadangkan kerja baik pulih itu yang akan bermula selewat-lewatnya November ini dilakukan secara gotong-royong bersama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung dan jabatan kerajaan berkaitan. Ia dijangka mengambil masa 2 minggu untuk disiapkan," katanya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo