NOTIS:
'Seret suspek rogol ke muka pengadilan' - Pesuruhjaya Indonesia
Pesuruhjaya Komisi Nasional Anti Kekerasan Terhadap Perempuan (Komnas Perempuan) Indonesia, Thaufiek Zulbahary berkata suspek yang dituduh kes rogol melibatkan seorang warga negara Indonesia yang bekerja sebagai pembantu rumah kepada exco Perak Paul Yong perlu dibawa ke muka pengadilan.
"Kami harap tidak akan ada kekebalan (daripada tindakan undang-undang dalam kes ini).
"Sesiapa pun yang melakukan kesalahan perlu ditangani dengan serius, di bawah undang-undang relevan, supaya dapat mencetuskan kesan pencegahan dan juga mendapatkan keadilan kepada mangsa," kata Thaufiek ketika dihubungi Malaysiakini.
Beliau juga berharap kerajaan Malaysia akan mengambil langkah untuk memastikan pekerja migran dari republik itu dilindungi dengan sewajarnya.
Iklan
"Perlindungan ini termasuklah menyediakan wakil peguam, pengantaraan dan sokongan melalui kedutaan kami," katanya.
Perhatian pada mangsa
Menurut Thaufiek, Komnas Perempuan akan berhubung dengan Kementerian Luar bagi mendapatkan maklumat terkini susulan tindakan mereka dalam perkara ini.
Pada masa yang sama, beliau juga berharap kementerian itu akan menyediakan bantuan kepada mangsa yang sedang pulih daripada trauma akibat jenayah kekerasan seksual.
"Keprihatinan dan perhatian terhadap isu-isu yang dihadapi mangsa merupakan sesuatu yang tidak boleh dipisahkan daripada proses undang-undang dan perlu dilaksanakan secepa yang mungkin," jelas Thaufiek lagi.
Terdahulu, dalam kenyataan berasingan MP Kepong berkata prinsip kedaulatan undang-undang perlu ditegakkan pada sepanjang masa tanpa mengira identiti individu yang terlibat, sama ada orang biasa atau pegawai kanan kerajaan.
"Penangkapan Exco Kerajaan Perak, Paul Yong yang dituduh merogol oleh bekas pembantu rumahnya, seorang warga Indonesia telah sekali lagi memfokuskan terhadap Standard Prosedur Operasi (SOP) polis.
"Polis pasti telah mengumpul keterangan yang mencukupi sebelum menangkap Yong, jika tidak pastilah polis akan meletakkan aduan yang dibuat sebagai 'tiada tindakan lanjut' (NFA) atau menyiasat pembantu rumah berkenaan kerana membuat laporan palsu," katanya.
Memandangkan kes ini telah menarik perhatian media antarabangsa dan sedang dipantau rapi kedutaan Indonesia, Lim menyarankan polis untuk memohon supaya Yong menyerahkan pasportnya kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat kemungkinan exco itu akan melarikan diri.
"Pada masa yang sama, mangsa rogol yang didakwa itu tidak boleh dibenarkan keluar Malaysia sehinggalah polis telah melakukan siasatan terperinci dan kes ini dibicarakan di mahkamah sekiranya Yong dituduh merogol bekas pembantu rumahnya itu," katanya.
Yong telah menafikan dakwaan merogol bekas pembantu rumah warga Indonesia itu.
Adun Tronoh itu menafikan dakwaan beliau merogol bekas pembantu rumahnya, dan berkata "terkejut dan keliru" dengan tuduhan tersebut.
"Saya ingin menafikan sekeras-kerasnya atas tuduhan yang tidak berasas tersebut.
"Saya ingin menekankan bahawa saya langsung tidak pernah merogolnya, mencabul kehormatannya atau melakukan apa-apa gangguan terhadap dia," katanya.
Sumber: https://www.malaysiakini.com/news/483701
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments
Post a Comment