NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

"Perketat Kawalan & Pemantauan Terhadap Ayam Import"


oleh: MUHAMMAD HUZAINI ROHANI

Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah mengucapkan syabas terhadap pihak berkuasa yang telah berjaya melakukan pemantauan sehingga terbongkarnya isu ayam import yang tidak halal dan diragui statusnya.

Dimaklumkan menurut perkara yang ditularkan, daging ayam tersebut telah diimport dari luar negara dan dibungkus semula untuk diedarkan di pasaran Sabah khususnya sekitar Kota Kinabalu dengan harga yang begitu murah. Ia menjadi suatu isu yang sangat serius terhadap pengguna terutama dari kalangan umat Islam.

Seperti yang kita ketahui, permintaan terhadap bahan basah ini begitu tinggi dan kefardhuan umat Islam terhadap perkara berkait "halalan thoyyibah" perlu menjadi keutamaan dalam menjaga industri makanan halal di negeri kita.

Melihat terhadap perkara ini, kami mencadangkan beberapa penekanan yang sesuai untuk dipertimbangkan dan dilaksanakan oleh pihak berwajib iaitu;

1. Penguatkuasaan dan operasi semak status penyembelihan halal yang berterusan dan efisien. Ini kerana penguatkuasaan yang lompang akan menyebabkan pengusaha berskala besar akan terus menerus bebas memproses ayam yang syubhah penyembelihannya untuk diedarkan kepada pengguna termasuk pengguna Muslim.

2. Pengusaha yang telah melanggar peraturan dan garis panduan yang telah ditetapkan hendaklah didakwa dari semasa ke semasa sebagai usaha 'pre-emptive'. Makluman berkaitan pendakwaan hendaklah dikemaskini dan diwar-warkan kepada awam. Penggantungan sementara lesen atau permit penyembelihan dan perniagaan ke atas pengusaha yang telah didakwa kali kedua juga wajar dipertimbangkan untuk dikenakan oleh pihak berwajib.

3. Pihak berkuasa yang berkaitan seperti Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Sabah (JHEAINS), dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan JPHPT hendaklah menyediakan dan menggaji pegawai bertauliah untuk ditempatkan atau memantau beberapa pusat penyembelihan berskala besar dan sederhana. Tambahan, peranan pihak kerajaan mengadakan kursus kemahiran menyembelih haiwan juga hendaklah diadakan. Hal ini perlu rentetan kemahiran menyembelih haiwan semakin berkurangan dalam kalangan umat islam sendiri.

4. Kami juga memberi saranan agar pengguna yang beragama Islam dapat membeli bekalan ayam di kedai-kedai yang diyakini halal dan dimiliki oleh peniaga muslim bagi memastikan tidak timbulnya isu seperti sekarang.

Memandangkan Malaysia merupakan negara yang pertama sekali di dunia mengeluarkan manual untuk pemprosesan ayam halal (MS 1500 : 2009) yang telah dijadikan panduan negara lain seperti Brazil dan negara-negara di Eropah, maka pihak berkuasa hendaklah segera menangani masalah ini dari terus berlaku dan meruncing dalam negara. Dengan kajian dan cadangan, pihak berwajib perlu mengambil tanggungjawab terhadap masalah yang telah dan sedang berlaku.

Ini adalah beberapa saranan daripada pemuda PAS sebagai parti yang konstruktif sesuai dengan konsep Budaya Politik Matang dan Sejahtera. Pemuda PAS sedia untuk berkerjasama dengan pihak yang berkaitan bagi membantu agar isu ini tidak berulang.

"Demi Islam"

MUHAMMAD HUZAINI ROHANI ialah Pengerusi Lajnah Pekerja, Pengguna dan Alam Sekitar,
Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah

http://harakahdaily.net.my/index.php/berita/12124-perketat-kawalan-pantauan-terhadap-ayam-import

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo