.
Pemuda PAS mengajak Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkongsi pentas bersama pemuda pembangkang pada sesi town hall yang akan diadakan untuk membincangkan isu anak muda.
Ketua Pemuda PAS, Khairil Nizam Khiruddin, berkata program itu akan menampilkan wakil sayap daripada pembangkang termasuk Umno, MIC, MCA dan rakan Gagasan Sejahtera iaitu Ikatan dan Berjasa.
"Kita merancang untuk mengadakan town hall ini pada 6 Oktober dan akan turut sama menjemput Ketua Pemuda Bersatu (Armada) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
"Program ini diputuskan dalam mesyuarat yang diadakan hari ini bersama pemuda Gagasan Sejahtera.
"Surat jemputan akan dihantar (kepada Syed Saddiq)," katanya ketika sidang media di ibu pejabat parti itu hari ini bersama pemuda Ikatan dan Berjasa.
Hadir sama, Ketua Pemuda Ikatan, Shahir Adnan dan Ketua Pemuda Berjasa Iqbal Hakim Abdul Razak.
PAS membentuk Gagasan Sejahtera bersama Ikatan dan Berjasa turut menjalinkan kerjasama bersama Umno dan rakan komponen BN.
Khairil berkata, program itu adalah salah satu daripada peranan sayap pembangkang selaku kerajaan dalam penantian.
Katanya, pada program itu nanti setiap ketua pemuda parti pembangkang akan mengemukakan idea dan cadangan berkaitan isu anak muda.
Ia antara lain membabitkan kos sara hidup, isu peluang pekerjaan dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Sementara itu mengulas mengenai kerjasama Umno dan PAS, Khairil berkata kedua-dua belah parti telah bersetuju dengan piagam bersama yang telah dirangka.
"Tunggu 14 September nanti untuk mendapat tahu dengan lebih jelas piagam berkenaan," katanya.
.
No comments
Post a Comment