NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Final Piala FA: Penantian 12 Tahun 2 Gergasi Utara


SELEPAS 12 tahun, peminat bola sepak tanah air sekali lagi bakal menyaksikan dua gergasi dari utara bertembung di pentas akhir apabila Perak dan Kedah turun membuat perhitungan pada aksi berprestij final Piala FA 2019, Sabtu ini.

Final yang memasuki edisi ke-30 itu adalah buat julung kali skuad The Bos Gaurus dan Lang Merah bertemu di pentas final saingan itu, dan kali pertama dalam tempoh melebihi 10 tahun berentap dalam mana-mana perlawanan akhir saingan domestik.

Kali terakhir kedua-dua pasukan membuat perhitungan di pentas final menyaksikan Kedah merentap ego Perak dengan kemenangan 3-0 untuk dinobatkan sebagai juara Piala Malaysia 2007.

Namun, berdasarkan prestasi Perak yang bermotivasi tinggi untuk menambah koleksi trofi selepas merangkul Piala Malaysia 2018, dan Kedah meskipun tanpa sebarang koleksi kejuaraan sejak muncul juara Piala FA 2017, mempunyai peluang seimbang pada aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, nanti.

Jurulatih berpengalaman luas, Irfan Bakti Abu Salim menyifatkan pendekatan corak permainan hampir sama antara Perak dan Kedah memberikan gambaran perlawanan itu akan berlangsung sengit.

Namun, beliau optimis sekiranya jentera serangan Perak terutama di bahagian sayap mampu menampilkan aksi terbaik ia adalah kelebihan yang berupaya menjadi perbezaan pada perlawanan itu.

“Perlawanan akhir sentiasa sukar diramal. Tiada pasukan dianggap pilihan kerana kedua-dua mempunyai peluang seimbang… lagi pun mereka bermain dengan rentak permainan yang hampir sama.

“Cuma perbezaannya, bagi saya Perak ada pemain sayap kiri dan kanan yang baik begitu juga dengan pertahanan di kedua-dua posisi kanan dan kiri, di samping Perak turut mempunyai penyerang dianggap sebagai pemusnah,” katanya.

Statistik saingan Piala FA menyaksikan Perak merangkul kejuaraan dua kali selepas 1990 dan kali terakhir pada 2004 sementara Kedah muncul juara empat kali pada 1996, 2007, 2008, serta 2017 di mana ketika itu Kedah melepasi pusingan ketiga dengan menewaskan Perak 2-0 di Stadium Ipoh, Perak.

Apa lebih menarik aksi final Sabtu ini, boleh dianggap sebagai final tertunda selepas edisi 2016 menyaksikan Perak dan Kedah kecundang di tangan lawan masing-masing pada aksi separuh akhir sekali gus menafikan pertembungan dua gergasi dari Utara itu di pentas akhir.

Irfan Bakti yang terpaksa akur dengan kekalahan di tangan Perak pada final Piala Malaysia 2018 ketika membimbing Terengganu FC, berkata, kekalahan 1-5 Kedah kepada Felda United dalam aksi terakhir Liga Super baru-baru ini, sedikit akan menjejaskan persiapan pasukan berkenaan.

“Sekiranya mereka dapat melupakan kekalahan 1-5 itu, ia tidak akan jadi masalah kerana kadang-kadang kekalahan sebegitu dalam keadaan sedang merebut tempat ketiga Liga Super mampu menjejaskan moral pemain dalam aksi final nanti,” katanya.

Dalam pada itu, ketua jurulatih PKNS FC yang juga bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan, Datuk K.Rajagobal berkata, kemenangan 4-2 Kedah ke atas Perak dalam saingan Liga Super sebelum ini, adalah motivasi terbaik buat skuad kendalian ketua jurulatih Aidil Shahrin Sahak.

“Dua-dua mempunyai kekuatan tersendiri dan jurulatih masing-masing turut mengetahui kelemahan pasukan lawan. Secara kasar Perak mempunyai kekuatan di setiap posisi dengan beberapa pemain yang menjadikan skuad itu seimbang.

“Kedah juga ada barisan pemain berkualiti dan kemenangan 4-2 baru-baru ini memberi satu keyakinan dan suntikan berguna buat mereka. Tetapi harus waspada kerana dalam final, kita perlu melihat segala kemungkinan,” katanya.

Sebagai rekod, Perak menduduki tempat kelima dengan meledak 36 gol dan bolos 31 jaringan, sementara Kedah di tempat keempat (37 gol dan bolos 29) dalam saingan Liga Super 2019, yang berakhir Ahad lepas (21 Julai).

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo