NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Dap Memang Ada Agenda Politik Dalam Isu-Isu Kewarganegaraan?


oleh: Dr Kamarul

Kenyataan-kenyataan Alice Lau Kiong Yieng dan Hannah Yeoh Tseow Suan mengenai pertemuan mereka dan empat Ahli Parlimen DAP lain dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 22 Julai lalu tidak mampu menjawab persoalan utama yang ditimbulkan sebelum ini.

Dinyatakan bahawa pertemuan ini adalah sebahagian daripada usaha untuk menjayakan janji manifesto PH, di mana Tan Sri Muhyiddin dikatakan telah mengemaskini usaha-usaha yang sedang dilakukan oleh KDN untuk menyelesaikan isu-isu kewarganegaraan kepada mereka.

Dinyatakan juga bahawa DAP telah lama memperjuangkan isu kewarganegaraan yang dikatakan melangkaui batas bangsa dan agama, serta bahawa DAP tidak mempunyai agenda politik kerana yang diminta hanyalah supaya diletakkan satu “timeline” untuk setiap kes.

Jawapan-jawapan ini pastinya tidak memuaskan hati kerana jika sekadar ini yang dimahukan oleh mereka tidak perlulah satu “high-powered team” yang diketuai oleh Setiausaha Agung DAP turun kerana perkara ini boleh sahaja ditanyakan secara terbuka di Dewan Rakyat.

Sukar untuk diterima bahawa ini dikatakan dibuat dalam kerangka PH bila mereka yang terlibat dalam pertemuan ini, malah di dalam pertemuan lain dengan pihak KDN sebelum ini, dan yang bersungguh-sungguh memperjuangkannya hanyalah pemimpin DAP sahaja.



Mengikut catatan dalam laman Facebook Alice Lau pada 23 Julai 2018, di mana beliau menunjukkan timbunan borang permohonan kewarganegaraan dari Sibu, beliau telah dilantik bagi menguruskan dokumen permohonan kewarganegaraan untuk semua Ahli Parlimen DAP.



Mengikut catatan dalam laman Facebook Alice Lau pada 18 Julai 2019 pula, beliau telah menubuhkan “Backbenchers Citizenship Committee” bagi membincangkan isu-isu kewarganegaraan, tetapi 10 Ahli Parlimen yang terlibat hanyalah daripada DAP juga.


Bahawa ini usaha eksklusif DAP juga dapat dilihat dalam bentuk kempen-kempen penerangan mengenai isu-isu kewarganegaraan yang khususnya banyak dilakukan di Sarawak yang dilakukan oleh pemimpin DAP di Pejabat-Pejabat DAP seperti berikut:
1. Majlis penerangan oleh ADUN Bukit Assek, Irene Mary Chang Oi Ling, di Pejabat DAP Sarikei pada 11 Ogos 2018.
2. Majlis penerangan oleh Irene Mary Chang di Pejabat DAP Sibu pada 12 Ogos 2018.
3. Majlis penerangan oleh Irene Mary Chang dan ADUN Pujut, Dr Ting Tiong Choon, di Pejabat DAP Miri pada 31 Ogos 2018.
4. Majlis penerangan oleh Irene Mary Chang di Pejabat DAP Kemena dan DAP Samalaju, Bintulu, pada 7 Oktober 2018.

Pertemuan enam pemimpin DAP dengan Tan Sri Muhyiddin ini juga bukanlah pertemuan kali pertama pemimpin DAP dengan pihak KDN bagi membincangkan isu-isu kewarganegaraan kerana beberapa pertemuan lain telah pernah berlaku sebelum ini.

Paling menonjol adalah pertemuan delegasi pemimpin DAP Sarawak yang diketuai oleh Pengerusinya yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen, dengan Tan Sri Muhyiddin pada 13 Februari 2019.

Menariknya, selepas itu ADUN Pending, Violet Yong Wui Wui, telah memuatnaik gambar pertemuan antara beliau, Chong Chieng Jen dan Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen, dengan Pegawai Khas Menteri Dalam Negeri pada 15 Mac 2019.

Lebih menarik bila Violet Yong menyebut tujuan mereka menemui Pegawai Khas Menteri Dalam Negeri itu adalah supaya kelulusan kepada kes-kes permohonan kewarganegaraan dari Sarawak yang diberi sebelum ini dapat diluluskan dalam masa paling cepat (soonest).

Kesemua perkara inilah yang menyebabkan timbulnya persepsi bahawa DAP dengan usaha eksklusifnya dalam isu-isu kewarganegaraan ini mempunyai agenda politik tertentu, apatah lagi bila mereka yang terlibat adalah mereka yang bermuka bukan Melayu bukan Islam.

Keterlebihaktifan DAP Sarawak, selain DAP Semenanjung, dalam isu-isu ini sebagai contohnya boleh sahaja menimbulkan tanda tanya apakah ia ada hubung-kait dengan Pilihan Raya Negeri Sarawak yang perlu dilangsungkan selewat-lewatnya pada tahun 2021.

Apatah lagi bila ada satu poster dalam laman Facebook Ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling Chai Yew, berhubung dengan majlis ceramah DAP yang menampilkan pemimpin besar DAP, Lim Kit Siang, bertemakan “Selepas Sandakan, Sarawak” (“After Sandakan, It’s Sarawak”).

Sumber: https://www.facebook.com/kamarul.yusoff.7/posts/2589034067807302

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo