NOTIS:
Benarkah Politik Bukan Akidah?
oleh: Ustaz Nik Mohamad Abduh
Setiap cabangan (furu') ada asasnya (usul). Ranting kayu, jika sudah terpisah daripada batangnya akan dipanggil kayu api yang kering mati. Tiada lagi nilai asalnya. Justeru tidak boleh dibincangkan perihal furu' dengan memisahkannya daripada asas atau usulnya.
Begitulah agama Islam. Ia ada asas (usul) dan ada cabangnya (furu'). Ia bersambungan dan tak terpisah. Oleh kerana kedua-duanya penting dan mendalam perbincangannya, maka hampir semua sarjana Islam dulu dan kini akan mengasingkan antara kitab usul akidah daripada furu' fiqhiyah, atau paling tidak, meletakkan bab dan tajuknya secara berasingan. Ia bagi memudahkan pemahaman, bukan memutus dan memisahkannya sama sekali.
Si alim usul dan akidah mesti juga alim furu' dan fiqh meskipun berbeza tahap kemahirannya. Memisahkannya dalam diri dan amal akan merosakkan binaan iman seseorang.
Hukum kufur adalah soal usul
Perihal solat contohnya, adalah cabangan fiqh. Dibincang hal solat dalam kitab fiqh. Tetapi solat juga adalah usul akidah. Tidak menerimanya sebagai rukun agama adalah kufur. Itu perihal usul namanya. Maka, dalam hampir semua kitab fiqh solat, akan dimuqaddimahkan dengan perbincangan perihal hukum usulnya. Selepas itu barulah diperihalkan hukum-hakam fiqhiyahnya.
Begitulah halnya setiap amal. Puasa, zakat, haji, muamalat, ekonomi, nikah kahwin dan sebagainya. Semuanya fiqhiyyat dan soal cabangan. Tetapi ia mesti hadir dan bermula daripada usul agama dan asas akidah.
Orang yang percaya bahawa menutup aurat lelaki dan wanita adalah bukan wajib adalah kufur. Atau, orang yang percaya bahawa riba itu halal adalah juga kufur. Itu perihal usul namanya. Jika ia soal furu', mana boleh dihukum kufur? Hukum kufur adalah melibatkan usul dan akidah. Perkara usul lahir dan terhasil daripada nas agama yang qat'ie sifatnya iaitu jelas tanpa samar lagi. Ia bersifat iman dan akidah yang wajib terbina teguh di dalam dada setiap muslim.
Usul hasilkan furu'
Daripada soal usul, akan berkembanglah perihal cabangannya. Nas-nas agama pada perihal cabangan menjadi banyak, rencam sumber dalilnya dan pelbagai pula tafsiran dan kefahamannya di kalangan para ulamak yang muktabar. Ia mewujudkan kepelbagaian pendapat. Itulah sifat cabangan dan fiqhiyah.
Sebagai contoh, jika diperselisihkan oleh para ulamak bahawa sesuatu produk kewangan itu berunsur riba atau sebaliknya, maka ia adalah hukum fiqh dan rantingan sifatnya. Begitulah juga jika mereka berselisih dalam menentukan aurat pada sebahagian anggota badan. Ia tidak dihukum iman atau kufur. Dalil dan nas padanya tidak qat'ie. Justeru pilihan bukan hanya satu. Ia bercabangan dalam dunia fiqh yang luas tetapi tetap terkawal oleh disiplin usul fiqh dan qawa'id fiqhiyah yang kukuh.
Ia bergantung kepada kekuatan nas dan dalil yang dihidangkan dalam perbincangan fiqh. Sudah pasti pada soal cabangan, terdapat hidangan nas dan tafsiran dalam memahaminya yang pelbagai. Ia mencetuskan keindahan dan keluasan di dalam kehidupan Islami. Pokok itu indah apabila batangnya teguh, manakala cabangannya pula merendang dan meneduhkan.
Itulah agama Islam. Itulah sentuhannya dalam semua sektor kehidupan. Islam adalah usul. Daripada usul, berkembang biaklah cabangannya.
Politik sektor besar kehidupan
Begitulah halnya perihal politik, kepimpinan dan kenegaraan (imamah). Politik adalah kehidupan madani manusia. Ia sebuah sektor kehidupan yang teramat besar dan penting. Justeru bayangkan peranan Islam di dalamnya. Pastinya besar juga.
Ia sememangnya cabangan fiqhiyyat. Ia soal amal dan perbuatan manusia. Lihatlah politik dan ragamnya hari ini. Bersih dan jijik berbauran. Baik dan buruk saling tenggelam timbul. Begitulah halnya perbuatan dan tingkah laku manusia.
Justeru dalam politik, ada yang harus hukumnya, ada yang haram, ada yang wajib dan sebagainya. Itulah perihal furu' dan cabangan. Hukum dan pilihan adalah berbeza-beza melalui pandangan para ulamak yang muktabar.
Tetapi dalam Islam, politik dan kepimpinan (imamah) juga adalah usul akidah. Ia bermula dengan usul. Kemudian ia berkembang kepada cabangan. Mudahnya, daripada iman di hati, ia berkembang kepada amal pada anggota badan.
Tidak boleh dipisah cabangan daripada asasnya
Cabangan dan furu' agama mesti datang daripada usul dan asasnya. Ia tak boleh dipisah-pisahkan menjadi dua yang berbeza.
Mana boleh wujud dahan dan ranting tanpa akar dan batang? Jika kedua-duanya sudah terpisah, maka batang bergelar tunggul, manakala dahan dan ranting dipanggil kayu api yang kering. Ribuan daunan menghijau apabila tersambung pada ranting-ranting. Tatkala ia terputus, daunan itu jatuh, mengering dan menjadi sampah. Takkan sama nilai daunan dan sampah bukan?
Begitulah politik. Tanpa usul, ia adalah kering dan menjadi sampah. Mengapa ada di antara kita yang bosan dan menganggap politik sebagai sampah dan kotor? Ya, kerana dia melihat kepada dunia politik nafsu. Nafsu manusia itu bercabang-cabang tanpa asas dan akar yang mengukuhkannya.
Ada ahli politik yang asas politiknya adalah kehendak nafsunya. Hasilnya adalah kerosakan dan kejahatan. Nafsu tanpa iman adalah neraka dan kelaknatan. Maka kelihatanlah bahawa politik tidak sesuai untuk agama Islam yang suci. Ini kefahaman san sangkaan tanpa ilmu yang amat salah.
Perkara usul dalam politik
Mari kita lihat secara umum dimanakah asas dan usul politik Islam.
Pertama, sumber hukum tertinggi bagi negara umat Islam adalah al Quran dan al Sunnah. Nas dan dalilnya adalah qat'ie. Sesiapa yang langsung menolaknya adalah kufur.
Kedua, melebihkan hukum manusia daripada hukum yang telah ada dan nyata daripada nas kedua-dua sumber utama Islam tersebut adalah syirik yang nyata. Ini termasuklah hukum hudud dan qisas di dalam Islam. Sesiapa yang memandang hukum manusia lebih baik daripadanya adalah kufur.
Ketiga, memberi kesetiaan dan sokongan terhadap musuh Islam yang memerangi Islam dan umatnya adalah umpama memerangi Allah dan Rasul-Nya yang wajib diperangi. Justeru mengikat perdamaian dan mengiktiraf legitimasi negara haram Israel adalah satu dosa yang amat besar.
Keempat, memilih ketua negara daripada kalangan orang bukan Islam di dalam sebuah negara umat Islam adalah dosa besar yang wajib ditentang. Ia bercanggah seawalnya dengan konsep imamah dan khilafah dalam Islam.
Kelima, mendukung perjuangan menegakkan hukum Allah di bumi umat Islam adalah wajib ke atas seluruh umat Islam tanpa kecuali. Manakala mendukung perjuangan politik yang menolak hukim syariat Islam adalah haram sama sekali.
Keenam, sekularisme atau fahaman memisahkan agama daripada politik adalah syirik. Mendukung faham sekularisme adalah samada kufur atau berdosa besar mengikut tahapnya.
Itulah antara contoh perkara usul dalam politik Islam. Ia bermaksud, adalah suatu yang mungkar dan salah sama sekali jika mana-mana daripada kalangan umat Islam memilih selain hukum di atas. Ia adalah terhasil daripada nas dan dalil yang qat'ie atau nyata di dalam al Quran dan al sunnah. Ia bukan lagi menjadi perkara furu' yang bersifat pilihan.
Bahaya mengelirukan umat
Justeru meluncurkan pandangan bahawa politik adalah soal cabang agama tanpa menafsirkannya dengan jelas adalah suatu yang amat merbahaya dan mengelirukan umat Islam. Malah, ia menggembirakan pihak musuh Islam yang sememangnya berhempas pulas siang dan malam untuk memisahkan umat Islam daripada politik Islam yang benar.
Ia akan meruntun umat Islam untuk melihat politik sebagai perkara cabangan sahaja dan tidak menilainya sebagai bersangkutan dengan akidah. Ia akan melahirkan umat yang mengabaikan politik dengan alasan menumpu kepada soal akidah dan ibadah. Benarkah politik itu tanpa akidah dan bukan satu ibadah?
Apakah hanya kerana ingin membebaskan diri dalam memilih pilihan politik sesuka hati, samada pada fahaman, hala tuju, strategi dan wadah politik masing-masing, maka begitu mudah diwar-warkan dan dilontarkan slogan dan kata-kata manis bahawa dalam agama Islam, politik itu hanyalah soal cabangan dan furu', bukan soal usul? Tidakkah itu bakal mengundang kekeliruan dan fitnah yang nyata ke atas umat?
Fahamilah baik-baik, begitulah sifatnya kata-kata manis yang dipenuhi racun. Kalimatnya benar tetapi maksudnya batil. Umat teramai yang jahil agama akan begitu mudah terpengaruh dan merumuskan secara jahil bahawa mereka berhak memilih pilihan politik mana yang mereka mahu atas alasan ia soal furu', pilihan, ijtihadi, siyasi, maqasidi dan sebagainya tanpa menyedari kewajiban berpegang dengan usul politik Islam.
Berhati-hatilah mengurus kefahaman agama. Jangan tersadai kerugian dek terlalai terhadap tipudaya musuh yang sengaja memerangkap dan menjauhkan umat Islam daripada asas politik Islam yang tulen. Takutilah kemurkaan Allah. Sesungguhnya ini adalah tazkirah dan peringatan buat seluruh umat Islam.
Sumber: https://www.facebook.com/177786515581027/posts/3505596802799965
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments
Post a Comment