oleh:Dr Muhammad Fathi Yusof
Daftar pemilih dalam pilihan raya secara automatik jadi bahan perbahasan di Parlimen dan di kalangan rakyat. Tapi tak banyak penulisan yang menjelaskan tentang hal ini. Jadi saya bercadang untuk berikan sedikit pandangan.
Secara kasarnya pendaftaran automatik bermaksud warganegara yang mencapai umur kelayakan mengundi secara automatik dimasukkan dalam senarai pemilih dan layak mengundi. Oleh kerana penyimpan data daftar warganegara adalah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), maka pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menguruskan daftar pemilih perlu mendapatkan senarai pengundi berkenaan dari JPN. Selagi dia sah sebagai warganagara dan termasuk dalam kumpulan yang layak untuk mengundi, maka ia perlu diberikan hak untuk mengundi.
JIMAT TENAGA
Daftar automatik ini dianggap baik kerana ia dapat mengelakkan berlaku situasi seorang yang baru mempunyai kesedaran untuk mengundi pada waktu musim pilihan raya terlepas dari peluang untuk mengundi, atas sebab tidak membuat pendaftaran pemilih.
Ia juga menjimatkan tenaga kerja dan belanja di bawah SPR dan parti politik yang selama ini terpaksa turun padang bagi mendaftarkan pemilih.
Sistem ini juga dapat memudahkan rakyat kerana tidak perlu ke SPR atau Pejabat Pos atau mana-mana ejen lain untuk daftar sebagai pemilih.
Selain itu, keselarasan maklumat antara data JPN dan SPR dapat meningkatkan ketepatan daftar pemilih terutamanya berkaitan kemaskini data perubahan umur yang melayakkan untuk mengundi, data kematian, data perubahan alamat dan seumpamanya. Namun kebaikan ini tertakluk kepada tahap ketelusan, kewibawaan dan kecekapan JPN.
LEPAS TANGAN
Selama ini data pemilih diuruskan oleh SPR selaku badan bebas yang menguruskan pilihan raya. SPR bertanggungjawab sepenuhnya untuk memastikan daftar itu tepat, telus, lengkap, bersih dan terkini. Dengan pendaftaran automatik, SPR boleh ‘lepas tangan’ dan meletakkan sebahagian besar akauntabiliti pengurusan daftar pemilih kepada JPN. Perlu diingat JPN adalah salah satu badan eksekutif yang terletak di bawah Kementerian Dalam Negeri.
Ketelusan dan kewibawaan JPN dalam pengurusan data warganegara pernah menjadi pertikaian. Misalnya dalam kes Likas (kes Harris Mohd Salleh lwn The Returning Officer, Ismail Majin & Ors (And Another Petition) [2001] 3 CLJ 166) mahkamah memutuskan bahawa daftar pemilih yang digunakan dalam pilihan raya adalah tidak sah kerana mengandungi pemilih yang didaftarkan secara salah kerana menggunakan kad pengenalan palsu. Kes ini berkaitan dengan skandal yang melibatkan JPN yang mendaftarkan warga asing secara besar-besaran tanpa mengikut saluran undang-undang yang betul. Lihat juga buku bertajuk, IC Palsu: merampas hak anak Sabah yang ditulis oleh Mutalib MD (1999) yang menghuraikan skandal tersebut.
Selain itu, tanpa disedari sebenarnya usaha pendaftarkan pemilih yang dilakukan selama ini adalah sebahagian dari proses pendidikan pengundi atau voters’ education. Ramai yang tidak peduli soal mengundi kerana bermacam-macam sebab. Kelompok ini tetap tidak akan mengundi walau pun nama mereka didaftarkan secara automatik. Dengan ketiadaan kempen daftar dan proses pendaftaran di tempat-tempat awam, peluang untuk mengubah sikap negatif ini semakin berkurangan. Tidak mustahil jumlah yang turun mengundi selepas pendaftaran automatik akan berkurangan.
PELAN TINDAKAN
Pihak kerajaan dan pembangkang kini sepakat bersetuju dengan pelaksanaan pendaftaran automatik. Bagi memastikan ia berjalan dengan telus, cekap dan berkesan tanpa menjejaskan amalan pilihan raya yang bebas dan adil, maka dicadangkan agar:
1. Kerajaan perlu meningkatkan akauntabiliti, ketelusan dan kecekapan Jabatan Pendaftaran Negara dalam menguruskan daftar warganegara.
2. Kerajaan bertanggunjawab untuk melaksanakan kempen pengundian secara menyeluruh dan bersungguh-sungguh.
3. Proses pendaftaran warga asing sebagai negara perlu dilaksanakan secara telus dengan syarat yang ketat.
4. Hak untuk membantah dan mempertikaikan daftar pemilih dikekalkan dengan penurunan yuran bantahan bagi meningkatkan ketelusan dan kewibawaan SPR.
5. Pihak JPN boleh dipanggil untuk memberikan penjelasan dan keterangan dalam prosiding bantahan senarai pemilih.
6. Parti politik dan NGO perlu menggiatkan kempen kesedaran politik di kalangan rakyat.
Kita amat berharap agar langkah penting ini mendatangkan kebaikan kepada negara dari sudut peningkatan kecekapan dan ketulenan amalan demokrasi. Kesepakatan antara pihak kerajaan dan pembangkang dalam hal ini amat dialu-alukan bagi meningkatkan iklim politik sihat dalam negara. Mudah-mudahan kesepakatan ini mendatangkan kebaikan untuk seluruh rakyat dan negara.
Dr Muhammad Fathi Yusof ialah Felo Penyelidik (Undang-undang dan Perlembagaan) merangkap Pensyarah Kanan Pusat Polisi Perdana,Fakulti Teknologi dan Informatik Razak UTM KL
LAMPIRAN:
Perkara 119(1). Perlembagaan Persekutuan
Tiap-tiap warganegara yang— (a) telah mencapai umur dua puluh satu tahun pada tarikh kelayakan; (b) bermastautin di dalam sesuatu bahagian pilihan raya pada tarikh kelayakan yang sedemikian atau, jika tidak bermastautin sedemikian, ialah seorang pengundi tidak hadir; dan
(c) didaftarkan, di bawah peruntukan mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan pilihan raya, dalam daftar pemilih sebagai pemilih dalam bahagian pilihan raya tempat dia bermastautin pada tarikh kelayakan,
berhak mengundi di dalam bahagian pilihan raya itu dalam mana-mana pilihan raya ke Dewan Rakyat atau Dewan Undangan melainkan jika dia hilang kelayakan di bawah Fasal (3) atau di bawah mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan kesalahan yang dilakukan berkaitan dengan pilihan raya; tetapi tiada seorang pun boleh mengundi dalam pilihan raya yang sama di dalam lebih daripada satu bahagian pilihan raya.
No comments
Post a Comment