Oleh: MOHD ZAI MUSTAFA
PENGENALAN
1. Tiada siapa yang dapat menafikan bahawa pendidikan merupakan wadah penting dan utama dalam pembinaan maruah bangsa dan keunggulan martabat agama.
2. Tidak ramai generasi baru hari ini yang dapat menginsafi betapa pendidikanlah yang telah mengangkat martabat dan kedudukan bangsa Melayu ini ke tahap yang ada sekarang. bangsa Melayu yang kaya dengan budaya, sopan santun dan lemah lembut; sifat yang diwarisi sejak turun-temurun telah menjadikan bangsa Melayu sebagai bangsa yang dihormati dan disanjungi.
3. Bahawa amalan agama yang mantap dalam kalangan umat Islam di Malaysia hari ini, khususnya dalam kalangan orang Melayu telah membawa negara ini makmur dan berkebajikan.
4. Selama ini Islam tidak pernah dipinggirkan dalam pembangunan negara kerana Islam sentiasa menuntut umatnya maju. Pembangunan yang dilaksanakan telah menjadi agenda yang seiring dengan tuntutan Islam kerana Islam tidak suka umatnya hidup dalam kemunduran.
5. Sesungguhnya Islam mahu umatnya berjaya, Islam mahu umatnya cemerlang dunia dan akhirat. Oleh sebab itu, pendemokrasian pendidikan akan terus diperkasakan dengan menyediakan pelbagai kemudahan infrastruktur dan prasarana.
6. Negara Malaysia kini boleh berbangga dengan kemajuan yang dicapai dalam bidang pendidikan sehingga dilihat sebagai negara Islam dan membangun jauh lebih baik berbanding negara lain.
7. Dengan demikian generasi hari ini termasuk kepimpinan negara dan KPM patut menginsafi dan berterima kasih serta bersyukur kerana adanya Pendidikan Islam dalam sistem arus perdana pendidikan negara. Keberadaan pendidikan Islam dalam sistem arus perdana sewajarnya tidak dilihat sebagai penghalang untuk meraih kecemerlangan, juga tidak dianggap sebagai simbol kemunduran, apatah lagi usah dilabelkan sebagai seteru keberpolitikan. Malahan ia adalah penawar kepada kehambaran pendidikan, ia adalah pemangkin kecemerlangan dan ia adalah benteng kukuh kemenjadian modal insan yang seimbang. Keberadaan pendidikan Islam sewajarnya dimantap dan diperkasakan serta dipertahankan selari dengan dasar negara Malaysia sebagai negara umat Islam.
LATAR BELAKANG
8. Pertemuan Bahagian Pendidikan Islam (BPI) Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dengan Sektor Pendidikan Islam (SPI) Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) seluruh Malaysia pada pertengahan Februari 2013 di Hotel De Palma Inn Ampang telah diperdengarkan bisikan yang menyatakan bahawa BPI dan SPI JPN sudah hendak ditiadakan dalam struktur organisasi baru KPM dan JPN. Bisikan ini telah disemarakkan lagi dengan pengesahan beberapa SPI JPN Perak, Wilayah Persekutuan dan Kedah. Malangnya, sehingga tempoh tersebut, BPI tidak mempunyai sebarang maklumat berhubung dengan perkara tersebut. Persoalannya mengapa pandangan BPI tidak diminta? Atau sengaja disembunyikan? Apakah ada agenda lain disebaliknya? Barangkali BPI tidak diperlukan lagi untuk terus bertanggungjawab terhadap dasar dan operasi Pendidikan Islam dalam sistem pendidikan perdana? Atau hakikatnya PI sudah tidak diperlukan lagi dalam sistem pendidikan perdana? Kemungkinan BPI dilihat sebagai tidak berfungsi dalam membentuk modal insan yang seimbang? Atau apakah yang sudah terjadi dengan kepimpinan atasan KPM?
9. Berdasarkan trend ini BPI akan menghadapi era malap dan akan terus hilang dari penglihatan dan pendengaran dek bisikan yang mengguris perasaan. Seterusnya akan lenyap sepi tanpa bekas dan kesan dalam struktur organisasi perdana. Makanya kertas ini akan memaparkan serba ringkas tentang sejarah kewujudan BPI, objektif dan fungsinya serta isu dan cabarannya. Perkara ini wajar dilihat dan diteliti dengan sewajarnya bagi membuat penilaian dan pertembungan yang adil lagi saksama tentang kedudukan BPI dalam KPM.
DASAR PENDIDIKAN ISLAM
10. Pendidikan Islam di negara ini hendaklah dilihat secara holistik sebagai teras kepada ilmu-ilmu yang lain yang memayungi pelaksanaan pendidikan keseluruhan. Kerananya maka pelaksanaan pendidikan Islam dalam sistem pendidikan arus perdana bersandarkan kepada dasar kukuh yang terdiri daripada perlembagaan negara, rukun negara, falsafah pendidikan kebangsaan, keputusan Jemaah menteri dan sebagainya.
a) Perlembagaan
- Perkara 3 (1) agama Islam ialah agama bagi persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.
- Perkara 12 (3) tiada sesiapa pun boleh diwajibkan menerima ajaran-ajaran mengenai apa-apa agama atau mengambil bahagian dalam apa-apa upacara atau sembahyang sesuatu agama yang lain daripada agamanya sendiri.
b) Akta Pelajaran
- Seksyen 50 (1) jika di dalam sesuatu institusi pendidikan terdapat lima orang murid atau lebihh yang menganut agama Islam, maka murid-murid itu hendaklah diberikan pengajaran agama Islam leh guru yang diluluskan oleh Pihak Berkuasa Negeri.
- Seksyen 51 (b) tiada murid boleh mengikuti ajaran agama selain daripada agama yang dianutinya, kecuali dengan keizinan bertulis ibu bapanya.
- Seksyen 52. Tertakluk kepada apa-apa syarat dan batasan yang difikirkan oleh menteri patut dikenakan bantuan kewangan secara sumbangan boleh diberikan daripada wang yang diperuntukan oleh Parlimen kepada sesuatu institusi Pendidikan Islam yang tidak disenggarakan oleh menteri di bawah akta ini atau oleh kerajaan sesuatu negeri dan yang adalah institusi pendidikan mengikut pengertian akta ini atau bukan institusi pendidikan sedemikian hanya kerana pengajaran di institusi pendidikan itu adalah terbatas kepada pengajaran agama Islam semata-mata.
c) Rukun Negara
- Kepercayaan kepada Tuhan
- Kesetiaan kepada Raja dan Negara
- Keluhuran Perlembagaan
- Kedaulatan undang-undang
- Kesopanan dan kesusilaan
d) Falsafah Pendidikan Kebangsaan
Pendidikan Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan bangsa Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri dan keluarga serta memberi sumbangan terhadap kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.
e) Falsafah Pendidikan Islam
Pendidikan Islam adalah suatu usaha berterusan untuk menyampaikan ilmu, kemahiran dan penghayatan Islam berdasarkan al-Quran dan As- Sunnah bagi membentuk sikap, kemahiran, keperibadian dan pandangan hidup sebagai hamba Allah yang mempunyai tanggungjawab untuk membangun diri, alam sekitar, dan negara ke arah mencapai kebaikan di dunia dan kesejahteraan abadi di akhirat.
f) Keputusan Jemaah Menteri
- Mesyuarat Jemaah Menteri Bil. 284/971/75 pada Julai 1975 – membincangkan kertas rancangan Kementerian Pelajaran mengambil alih sebuah Sekolah Menengah Ugama daripada tiap-tiap satu negeri:
‘’ Perkara 8 (b) Sekolah-sekolah yang diambil alih itu seperti di (a) di atas hendaklah tertakluk kepada Akta Pelajaran 1961 serta pindaan-pindaannya dan peraturan Kursus Pengajian 1956 dengan diberi perhatian khas mengenai Pengajian Ugama serta Bahasa Arab’’
SEJARAH PENDIDIKAN ISLAM
11. Pendidikan Islam di Malaysia sebenarnya telah melalui liku-liku sejarah yang meletakkan para ulama’, cendekiawan dan cerdik pandai silam berkorban tenaga, masa dan harta benda dalam mendaulatkan Pendidikan Islam.
12. Bermula pada abad ke-14 lagi. Ketika itu, tumbuh sekolah-sekolah pondok atas usaha dan kegigihan para ulama dan cerdik pandai agama, membina sekolah-sekolah agama bagi tujuan menyebarluaskan ajaran Islam di Tanah Melayu. Usaha mereka ini jauh daripada kepentingan material tetapi lebih mengutamakan keperluan spiritual dalam pembinaan insan Melayu ketika itu. Mereka yang menubuhkan sekolah-sekolah pondok itu tidak mengumpul harta tetapi melahirkan murid yang ramai seluruh negara malah menjangkau negara-negara jiran terdekat.
13. Ketika penjajahan British, pihak penjajah membawa masuk buruh-buruh asing untuk keperluan tenaga buruh dan kemudian melahirkan sekolah-sekolah Inggeris, Melayu, Cina dan Tamil. Sekolah-sekolah ini menjadi asas penyediaan kepada murid-murid untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi atau untuk menyediakan mereka ke bidang pekerjaan. Sekolah agama tetap berkembang dengan haluan dan matlamat yang tersendiri yang diistilahkan sebagai Sekolah Agama Rakyat.
14. Pada awal zaman kemerdekaan, ketika kerajaan menyusun atur jenis-jenis sekolah tersebut di bawah perhatian kerajaan, sekolah agama rakyat kekal dengan aliran mereka sendiri. Walaupun sekolah-sekolah tersebut tidak menjanjikan kemudahan pekerjaan tetapi semangat keagamaan di kalangan orang Melayu terus menghidupkan sekolah-sekolah agama rakyat, meskipun dalam keadaan daif dan tanpa bantuan pihak kerajaan.
15. Pada tahun 1959 atas keprihatinan kerajaan dan atas kesedaran agama, pihak Kerajaan Perikatan Tanah Melayu telah mengambil inisiatif membantu Sekolah Agama Rakyat (SAR). Bantuan ketika itu tertumpu kepada bantuan perkapita, bertujuan membantu para guru dan murid untuk mendapat kemudahan belajar agama. Pada tahun 1961 diwujudkan satu unit pelajaran ugama (UPU) di KPM untuk mengurus penyaluran bantuan kepada SAR.
16. Usaha kerajaan tidak terhenti di situ sahaja. Berbagai usaha dilakukan oleh pihak kerajaan untuk memajukan pendidikan agama termasuklah memasukkan pelajaran agama ke dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan seperti yang tercatat dalam Akta Pelajaran.
17. Usaha pihak Kerajaan untuk memartabatkan Pendidikan Islam telah mula mendapatkan hasil bila mana Akta Pelajaran 1961 telah berjaya memasukkan Pendidikan Islam ke dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan. Dalam akta tersebut menyebut – mana-mana institusi yang dihadiri 15 orang murid islam wajib diajar Pendidikan Islam.
18. Pihak orang Melayu masih belum berpuas hati dengan pemakaian akta tersebut dan mahukan Pendidikan Islam lebih mendalam dan lebih meluas dalam persekolahan dan mereka juga mahukan anak-anak mereka diajar Bahasa Arab supaya kefahaman kepada Islam lebih mantap. Harapan ini disambut oleh pihak-pihak Jabatan/Majlis Agama Negeri dengan menubuhkan pula sekolah-sekolah agama di peringkat negeri-negeri masing. Mereka menawarkan mata pelajaran-mata pelajaran yang lebih banyak menekankan subjek agama dalam sistem persekolahan mereka.
19. Rungutan, aduan dan pandangan-pandangan pihak rakyat diambil kira dalam memartabatkan Pendidikan Islam, lantas pada tahun 1964 peraturan telah ditetapkan semua murid Islam wajib mempelajari mata pelajaran Agama Islam.
20. Setelah dilaksanakan beberapa tahun pelajaran pengetahuan Agama Islam, ada keperluan menunjukkan mata pelajaran tersebut perlu kepada peningkatan bagi mereka yang berminat dalam jurusan agama ini. Atas keperluan tersebut pihak kerajaan telah memperkenalkan mata pelajaran Pengetahuan Agama Islam Tinggi yang kandungannya lebih mendalam dalam bidang kefahaman Islam. Sejajar dengan itu diperkenalkan juga mata pelajaran Bahasa Arab sebagai mata pelajaran pilihan.
21. Pada tahun 1973, di peringkat pengajian Sijil Tinggi Persekolahan (STP) Kerajaan memperkenalkan pula mata pelajaran Syariah, Usuluddin dan Bahasa Arab dalam peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran. Dengan pengenalan mata pelajaran ini murid-murid dapat belajar bidang agama lebih mendalam, malah mata pelajaran-mata pelajaran tersebut dapat dijadikan tiket untuk memasuki institusi-institusi pengajian tinggi dalam bidang Pengajian Islam. Di samping itu, Bahagian Pelajaran Ugama dinobatkan hasil naik taraf UPU.
22. Dalam kesibukan kerajaan berusaha mempertingkatkan status mata pelajaran Pendidikan Islam dalam sistem pendidikan kebangsaan, sekolah agama rakyat yang berada di luar sistem tidak dilupakan. Bantuan perkapita terus diberikan kepda mereka kerana kerajaan mengakui Sekolah Agama Rakyat juga ada memainkan peranan dalam perkembangan Agama Islam di negara kita.
23. Walau bagaimanapun pada masa yang sama kerajaan berusaha memujuk pihak-pihak yang berkaitan dengan Sekolah Agama Rakyat dan Sekolah Agama Negeri supaya menyokong usaha kerajaan bagi memartabatkan Pendidikan Islam dalam sistem kebangsaan. Usaha kerajaan itu telah menampakkan kejayaan, bilamana pada tahun 1977 sebanyak 11 buah sekolah agama negeri telah dijadikan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA). SMKA diperkenalkan dengan harapan ia menjadi pilihan kepada pihak ibu bapa yang inginkan persekolahan anak mereka beriklimkan keagamaan. Di samping itu, berdasarkan Laporan Jawatankuasa Kabinet 1977, maka pada tahun 1983, BPU dinobatkan sebagai Bahagian Pendidikan Islam (BPI) natijah naiktaraf daripada BPUI.
24. Kalau kita tanya sesetengah doktor yang berkhidmat di hospital kerajaan pada hari ini atau para peguam yang berkhidmat di firma-firma guaman atau para jurutera di sektor pembinaan kita akan dapati mereka adalah keluaran SMKA. Malah khabarnya ada di antara jurutera yang bekerja di Formula One juga lepasan SMKA.
25. Setakat ini kita mempunyai 57 buah SMKA di seluruh negara. Jika permintaan rakyat masih banyak, kita akan berusaha supaya bilangan SMKA akan ditambah lagi dari semasa ke semasa.
26. Usaha kerajaan memperkemaskan Pendidikan Islam di kalangan murid sekolah bermula di sekolah rendah lagi. Pada tahun 1983, ketika Kementerian Pelajaran memperkenalkan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) mata pelajaran Pendidikan Islam mendapat tambahan masa dalam jadual waktu. Ini ditambah pula dengan pengenalan Penilaian Asas Fardhu Ain (PAFA) yang menekankan kepada kebolehan murid dengan perkara-perkara asas fardhu ain.
27. Kemudian pada tahun 1988 Kementerian Pelajaran memperkenalkan pula Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) di mana waktu mata pelajaran Pendidikan Islam juga mendapat tambahan. KBSM juga memperkenalkan mata pelajaran efektif seperti mata pelajaran al-Quran dan as-Sunnah, Pendidikan Syariah Islamiah, Pendidikan Tasawwur Islam, Bahasa Arab Komunikasi dan Bahasa Arab Tinggi.
28. Kemuncaknya pada tahun 1995, BPI dinaik taraf menjadi Jabatan Pendidikan Islam dan Moral (JAPIM) ketika Akta Pendidikan dipinda, Akta Pendidikan 1996 telah menetapkan bahawa Pendidikan Islam diajar dalam mana-mana institusi yang ada lima (5) orang murid Islam.
29. Pada tahun 1997, Kementerian Pelajaran menjalankan projek rintis di beberapa sekolah rendah seluruh negara dan hasilnya murid mampu dan berminat untuk mempelajari bahasa tersebut sejak bermula di sekolah rendah lagi.
30. Keperluan dan perkembangan semasa telah menghendaki Pendidikan Islam yang diajar di peringkat sekolah disemak semula. Lantaran pada tahun 2002 Kementerian Pelajaran telah berusaha menyemak semula kurikulum Pendidikan Islam. Semakan semula kurikulum Pendidikan Islam ini telah pun dilaksanakan pada masa ini memberi penekanan lebih besar kepada aspek akhlak dan tulisan jawi.
31. Pada tahun 2002 juga Sekolah Agama Rakyat diarah dikaji oleh Jawatankuasa Khas bagi tujuan melihat semula matlamat dan keberkesanan pendidikan agama dalam alaf baru ini.
32. Pada tahun 2005 kerajaan telah melaksanakan program j-QAF iaitu menekankan penguasaan murid-murid terhadap penulisan dan pembacaan jawi, penguasaan membaca al-Quran khususnya mengkhatamkan al-Quran sebelum tamat sekolah rendah, mempelajari asas Bahasa Arab dan menguasai asas-asas Fardhu Ain. Itulah usaha-usaha pihak kerajaan untuk memartabatkan Pendidikan Islam dalam konteks sekolah.
33. Pada tahun 2005 kerajaan telah melaksanakan program pendaftaran sekolah agama sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan. SABK mendapat semua keistimewaan dan kemudahan yang dinikmati oleh sekolah-sekolah KPM yang lain.
34. SABK melaksanakan dwi kurikulum iaitu Kurikulum Kebangsaan dan Kurikulum dini/Azhari Pelaksanaan Kurikulum Dini/ Azhari merupakan SABK berbeza dengan sekolah-sekolah kerana matlamatnya adalah untuk melahirkan profesional dan ulama yang berwibawa serta kuat pegangan agama. Lulusan daripada pendidikan ini mampu berperanan bukan sahaja di peringkat dalam negara malahan di peringkat antarabangsa.
35. Dalam kehangatan dan semangat tinggi jiwa warga BPI dalam melaksanakan dua program besar tersebut, penstrukturan KPM turut mengalami pengolahan dan rombakan mulai 2006 lagi. Akhirnya pada tahun 2008 struktur tersebut meremehkan peranan JAPIM dengan menurun tarafkan martabatnya sebagai Bahagian Pendidikan Islam seperti tahun-tahun sebelumnya yang beroperasi di bawah Sektor Operasi Persekolahan (SOP) yang diketuai oleh Timbalan Ketua Pengarah Malaysia SOP. Pada ketika itu, fungsi Pengurusan Kurikulum Pendidikan Islam, BPI telah dipindahkan ke Bahagian Pembangunan Kurikulum, KPM yang dahulunya adalah Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK) yang telah dinaik taraf. (Struktur BPI 2008 seperti di lampiran 1).
36. Selanjutnya pada tahun 2010 pula fungsi pengurusan penempatan dan pertukaran guru Pendidikan Islam serta guru Program j-Qaf sekolah harian KPM telah dipindahkan ke Bahagaian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH) dalam peristiwa penuh tragis dan menyentuh perasaan. Keadaan ini menampakkan BPI telah dinafikan haknya terhadap penjagaan hak Raja-Raja Melayu. Maka tinggallah BPI dengan jasad yang kerdil sambil menunggu hari kelupusannya.
HALA TUJU BPI
37. Visi
Dengan nada yang manis telah ditetapkan sebagai berikut:
’BPI peneraju pendidikan Islam bertaraf dunia dalam menjana generasi berilmu, beriman dan beramal soleh untuk mencapai kebahagiaan di dunia dan kesejahteraan di akhirat.’
38. Misi
Dengan semangat yang membara pula dinobatkan misi BPI sebagai berikut:
‘Mempertingkat kualiti pendidikan Islam melalui pengurusan yang cemerlang ke arah menghasilkan modal insan berilmu, beriman, beramal soleh dan berakhlak mulia.’
39. Motto
Dengan iringan semboyan melaungkan:
‘BPI.. Berjihad Perkasakan Insan’
40. Fungsi BPI
a. Pengawalan, Perancangan dan Penilaian Dasar Pendidikan Islam, Bahasa Arab, Dakwah, GPI, IPA dan Kokurikulum PI dan BA.
b. Perancangan, pelaksanaan, pembangunan dan tajdid Pendidikan Islam dan Bahasa Arab
- Merancang, menyelaras, mengurus dan menilai pengoperasian Dasar Pendidikan Islam dan Bahasa Arab serta segala keperluan yang berkaitan dengannya; dan urusan maklum balas isu dan aduan pelanggan, keurusetiaan dan perhubungan.
- Merancang, menyelaras, mengurus dan menilai urusan Hal Ehwal Guru Pendidikan Islam dan Bahasa Arab di sekolah harian, personal IPA KPM dan urusan sumber manusia BPI.
- Merancang, menyelaras, mengurus dan menilai pengoperasian Program j-QAF, Kelas Kemahiran al-Quran dan KAA; Pendidikan Islam dan Bahasa Arab di Prasekolah serta penyelarasan Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA).
- Merancang, menyelaras, mengurus dan menilai pengoperasian kurikulum Pendidikan Islam Teras, Pengajian Islam Elektif dan Bahasa Arab; penyelarasan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan kurikulum Dini/Azhari.
- Merancang, menyelaras, mengurus dan menilai urusan data, maklumat dan dokumentasi serta galeri Pendidikan Islam, Bahasa Arab dan IPA KPM serta tadbir urus ICT BPI.
- Merancang, menyelaras, mengurus dan mengawal selia urusan kewangan dan pentadbiran serta perolehan BPI.
- Merancang, menyelaras, mengurus dan menilai urusan peningkatan kualiti pengurusan dan aktiviti BPI.
- Merancang, menyelaras, mengurus dan menilai urusan peningkatan inovasi dan tajdid pengurusan dan aktiviti PI.
c. Perancangan, pelaksanaan dan pembangunan Institusi Pendidikan Agama (IPA) KPM;
- Merancang, menyelaras, mengurus dan menilai urusan pentadbiran IPA KPM dan pelaksanaan dasar yang berkaitan dengannya; urusan akademik di IPA KPM; urusan hal ehwal murid; sukan dan kokurikulum; dan urusan KAA.
- Merancang, menyelaras, mengurus dan menilai bantuan perolehan dan penyediaan perkhidmatan di IPA KPM; bantuan pembangunan fizikal di IPA KPM dan Institusi Pendidikan yang melaksanakan program Pendidikan Islam; dan bantuan kewangan kepada SAR dan SAR KAFA.
d. Perancangan, pelaksanaan, pembangunan dan pemantapan akidah, dakwah, budaya, akhlak, nilai dan syiar Islam;
- Merancang, menyelaras, mengawal, mengurus dan menilai program pengukuhan, kawalan dan penghayatan akidah serta pemikiran Islam.
- Merancang, menyelaras, mengawal, mengurus dan menilai program dakwah Islamiah, operasi Majlis Kegiatan Dakwah Islamiah Sekolah-Sekolah Malaysia (MAKDIS) dan program Kepimpinan Islam.
- Merancang, menyelaras, mengawal, mengurus dan menilai program pembangunan akhlak, pengembangan budaya dan syiar Islam dan program pengukuhan budaya dan nilai Islam.
HALA TUJU PENDIDIKAN ISLAM
41. Malamat PI adalah untuk melahirkan modal insan yang beriman, berilmu, beramal dan berakhlak mulia. Matlamat tersebut dicapai melalui:
a. Kawalan ke atas sistem pendidikan Islam negara.
b. Pengurusan sekolah SMKA, SABK dan KAA.
c. Guru Pendidikan Islam: Penyediaan tenaga pengajar yang bewibawa.
d. Pelaksanaan kurikulum yang mantap.
e. Bantuan-bantuan secara sumbangan kepada SAR.
f. Pelaksanaan program-program bagi menambahbaik Pendidikan Islam seperti:
- PAFA dan STAM
- J-Qaf: model-model j-Qaf
- Program khas: Kelas Kemahiran Quran (KKQ) dan program dengan agensi luar.
- Pelaksanaan Ko-kurikulum: Dakwah dan Kepimpinan.
STATUS TERKINI PROGRAM BESAR BPI
42. Program j-QAF
a. Program j-QAF diteruskan ke semua Sekolah Rendah pada tahun 2013 dengan:
- Bilangan sekolah yang terlibat 5304 buah.
- Bilangan murid = 1, 799, 873 orang
- Bilangan guru = 21, 952 orang
b. Cabaran:
- Status bahasa Arab dalam program j-QAF
- Pelaksanaan dasar penempatan dan pertukaran guru yang belum konsisten.
- Guru j-QAF yang masih kurang.
c. Cadangan:
- Pelaksanaan dasar penempatan dan pertukaran guru j-QAF yang konsisten.
- Melatih guru dalam kalangan lulusan STAM/SMU/SMA
- Memastikan pelaksanaan program j-QAF di semua SR.
- Menjadikan laluan kerjaya Gj-QAF sama seperti GPI
43. Pendaftaran Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Sekolah Agama Negeri (SAN) sebagai SABK
a. Program Pendaftaran SAR dan SAN sebagai SABK diteruskan pada tahun 2013:
- Bilangan sekolah yang terlibat berdaftar adalah 198 buah.
- Bilangan murid = 69 025 orang murid
- Bilangan guru SABK = 6313 orang
- Unjuran sekolah agama yang akan berdaftar sehingga tahun 2016 berjumlah 198 buah.
- Prestasi j-QAF adalah membanggakan.
b. Cabaran:
- 198 buah SAR/SAN belum berdaftar
- Penempatan Pengetua
- GSTT di SABK
- Elaun GB/Pengetua yang belum masuk zon
- Bilangan AKS di BPI kurang berbanding beban tugas
c. Cadangan:
- Melaksanakan pendaftaran 198 buah sekolah tersebut sehingga tahun 2016 dengan meneruskan kempen dan roadshow.
- Memudahkan prosedur dan peraturan
- Memasukkan di dalam peraturan pendidikan
- Mendapatkan kelulusan perjawatan daripada JPA
- Melaksanakan kursus dalam cuti (KDC) kepada GSTT
- Mendapatkan peruntukan khas untuk elaun tersebut
- Melantik secara pemangkuan dengan latihan
- Membuat permohonan kepada pihak berkaitanuntuk tambahan AKS di BPI.
44. Peluasan Pembinaan Baru Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dalam RMK 10
a. SMKA mula diwujudkan dengan menjadikan 11 buah SAR/SAN di seluruh negeri untuk melahirkan teknokrat bertaqwa. Pada masa ini SMKA mempunyai:
- Bilangan sekolah sedia ada 57 buah
- Bilangan murid sedia ada 39, 148 orang
- Bilangan sekolah baru RMK 10 = 3 buah iaitu SMKA Pagoh, SMKA Jerlun dan SMKA Lipis.
b. Cabaran:
- SMKA sebagai rolemodel kepada sekolah lain
- Kecemerlangan SMKA ke arah memenuhi SBT
- Keberkesanan SMKA
c. Cadangan:
- Berusaha meningkatkan penampilan dan persembahan SMKA sebagai rolemodel.
- Berusaha menjadikan SMKA sebagai benchmarking
- Berusaha menempatkan pengurusan dan guru yang berkualiti dan berwibawa di SMKA.
- Berusaha meningkatkan kualiti guru SMKA
- Berusaha meningkatkan kecemerlangan SMKA dengan pelbagai pendekatan.
45. Kurikulum bersepadu Dini dan Kurikulum Bersepadu Tahfiz (KBDKBT) sebagai kurikulum Kebangsaan (KK)
a. KBDKBT yang dilaksanakan di SABK telah mendapat:
- Perkenan majlis Raja-Raja melayu sebagai Kurikulum Kebangsaan pada 27 Feb 2013.
- KBDKBT akan dilaksanakan secara berperingkat di SABK mulai tahun 2015.
- Walau bagaimanapun, pandangan daripada Pihak Berkuasa Negeri perlu diperolehi sebelum ia dilaksanakan.
b. Cabaran:
- KBDKBT sebagai KK belum mendapat pandangan dan pendirian Pihak Berkuasa Negeri, maka ia belum boleh dilaksanakan. Kesannya:
a. Tiada peruntukan guru/GTT
b. Tidak mendapat bantuan PCG dan Buku Teks;
c. Prestasi pencapaian murid rendah
d. Majoriti lulusan STAM gagal dalam ujian kelayakan Bahasa Arab (UKBA).
c. Cadangan:
- Berusaha mendapatkan pendirian Pihak Berkuasa Negeri dalam kadar segera
- Menubuhkan Pusat PI Serantau yang mengandungi Pusat Bahasa Arab.
46. Guru Pendidikan Islam
a. GPI adalah terdiri daripada:
- GPI, Guru Bahasa Arab (GBA), Guru Program j-QAF (Gj-QAF) dan Guru Kelas Khas Kemahiran Al-Quran (GKKQ) di Sekolah Rendah (SR) dan Sekolah Menengah (SM).
- Bilangan GPI seramai 55 839 orang.
b. Cabaran:
- Kuantiti dan kualiti guru
c. Cadangan:
- Mewujudkan norma perjawatan khas GPI
- Melaksanakan program latihan tafakkuh dan profesionalisme kepada GPI.
- Mewujudkan program penerapan nilai murni dan perpaduan.
- Memperluas aktiviti ‘dakwah bil hal’.
47. Sahsiah Mulia Murid (SUMUR)
a. Program SUMUR:
- Dilaksanakan di SMKA dan SABK
- Menjadikan Buku Akhlak bahan bacaan dan rujukan wajib kepada murid-murid Islam.
b. Cabaran:
- Pelaksanaan program SUMUR di semua sekolah secara berperingkat
- Menjadikan elemen buku akhlak dalam BT dan PdP
c. Cadangan:
- Mewajibkan pelaksanaan program SUMUR di semua sekolah melalui aktiviti kokurikulum.
- Menerapkan elemen buku akhlak dalam BT dan PdP
- Menambah nilai PCG PI bagi melaksanakan aktiviti PI
48. Program Bina Upaya Guru Pendidikan Islam (PBUGPI)
a. PBUGPI dilaksanakan:
- Kepada jurulatih (JL) dan Mursyid Tarbawi dalam kalangan GPI
- Peringkat kebangsaan, negeri dan daerah.
- Seramai 000 GPI yang terlibat.
b. Cabaran:
- Peruntukan kewangan yang tidak mencukupi
- Perluasan program PBUGPI kepada semua GPI.
c. Cadangan:
- Berusaha mendapatkan peruntukan kewangan yang mencukupi daripada pihak kerajaan
- Berusaha mendapatkan sumbangan pembiayaan daripada agensi lain dalam dan luar kerajaan.
- Memberikan penjelasan sebenar tentang PBUGPI kepada semua GPI melalui JL/Mursyid peringkat daerah.
49. Pengurusan PI
a. Pelaksanaan:
- BPI memastikan pengawalan serta pelaksanaan dasar dan operasi PI, IPA dan Dakwah
- Beroperasi di bawah Operasi Sekolah
- Bilangan pegawai 58 orang dan kakitangan 54 orang
b. Cabaran:
- Dasar dan pengoperasian PI, BA, Dini dan Tahfiz
- Keberkesanan Kurikulum PI, STAM, Dini dan Tahfiz
- Kuantiti, kualiti dan latihan GPI
- Keberkesanan dakwah dan kepimpinan
- Keberkesanan IPA
- Keberkesanan SAR
c. Cadangan:
- Pengurusan BPI dimartabat dan diperkasa
- Fungsi kurikulum PI dan Hal Ehwal Guru GPI diurus oleh BPI
- Mewujudkan Sekolah Tahfiz Rendah dan Menengah, Pusat Latihan dan Penyelidikan PI/BA KPM sebagai jangka panjang dan/atau mengaktifkan Pusat Bahasa Arab KPM.
KEJAYAAN PI
50. Terdapat beberapa kejayaan yang telah ditempa hasil dari pelaksanaan PI antaranya ialah:
a. Kesatuan pemikiran umat Islam: Ahlussunnah Waj Jamaah dan Mazhab Syafie.
b. Menjadi rujukan negara lain:
- MAEPA – keyakinan Australia terhadap sistem pendidikan yang moderate untuk dicontohi oleh Afghanistan.
- Program kerjasama pendidikan malaysia-Thailand: 158 pelajar Muslim Selatan thailand belajar di SBP dan SMKA.
c. Pembangunan SABK: 198 buah SAN/SAR telah berdaftar sebagai SABK.
d. Kecemerlangan akademik dala kalangan pelajar sekolah agama (SMKA.KAA dan SABK)
e. Melahirkan muslim warganegara bersifat ‘Wastiyyah yang Dinamik’
CABARAN
51. Sebagai sebuah institusi yang diiktiraf menjada Hak atau Kuasa Raja-Raja Melayu yang berautoriti dalam pelaksanaan Pendidikan Islam di bawah KPM, maka BPI pada masa ini terus beroperasi seperti sedia adanya dalam memastikannya terus berperanan dan menentukan arah dan hala tuju yang hendak dicapai iaitu untuk melahirkan modal insan yang beriman, berilmu, beramal, dan berakhlak mulia. Namun demikian BPI tidak boleh lari dari ancaman kelupusan dan kepupusan yang terancang oleh-oleh musuh-musuh Islam, baik dalam kalangan warga pendidik mahupun luar pendidikan yang didasari oleh fahaman politik dan agama. Ancaman-ancaman tersebut bolehlah dianggap sebagai ghazwah fikriyyah yang menyerang tanpa sedar atau mungkin sedar ke atas negara kita amnya dan KPM khasnya. Serangan ancaman tersebut dibuat melalui bahasa yang lunak dan sedap didengari seperti berikut:
a. Transformasi Pendidikan yang menuntut supaya dilaksanakan transformasi Pendidikan Islam;
b. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang tidak menyentuh soal pendidikan Islam secara langsung dan;
c. Fokus, peranan dan fungsi KPM yang mencetuskan bayangan konsep Struktur Pusat, Negeri dan Daerah yang melupus dan memupuskan BPI sebagai pihak yang menjaga Hak dan Kuasa Mutlak Raja-Raja Melayu dalam bidang pengajian/pendidikan Islam. (Carta organisasi JPN bayangan seperti di lampiran)
UST HJ RAMLI BIN NIK MAN
MANTAN TIM PENGARAH PENGURUSAN SUMBER
BPI, KPM
MPI BANGI : 23 MEI 2013 ( SIMPOSIUM GURU PENDIDIKAN ISLAM, MALAYSIA)
YADIM PUTRAJAYA 28 JANUARI 2019 ( KOLOKIUM NGO PENDIDIKAN ISLAM)
INTERNATIONAL HOTEL KUALA LUMPUR 13 JULAI 2019 ( IJTIMA’ ULAMA UMMAH)
No comments
Post a Comment