NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Apa Masalahnya Dengan Akta Hasutan?


oleh:DR MUHAMMAD FATHI YUSOF
UTMKL
11 MAY 2019

1. Akta Hasutan 1948 mula diperkenalkan pada zaman British, kemudiannya dikemaskini beberapa kali termasuklah melalui satu pindaan signifikan selepas peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969.

2. Akta ini diperkenalkan serentak dengan era darurat yang bermula tahun 1948 kerana ancaman komunis dan melalui perubahan penting selepas darurat 1969 diisytiharkan. Maksudnya akta ini mempunyai asas untuk membina keamanan dan mewujudkan mekanisme perundangan yang dapat mengelakkan berulangnya situasi rusuhan, pergaduhan atau ancaman pengganas.

3. Jika akta ini mempunyai tujuan yang baik, kenapa ia dikritik? Saya ada dua jawapan iaitu: (1) Akta ini telah disalah guna; (2) Terdapat salah faham berkaitan peranannya.

4. Akta ini disalahguna oleh kerajaan terdahulu di bawah Barisan Nasional, untuk menutup mulut pengkritik. Kita boleh lihat kes yang melibatkan Karpal Singh yang mengkritik kerajaan dalam isu dakwaan bahawa Anwar Ibrahim sengaja didedahkan dengan racun arsenik pada tahun 1999. Begitu juga yang menimpa Lim Guan Eng dalam kes yang melibatkan seorang bekas Ketua Menteri Melaka pada tahun 1995. Selain mereka individu seperti bekas Pengarang Harakah Zulkifli Sulong, bekas pemimpin Parti Melayu Semangat 46 Marina Yusoff dan bekas pemimpin PKR, Gopala Krishnan adalah antara mangsa politik Akta Hasutan 1948.

5. Masalah pertama ini boleh diatasi melalui pindaan kepada Akta Hasutan, misalnya Seksyen 3 yang menyenaraikan maksud ‘kecenderungan menghasut’. Perenggan (a) seksyen 3 misalnya menyebut bahawa ‘kecenderungan menghasut ialah kecenderungan untuk menimbulkan kebencian, penghinaan, dan mencetuskan rasa tidak puas hati terhadap mana-mana Raja atau mana-mana kerajaan.’ Saya cadangkan agar perkataan ‘atau mana-mana kerajaan’ dipotong supaya rakyat mempunyai hak untuk mengkritik kerajaan. Dengan cara ini soal menggunakan Akta Hasutan untuk menghukum pengkirik kerajaan dapat dielakkan.

6. Sebab kedua kenapa ia dikritik ialah kerana salah faham berkaitan peranan akta ini. Bila bercakap soal hak asasi, segelintir pihak gemar membuat kesimpulan mudah dengan membuat perbandingan dengan negara lain atau instrumen hak asasi antarabangsa. Hakikatnya isu imbangan antara hak asasi dan ketenteraman awam ini amat kompleks. Dalam hal ini kita tidak boleh mempertaruhkan keamanan negara semata-mata untuk memuaskan hati segelintir aktivis hak asasi yang sentiasa lantang bersuara.

7. Jika kita mengambilkira keunikan Malaysia yang mempunyai komposisi kaum yang pelbagai, serta faktor sejarah tersendiri, dan realiti sosio-ekonomi semasa, maka kita akan dapat memahami keperluan Akta Hasutan sebagai mekanisme perundangan yang dapat mengurangkan risiko konflik dan perbalahan dalam negara.

8. Oleh itu, saya cadangkan agar Akta Hasutan tidak dimansuh, tetapi dipinda bagi mengelakkan ia disalah guna untuk menutup mulut pengkritik kerajaan.

9. Perlu diingat juga Akta Hasutan menyentuh tentang larangan penghinaan ke atas Raja-raja Melayu. Jika ia dihapuskan bermakna kedudukan Raja-raja akan terjejas. Dalam hal ini Perkara 38(4) menyebut bahawa ‘tiada undang-undang yang secara langsung menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-Raja boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja.’ Dalam hal ini, pemansuhan keseluruhan Akt Hasutan 1948 tidak boleh berlaku tanpa kelulusan Majlis Raja-Raja.

10. Kita memahami hasrat kerajaan untuk memberikan hak dan kebebasan bersuara kepada rakyat bagi memastikan pemerintah tidak sesuka hati menghukum mereka yang mengkritik atau mendedahkan penyelewengan kerajaan. Namun dalam hal ini kerajaan perlu memilih langkah yang paling berhemah ibarat pepatah ‘usah marahkan nyamuk, kelambu dibakar’. Seluruh rakyat mahukan keamanan dan tidak mahu rusuhan 13 Mei kembali berulang.

11. Kita amat mengharapkan seluruh rakyat berbilang kaum dalam negara Malaysia yang tercinta ini dapat hidup dengan aman dan tenang atas dasar kasih sayang dan hormat menghormati. Amalan yang baik ini dapat dibina melalui pendidikan dan proses pembudayaan. Dalam masa yang sama kita tetap perlukan undang-undang sebagai satu sempadan agar tiada dari kalangan kita yang bersifat biadap dan melampau dalam menangani perbezaan yang wujud.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo