NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Zakat fitrah pelengkap ibadat puasa


AL-FIQH
1. Apakah hikmah di sebalik kewajipan membayar zakat fitrah?

Antara hikmahnya adalah untuk mencukupkan kekurangan dalam ibadat puasa. Mengikut pendapat Syeikh Waki, zakat fitrah bagi puasa Ramadan sama seperti sujud sahwi bagi solat fardu iaitu mencukupkan apa yang kurang dalam amalan berpuasa.

Ini jelas terdapat nas yang menyebut, ia menyucikan bagi orang yang berpuasa daripada sia-sia dan lagha.

Terdapat juga hadis hasan yang menyebut, puasa Ramadan tergantung di antara langit dan bumi dan diangkat melainkan dengan membayar zakat fitrah.

Mahfum daripada hadis itu ialah simbolik bagi terhentinya pahala yang amat besar disediakan bagi mereka yang mengeluarkannya iaitu dinisbahkan bagi mereka yang berkuasa ke atasnya oleh mereka yang dituntut supaya mengeluarkannya daripada dirinya.

Adapun zakat fitrah itu dikhususkan hanya kepada umat ini sahaja dan mula difardukan pada tahun kedua selepas hijrah sebelum hari raya dan ia hendaklah dikeluarkan sebelum menunaikan solat sunat hari raya.

2. Apakah syarat wajib zakat fitrah?

Sesiapa yang sempat bertemu dengan akhir Ramadan dan awal Syawal, maka wajib ke atasnya zakat fitrah.

Dia mempunyai makanan dan pakaian yang mencukupi untuk dirinya pada malam (hari raya) dan siang hari raya.

Disyaratkan lagi, seseorang itu beragama Islam. Zakat itu diwajibkan ke atas dirinya dan juga ke atas orang yang di bawah tanggungjawabnya jika dia berkemampuan untuk berbuat demikian.

Waktu untuk menentukan seseorang itu wajib zakat fitrah atau tidak adalah waktu terbenamnya matahari akhir Ramadan.

Ini bererti, sesiapa yang dilahirkan sebelum terbenam matahari akhir Ramadan atau meninggal dunia selepas terbenam matahari akhir Ramadan, maka diwajibkan ke atasnya zakat fitrah kerana mereka dikira sudah ada pada waktu diwajibkan.

Sebaliknya, mereka yang meninggal dunia sebelum terbenam matahari atau dilahirkan selepas terbenam matahari akhir Ramadan, maka tidak diwajibkan ke atas mereka zakat fitrah kerana pada waktu wajib itu mereka dianggap sudah tiada atau belum ada.

Sumber: Kitab Furu' Al-Masa'il Wa Usul Al-Wasa'il oleh Maulana Al-Syeikh Daud Abdullah Al-Fathani dan disusun Datuk Abu Hasan Din Al-Hafiz

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo