NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Syawal juga bulan ibadat


oleh: Mohd Shahrizal Nasir

Kehadiran Syawal memberi ruang kepada umat Islam menzahirkan kegembiraan selepas berjaya menunaikan ibadat puasa selama sebulan pada Ramadan.

Dalam suasana kegembiraan itu, Islam menekankan umatnya supaya tidak melupakan Allah SWT. Hakikatnya, kegembiraan menyambut lebaran adalah nikmat yang cukup besar.

Allah mengingatkan umat Islam supaya membesarkan-Nya. Itu cara yang disarankan agama supaya nikmat kegembiraan tidak ditakrif mengikut pemahaman sendiri.

Sebaliknya, ia dinikmati dengan penuh rasa kesyukuran. Allah berfirman yang bermaksud: "Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur." (Surah al-Baqarah, ayat 185)

Sebagaimana Ramadan yang mempunyai banyak keistimewaan, Syawal pun begitu juga. Meskipun pada bulan Syawal tiada Lailatulqadar, bulan raya ini sarat dengan pengajaran atau ibrah yang perlu disedari, difahami dan dipraktikkan dalam kehidupan.

Buktinya amat jelas dengan wujudnya perkara sunat yang dilakukan Rasulullah SAW tatkala datangnya hari raya.

Semua sunah Rasulullah dalam menyambut kehadiran hari raya adalah perkara yang sarat dengan pengajaran dan kebaikan.

Kita bukan saja digalakkan mengikut sunah Rasulullah ketika menyambut hari raya, malah lebih daripada itu wajar untuk direnungkan pengajaran dan hikmah di sebalik setiap perlakuan Rasulullah.

Contohnya, banyak mengingati Allah dengan ungkapan takbir, tasbih dan tahmid. Ketika bergembira, jangan sesekali melupakan Allah. Perkara pertama dilakukan pada pagi hari raya ialah menunaikan solat sunat hari raya sebagai tanda syukur atas kurniaan nikmat daripada Allah.

Ingatlah Allah ketika senang dan bergembira, bukan hanya ketika ditimpa kesusahan dan keperihatan hidup.

Sabda Rasulullah bermaksud: "Ingatlah Allah pada waktu engkau dalam keadaan senang, nescaya Dia (Allah) akan mengingatmu pada waktu engkau mengalami kesusahan." (Muttafaq 'alaih)

Selain menjaga hubungan dengan Allah, umat Islam juga diingatkan menjaga hubungan sesama manusia. Rasulullah pergi ke tempat solat hari raya dan kembali ke rumah melalui jalan yang berbeza.

Daripada Jabin bin Abdullah, katanya: "Rasulullah SAW apabila hari raya, Baginda melalui jalan berlainan." (Sahih al-Bukhari)

Perbuatan Baginda memberi petunjuk betapa pentingnya menjaga hubungan silaturahim sesama insan.

Ketika berada dalam kegembiraan, usah menyendiri atau buat hal sendiri tanpa menghiraukan orang lain.

Sebaliknya, kegembiraan dizahirkan dengan bertemu orang lain daripada kalangan saudara, kenalan dan jiran untuk mengeratkan hubungan sesama insan.

Namun, hal itu bukan saja perlu dilakukan dalam bulan Syawal, tetapi perlu diteruskan pada bulan lain.

Islam turut memberi penekanan mengenai aspek penampilan diri yang baik sebagai antara bukti kegembiraan. Itu antara perkara yang dapat menyangkal pandangan sempit sesetengah pihak yang mengatakan Islam tidak mementingkan aspek kekemasan dan penampilan diri.

Mana mungkin Islam dicerminkan dengan keadaan kotor, jelik dan tidak kemas kerana ketika hari raya, umat Islam disaran supaya mengenakan pakaian yang terbaik.

Ibn Qayyim menyatakan dalam kitabnya, Zaad al-Ma'ad: "Nabi SAW selalu memakai pakaian Baginda yang paling elok untuk hari raya."

Walau bagaimanapun, makna elok tidak semestinya baharu dan terkini. Yang penting ialah umat Islam mengenakan pakaian terbaik ketika hari raya kerana menzahirkan kegembiraan dan kesyukuran kepada Allah.

Ia mengajar kita untuk sentiasa menjaga penampilan diri supaya dapat memberi impak positif kepada orang lain seterusnya mengelakkan imej Islam dikaitkan dengan unsur negatif.

Dalam suasana meraih keberkatan dalam menyambut dan menghadiri sambutan hari raya juga, janganlah memakai pakaian yang mendedahkan aurat kerana ia dilarang agama.

Setiap ketetapan dalam agama ada batasannya. Jika manusia sentiasa berada pada batasan yang dibenarkan, maka pasti akan mendapat pahala. Sebaliknya jika manusia memilih untuk keluar daripada batasan ketetapan agama, pasti ia akan mendapat dosa walaupun dalam suasana menyambut hari raya.

Islam mengambil berat berkaitan istiqamah dalam melakukan ibadat. Dalam keadaan umat Islam sudah pun selesai menunaikan ibadat puasa Ramadan, ada pula pensyariatan puasa enam hari dalam bulan Syawal.

Ia menjelaskan pelaksanaan ibadat dalam Islam perlu berterusan. Menunaikan ibadat puasa sunat enam hari pada bulan Syawal diberi ganjaran pahala besar iaitu seperti pahala puasa sepanjang tahun.

Sabda Rasulullah bermaksud: "Sesiapa yang berpuasa Ramadan, kemudian disusuli dengan enam hari daripada bulan Syawal, maka ia bagaikan puasa sepanjang masa (tahun)." (Hadis riwayat Muslim)

Banyak ibrah yang boleh kita fahami dan praktikkan dalam kehidupan daripada pelaksanaan amalan sunat pada bulan Syawal.

Semua ibadat dalam Islam tidak hanya berkaitan ketaatan seorang hamba kepada Tuhannya, tetapi adalah wadah tarbiah untuk menginsafi tujuan penciptaan manusia di dunia ini adalah untuk beribadat kepada Allah.

Penulis pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo