Putra telah pun diluluskan penubuhannya sementara Negara masih menunggu keputusan rasmi dari Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS).
Ramai juga agak yakin kehadiran kedua-dua parti politik ini tidak mampu mengubah senario politik tanah air secara mendadak kerana dua tunjang utama iaitu Pakatan Harapan (PH) dan UMNO-Pas telah mempamerkan asas politik yang agak teguh.
Tetapi tidak dapat dinafikan kewujudan kedua-dua parti politik baharu ini hasil dari senario terkini politik tempatan yang pada pandangan Ibrahim dan Mohd. Ezam agak kucar kacir dan rakyat perlu diberi pilihan baharu dalam bentuk parti politik.
Sebab itu juga asas penubuhan Putra adalah untuk menjaga dan mempertahankan kepentingan Melayu sementara Negara pula berpegang kepada strategi menghapuskan rasuah.
Memang tidak syak lagi kedua-dua isu ini telah mewarnai politik tanah air ketika ini dan tidak menghairankan ada pihak yang menuduh Ibrahim dan Mohd. Ezam hanya meneguk air yang keruh dan memecahkan undi Melayu.
Persepsi negatif ini timbul kerana kedua-dua ahli politik ini juga sering bertukar cita rasa landasan politik dan menariknya mereka juga berada dalam UMNO satu ketika dahulu.
Tetapi hakikatnya penubuhan parti baharu akibat kekalutan senario politik tempatan adalah satu perkara lumrah dan jika diambil kira apa yang sedang melanda United Kingdom (UK), timbul kemusykilan sama ada Putra dan Negara mampu menggoncang PH dan UMNO-Pas.
Apabila Nigel Farage mengumumkan penubuhan Parti Brexit pada Februari lepas, ramai yang memperlekehkan kewibawaan parti tersebut kerana seperti mana Ibrahim dan Mohd. Ezam, Farage sering bertukar parti politik.
Asalnya ialah beliau dari Parti Konservatif yang membentuk kerajaan UK ketika ini dan kemudiannya menubuhkan Parti UKIP dan terkini Parti Brexit.
Tetapi keputusan Pilihan Raya Eropah Ahad lepas telah menyaksikan parti baharu Farage memperoleh kemenangan terbesar di UK dengan perolehan sebanyak 29 kerusi diikuti oleh Parti Demokrat Liberal dengan 16 kerusi. Sementara parti Konservatif dan Buruh masing-masing mendapat 4 dan 10 kerusi dalam Parlimen Eropah akan datang.
Memang tidak dinafikan cita rasa pengundi UK tidak boleh disandarkan serupa dengan pengundi Malaysia tetapi senario politik UK dengan Malaysia adalah selari yang membuatkan penghijrahan pengundi yang telah berlaku di UK mungkin juga akan tercetus di Malaysia.
Sokongan kepada Parti Brexit timbul kerana pengundi yang menyokong UK keluar dari Kesatuan Eropah (EU) tidak puas hati cara Parti Konservatif dan Buruh kendali proses tersebut yang begitu kelam kabut sehingga memaksa Perdana Menteri, Theresa May letak jawatan.
Parti Demokrat Liberal pula mendapat sokongan padu dari pengundi yang mahu UK kekal dalam EU.
Jika hendak dianalogi apa yang berlaku di UK dengan Malaysia pula ialah paling kritikal wujud rasa tidak puas hati pengundi terhadap isu hak Melayu atau dengan lebih tepat bagaimana PH menangani isu ini.
Disinlah terletaknya strategi penubuhan Putra dan Negara untuk meraih sokongan pengundi yang kurang puas hati dengan keadaan semasa bukan sahaja dalam hal politik tetapi juga berkait sosial ekonomi.
Ramai yang berpendapat kewujudan Putra dan Negara hanya akan memecah belah undi Melayu sementara undi bukan Melayu akan kekal menyebelahi parti dominan dalam PH iaitu DAP.
Analisis sebegini mungkin ada kebenarannya jika dua parti yang menjadi tonggak mempertahankan hak Melayu iaitu UMNO dan Pas bergerak secara berasingan seperti ketika Pilihan Raya Umum ke 14 lalu.
Parti Putra dan Negara tidak mampu bergerak secara bersendirian dan lambat laun perlu menyatakan pendirian politik mereka sama ada bersama-sama dengan PH atau UMNO-Pas. Agak janggal jika kedua-duanya bersama PH kerana ia menongkah matlamat kewujudan parti baharu tersebut.
Tetapi jika mengikut keadaan semasa politik tanah air dan iktibar pilihan raya Eropah maka adalah lebih bermanfaat kedua-dua parti itu bersama-sama dengan UMNO-Pas kecualilah Putra dan Negara hanya mahu jadi pengacau undi sahaja.
Sebab itu juga dihujahkan kehadiran Putra dan Negara akhirnya akan menguatkan sokongan pengundi Melayu terhadap UMNO-Pas.
No comments
Post a Comment