KITA kiaskan Ramadan seperti sebuah universiti. Kejayaan di universiti diukur pada kejayaan seseorang menghabiskan silibus wajib dan pilihannya.
Seterusnya, dia akan menerima transkrip keputusan yang melayakkannya menerima ijazah kepujian.
Apabila masuk ke pasaran kerja, tempat kerja biasanya akan menjalankan sesi temu duga. Dalam sesi temu duga itu, majikan tidak hanya melihat kelayakan dan keputusan peperiksaan di universiti sahaja.
Majikan turut melihat perihal 'menjadi' seseorang itu dengan pelbagai kemahiran dan akhlak yang baik. Itu yang akan memenangi hati majikan.
Begitu juga dengan universiti Ramadan. Mencukupkan tempoh berpuasa itu penting, tetapi bukan sekadar itu matlamat berpuasa.
Matlamat akhir Ramadan ada empat, menurut seorang pakar Tafsir di Indonesia, Prof Dr Quraisy Shihab iaitu:
1. Supaya kita menjadi umat yang bertakwa. (Surah al-Baqarah, ayat 183)
2. Supaya kita berpuasa cukup. (Surah al-Baqarah, ayat 185)
3. Supaya kita membesarkan Allah atas petunjuk-Nya. (Surah al-Baqarah, ayat 185)
4. Supaya kita bersyukur. (Surah al-Baqarah, ayat 185)
Daripada semua matlamat itu, maka seseorang benar-benar akan memenangi reda Allah SWT untuk diberikan anugerah khas berupa terbukanya pintu syurga Ar-Rayyan.
Apa perasaan kita berhadapan dengan seseorang yang cukup puasa wajibnya serta rajin berpuasa sunat, tetapi mulutnya suka menyakiti hati orang?
Orang seperti itu baru berada di atas jalan. Dia belum mencapai tujuan puasa itu.Dia baru bermain dengan alat, belum lagi mencapai matlamat.
Mulut orang berpuasa digambarkan lebih harum daripada kasturi berdasarkan sebuah hadis. Kenapa disebut mulut?
Ada orang berfikir, hadis itu merelakan orang berpuasa tidak menggosok gigi sepanjang berpuasa dan biarkan sahaja mulutnya berbau busuk kerana di sisi Allah SWT ia sangat wangi.
Akibatnya, tingkat keyakinan diri seseorang ketika berinteraksi dengan orang lain agak merudum apabila mulutnya berbau.
Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli al-Bakri menulis mengenai hukum menggosok gigi pada siang Ramadan: "Hukum bersiwak atau gosok gigi selepas gelincir matahari adalah khilaf. Sebahagian memakruhkannya dan sebahagian yang lain mengharuskannya. Pendapat sahih dan rajih adalah harus.
"Dalil tidaklah menetapkan waktu. Ini kerana bau mulut yang melampau juga tidak disenangi rakan-rakan berhampiran."
Apabila merujuk hadis lain, kita akan lebih memahami bahawa 'menjadi' seseorang menjaga mulutnya adalah salah satu tanda kejayaan berpuasa.
Bukan kejayaan berpuasa itu sekadar berjaya menahan lapar dan dahaga kerana ada orang berpuasa tidak mendapat apa-apa pahala daripada puasanya.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Ramai orang berpuasa yang tidak memperoleh apa-apa daripada puasanya selain lapar." (Riwayat Nasai, Ibnu Majah dan Hakim)
Jelas, ada perbuatan yang boleh menyebabkan pahala puasa mengecil, antaranya dosa mulut.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Bukanlah puasa itu daripada makan dan minum, namun puasa itu daripada omongan sia-sia dan kotor." (Riwayat al-Hakim)
Mulut seperti itu layak diibaratkan berbau wangi bagaikan kasturi bukan berbau longkang.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Puasa adalah perisai, apabila salah seorang daripada kalian sedang berpuasa, janganlah berkata kotor (rafats) dan jangan berkata keras (shakhb), (dalam riwayat lain), "Janganlah bodoh." Jika seseorang memaki atau memeranginya, maka katakanlah, "Aku sedang berpuasa." (Dalam riwayat lain disebutkan), "Aku sedang berpuasa (dua kali)." (Muttafaq a'laih)
Dalam kehidupan seharian, buat isteri, tahanlah mulut daripada bertindak tidak cerdik dan asyik meminta cerai.
Untuk suami, berhentilah membiarkan mulut mengugut hendak bernikah lagi seandainya isteri tidak menyenangi.
Ibu bapa pula, berhentilah melabel, mencaci maki dan menyumpah sera-nah anak di rumah. Tahanlah mulut.
Mulut perlu dilatih agar benci kepada kata-kata dusta, menipu, mengumpat, adu domba dan seumpamanya. Ia bencana lisan yang boleh memakan kebaikan seperti api melahap kayu bakar.
Apabila mulut terjaga, marah juga lebih berupaya ditahan. Daripada 'Abdullah bin 'Umar, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Yang disebut dengan Muslim sejati adalah orang yang selamatkan orang Muslim lainnya daripada lisan dan tangannya. Dan orang yang berhijrah adalah orang yang berhijrah daripada perkara yang dilarang oleh Allah." (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Nabi SAW melatih adab bagi orang yang berpuasa iaitu membalas keburukan dengan akhlak yang baik.
Jika ada orang memaki, katakan sahaja, "Saya sedang berpuasa (menahan diri)."
Biar emosi kita terkendali dengan baik. Kata-kata itu juga mudah-mudahan menghentikan kejahatan orang yang memaki dan memadamkan amarahnya.
Itulah makna membalas keburukan dengan akhlak yang baik. Mudah-mudahan kita berjaya menjadi insan yang kuat pada pandangan Allah SWT.
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Bukanlah orang yang kuat itu yang pandai bergusti, tapi orang yang kuat adalah orang yang dapat menahan nafsunya ketika ia marah." (Riwayat Bukhari)
Tanda kejayaan berpuasa ialah kita berjaya memanfaatkan masa dan menjauhi segala perbuatan sia-sia.
Dahulukan berbuka, akhirkan sahur. Hidupkan malam dengan qiamullail dan solat Tarawih. Isi siang dengan zikir, taat dan khidmat masyarakat (termasuk bersedekah).
Berdoalah sepanjang hari khususnya ketika saat berbuka. Akhiri Ramadan dengan kesungguhan merebut lailatulqadar.
Semoga ia melatih kita mencari pengakhiran hidup yang baik dalam kesempatan usia yang terbatas ini. Ciri-ciri orang yang layak mewarisi syurga Firdaus adalah mereka yang berpaling daripada perkara sia-sia.
Tahniah dan selamat bergraduasi diucapkan buat semua graduan universiti Ramadan!
Semoga kita menggalas sifat menjadi itu sepanjang menempuhi hari-hari mendatang.
Penulis pendakwah dan penulis buku
No comments
Post a Comment