oleh: Ustaz Ahmad Syamil Md Esa
TIDAK pernah sabit di dalam sejarah Islam bahawa yang mempertahankan kedaulatan negara Islam ini adalah orang lain.
Segala perjanjian yang dibuat oleh Rasulullah ļ·ŗ bersama para yahudi, musyrikin dan munafiqin dalam dustur Madinah untuk pertahankan negara daripada sebarang ancaman, hanyalah satu bentuk hujjah kepada masyarakat bahawa memang yang benar-benar mempertahankan wilayah Islam hanyalah orang Islam sahaja.
Adakah tiada langsung orang kafir yang berperang bersama orang Islam?
Jika ada pun, ia hanyalah individu tertentu yang sangat sedikit, atas inisiatif individu, nama-nama mereka juga disebutkan dalam sejarah.
Adapun jika secara berjemaah, berkelompok, berkumpulan, maka mereka hakikatnya yang mencarik kedaulatan wilayah ini dengan berpakat dengan musuh, membiarkan ia diperkosa dan dirobek, sedikit pun tiada rasa 'ghairah' terhadap wilayah Islam, mereka hakikatnya mementingkan diri sendiri.
Atas sebab itu di dalam agenda kekuasaan dan politik, jangan sekali-kali percaya pada orang lain. Mereka (orang lain) yang naik ke tampuk politik secara berkumpulan mustahil akan memikirkan yang terbaik untuk umat Islam.
Mereka lebih mementingkan pihak mereka, kerana mereka disokong oleh pihak mereka, diberikan dana dan undi, disokong habis-habisan oleh kaum mereka, dan sedikitpun tidak meletakkan agenda memajukan umat Islam dalam langkah memajukan negara, apatah lagi mempertahankan hak-hak umat Islam dan kehormatan wilayahnya.
Sebab itu jika ada orang Islam yang percaya kumpulan politik yang didominasi orang kafir, itu akan dijadikan sebagai bahan 'normalisasi' kepada umat Islam bahawa mereka-mereka ini 'boleh dipercayai' dan 'lebih adil', serta 'bukan pilih imam tapi pilih orang yang pimpin negara' dan sebagainya.
Hakikatnya mereka ini hanyalah seperti kumpulan-kumpulan yang wujud dan pernah berjanji pada zaman Nabi ļ·ŗ, cuma berlainan nama dan bentuknya.
Saya kira ini adalah satu bentuk bid'ah yang boleh memberi kesan kepada tasawwur akidah Islam itu sendiri. Ia memisahkan dan menjuzukkan kepercayaan kepada Allah, Rasul-Nya, dan ajaran Al-Quran, dengan aplikasi sosial, politik, dan perjalanan kehidupan.
Mereka bertuhankan Allah di dalam ibadat mereka, tetapi bertuankan kafir (mengambilnya sebagai pemimpin dan penunjuk jalan) dalam kehidupan harian mereka. Alangkah buruknya !
Ia akan menyebabkan 'pertembungan' di dalam diri manusia, seterusnya membawa kepada kecelaruan, dan ia akan menatijahkan jiwa umat yang tidur, kerana lalai dengan kefasikan dan lali dengan kemungkaran.
Pakej umat yang fasik, dipenuhi kecelaruan dan bid'ah dalam iktikad dan pemikiran, serta memisahkan dunia dan akhirat, adalah pakej lengkap, untuk ia diperintah oleh pemerintah seperti firaun dan yang sewaktu dengannya, atau dijajah sekali lagi oleh penjajah tanpa kenal erti belas kasihan kepada umat ini.
Sedarlah, sebelum kita hidup menumpang di tanah air kita sendiri.
Moga Ramadan kali ini berjaya kita kembali kepada ajaran Al-Quran dan hidup dalam perjuangannya.
Wallahua'lam.
Ustaz Ahmad Syamil Md Esa ialah Ahli Majlis Ulama Isma
No comments
Post a Comment