KUALA LUMPUR - Masih terdapat pegawai lantikan politik yang mengganggu tugas-tugas penjawat awam meskipun sudah genap setahun Malaysia baharu, demikian menurut Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Azih Muda.
Beliau berkata, pihak menerima aduan terdapat staf lantikan politik yang mengganggu tugas penjawat awam.
"Ia tidak wajar berlaku dalam pemerintahan Pakatan Harapan (PH) yang sebelum ini mengecam tindakan sama ketika Barisan Nasional (BN) memerintah negara.
"Jika situasi itu berterusan, dibimbangi akan menjejaskan perlaksanaan dasar yang ditetapkan kerajaan untuk dilaksanakan demi rakyat," katanya pada sidang media hari ini.
Beliau berkata, sejak PH memerintah, sehingga hari ini pihaknya masih menerima aduan-aduan mengenai perkara tersebut.
"Ada individu yang dilantik dalam kalangan ahli politik campur urusan perkhidmatan awam.
“Harapan saya supaya gangguan-gangguan daripada saf kepimpinan politik ini tidak mengganggu dan mengambil alih tugas penjawat awam serta tidak menggagalkan usaha kerajaan," katanya yang enggan mendedahkan jumlah aduan yang diterima.
Jelasnya, Cuepacs bimbang dasar yang diputuskan kerajaan tidak akan sampai ke bawah dengan sikap beberapa individu ini," katanya.
Beliau berkata, jika ini berlaku, proses untuk kerajaan mencapai sasaran kerajaan baru akan terlambat.
"Jika ini berlaku jangan sampai penjawat awam dipersalahkan," katanya.
Dalam pada itu, Cuepacs turut merayu kepada kerajaan PH agar mengekalkan dasar pemberian pembinaan rumah kepada penjawat awam bagi membolehkan penjawat awam mampu memiliki rumah.
Katanya, terdapat kira-kira 70 peratus penjawat awam masih tidak mampu memiliki rumah kerana rumah mampu milik yang ditetapkan dengan harga RM300,000 terlalu tinggi dan tidak munasabah.
“Dasar baharu yang diputuskan kerajaan melalui pelancaran Dasar Perumahan Mampu Milik Negara dan Standard Perumahan Kebangsaan (CIS 26) akan membuatkan penjawat awam tidak mampu bersaing dengan pekerja swasta untuk memiliki rumah idaman mereka.
“Cuepacs tidak dilibatkan dalam perbincangan bagi menentukan dasar ini, jadi tinggi harapan kami agar kerajaan tidak menyisihkan mana-mana pihak termasuk Cuepacs dalam dasar pemilikan rumah untuk penjawat awam kerana nak beli rumah ni sekali saja,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, Cuepacs akan menulis surat bagi mendapatkan penjelasan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berhubung perkara itu.
Sabtu lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, melancarkan Dasar Perumahan Mampu Milik Negara dan Standard Perumahan Kebangsaan (CIS 26).
Dasar baharu itu menetapkan tiada lagi pengkhususan pembinaan rumah mampu milik untuk kakitangan awam menerusi Dasar Perumahan Mampu Milik (DRMM) Negara dan Standard Perumahan Kebangsaan.
Kerajaan juga menggalakkan kesemua pembinaan kediaman jenis itu dimiliki oleh golongan B40 daripada pelbagai sektor yang layak demi memastikan kelestarian perhubungan dalam suatu komuniti.
No comments
Post a Comment