NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pinda Akta 355 dengan tingkatkan kadar denda maksimum, tempoh penjara



KUALA LUMPUR – Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) wajar dipinda dengan sekurang-kurangnya kadar denda maksimum dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM20,000 atau RM50,000 dan tempoh pemenjaraan lebih panjang.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang, berkata Mahkamah Syariah tidak akan diperkasa jika tanpa pemindaan akta itu.

Beliau berkata, kebanyakan pesalah jenayah syariah akan membuat pengakuan bersalah (walaupun mereka tidak bersalah) hanya disebabkan kadar denda yang rendah.


Katanya, ini menyebabkan banyak kes jenayah syariah tidak berkembang dari segi akademik, perjalanan kes, laporan kes, penghakiman, penguatkuasaan dan pendakwaan.

“Hukuman sedia ada juga tidak setimpal dengan kesalahan dilakukan. Sebagai contoh, kesalahan doktrin atau ajaran sesat hanya boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun.

“Sedangkan perbicaraan kes berkenaan boleh menjangkau bertahun-tahun. Begitu juga dengan kesalahan berzina, melacurkan diri, melacurkan isteri serta anak dan sebagainya.

“Tahap kompetensi Hakim Syarie, pegawai mahkamah, peguam syarie, pendakwa syarie, pegawai penguat kuasa agama serta Mahkamah Syariah keseluruhannya akan meningkat jika Akta 355 dipinda. Jika tidak, selagi itulah Mahkamah Syariah akan berada pada takuk sebagaimana hari ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Musa berkata, kerajaan juga tidak perlu khuatir dengan bayangan Rang Undang-undang (RUU) 355 yang pernah cuba dibawa sebelum ini melalui RUU Persendirian.

“Ini kerana kerajaan boleh mengemukakan cadangan pindaan Akta 355 dalam versi lebih kemas dan tuntas berbanding sebelum ini,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Fuziah Salleh, berkata kerajaan berhasrat meminda Akta 355 sebagai langkah dan komitmen negara memperkasakan Mahkamah Syariah secara komprehensif. – Berita Harian

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo