NOTIS:
Pattani: Seorang remaja maut, 11 lagi cedera dalam letupan bom di Pasar Ramadan
PATTANI, 27 Mei (Bernama) – Seorang remaja maut dan sekurang-kurangnya 11 termasuk empat renjer cedera dalam satu letupan bom di pasar Ramadan di Pattani, selatan Thailand hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 4.15 petang (waktu tempatan) itu, orang ramai sedang membeli juadah berbuka di pasar ramadan di Pekan Bo Thong, Nong Chik, Pattani.
Ketua Polis Wilayah Pattani Mej. Jen. Pol. Piyawat Chalermsi berkata bom buatan sendiri seberat 15 kilogram itu telah diletakkan di sebuah motosikal dan diaktifkan dengan menggunakan walkie talkie.
Beliau berkata remaja berumur 14 tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian manakala sekurang-kurangnya 11, termasuk empat renjer yang sedang mengawal keselamatan di tempat kejadian mengalami kecederaan dan digegaskan ke Hospital Pattani untuk rawatan lanjut.
‘Dalam kejadian itu, lima buah kenderaan rosak teruk akibat serpihan bom manakala beberapa buah premis perniagaan turut mengalami kerosakan,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
Polis sedang menjejaki kumpulan yang mendalangi letupan itu, katanya.
Sementara itu, di YALA, seorang anggota kumpulan bersenjata maut manakala tiga renjer cedera dalam insiden berbalas tembakan di Kampung Jak Tamae, Daerah Jaha, Yala.
Jurucakap Tentera Bahagian Ke-4 Kolonel Pramote Prom-in berkata dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah hari (waktu tempatan), pasukan keselamatan bersepadu yang terdiri daripada polis, tentera dan pegawai pentadbiran mengepung rumah yang disyaki menjadi tempat bersembunyi anggota kumpulan bersenjata itu.
“Kejadian berbalas tembakan berlaku hampir tiga jam antara pasukan keselamatan dengan anggota kumpulan bersenjata itu.” katanya.
Mangsa yang cedera kini menerima rawatan di Hospital Yala.
-- BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments
Post a Comment