NOTIS:
Mana rugi, tarawih atau buka gerai?
oleh: Subky Latif
CADANGAN tangguh berniaga semasa tarawih di Kelantan ditukar dari arahan wajib kepada pilihan.
Alasannya bagi mengelakkan peniaga dan penjaja rugi sepanjang tarawih berlangsung.
Ertinya kebesaran Ramadan telah dinilai dengan kerugian peniaga yang tidak beroperasi sejam atau mana lebih pendek masa bersolat.
subkyPeniaga gerai makan sekitar kawasan tarawih boleh berniaga dari masa berbuka hingga azan memanggil solat semasa Isyak. Macam di Mekah bila dilaung azan solat waktu semua tinggal perniagaan, solat berjamaah. Lepas itu kembali ke warung.
Jual beli disambung selepas tarawih. Rugikah kalau ditangguh niaga semasa solat? Banyak mana ruginya? Dan banyak kurang keuntungan sepanjang malam kerana ditangguh bagi menunai solat antara setengah jam atau kurang dari sejam?
Setelah habis Ramadan berniagalah 24 jam sehari semalam. Rugi sangatkah?
Mana lebih rugi antara tidak berniaga sekejap dengan tidak tarawih? Untung tarawih jadi bekalan di akhirat bermula dari putus nyawa hinggalah selama-lamanya di syurga. Rugi meninggalkan tarawih tidak dapat bantuan tarawih bagi meringankan kepayahan di akhirat. Bergantung kepada pahala lain-lain ibadat saja.
Untung perniagaan semasa tarawih itu boleh makan sepanjang hidupkah? Sekalipun untungnya banyak tetapi tidak sebanyak keuntungan jika bertarawih. Mati nanti keuntungan tidak dibawa ke kubur. Untung tarawih dibawa ke kubur hingga ke syurga. Banyak tarawih apa lagi tarawih itu sempurna berganda bahagianya di akhirat termasuk ringan masalahnya di kubur dan di mahsyar.
Orang berniaga semasa tarawih tidak semestinya tidak tarawih. Mereka boleh tarawih selepas tutup perniagaan. Tentulah baginya untung kedua-duanya – tarawih dan buka gerai.
Tapi berapa orang yang sedia tarawih di luar masa orang tarawih. Macam puasa enam bulan Syawal. Puasa di tengah orang tidak puasa. Yang puasa enam amat minoriti.
Lazimnya amat kurang yang tarawih lewat.
Lebih ramai yang tidak buka gerai tidak tarawih. Kita tidak buat apa kepada mereka. Tetapi yang buka gerai mungkin tidak tinggal solat dan tidak tinggal puasa. Apa kena padanya tinggal tarawih kerana berniaga.
Jika tidak tarawih kerana jaga gerai, dan jika disabitkan dosanya. Berdosa dia. Dan dengan buka perniagaan semasa tarawih ramai pula yang tidak tarawih kerana makan dan membeli belah di premis perniagaannya, beroleh dosa kerana menyebabkan mereka tidak tarawih.
Sudahlah meninggalkan tarawih itu ada bahagian dosanya, serta mis peluang pahala, menyebabkan orang lain berdosa dan mis peluang pahala, nescaya bertambah pungutan dosanya jika Allah sabitkan.
Apabila tarawih seseorang diterima Allah tarawihnya, nescaya tiada kerugiannya selama-lamanya. Sentiasa dan terjaminlah untungnya. Pentarawihnya Ramadan ini, moga-moga dibuka Allah peluangnya terus bertarawih selagi ada usianya.
Akan tetapi orang yang memungut keuntungan berniaga dan tidak merebut keuntungan tarawih, mungkin tidak terjamin barakah keuntungannya. Allah kadang-kadang uji seseorang beroleh banyak keuntungan dari berniaga semasa tarawih, dan ini menyebabkan dia tinggal tarawih bukan sekadar Ramadan ini, bahkan Ramadan seterusnya.
Tetapi dengan tangguh perniagaan demi tarawih, insya-Allah digandakan Allah keuntungannya bagi perniagaan selepas tarawih itu.
Untung paling besar bagi peniaga ialah berniaga pada waktu yang sesuai dengan tidak mengabaikan panggilan ibadat. Untung sikit tapi barakah adalah lebih baik dari untung melimpah tetapi tidak barakah.
Jangan anggap arahan utama tarawih dari niaga menutup pintu rezeki! – HARAKAHDAILY 14/5/2019
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments
Post a Comment