NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Keputusan permohonan UPU Online diumum mulai 5 Mei


PUTRAJAYA – Sebanyak 199,626 permohonan UPUOnline lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diterima untuk kemasukan ke universiti awam (UA), politeknik, kolej komuniti dan institusi latihan kemahiran awam (ILKA) bagi sesi akademik 2019/2020, kata Kementerian Pendidikan hari ini.

"Calon-calon ini adalah layak, dan melepasi syarat am serta syarat khas program pengajian bagi kemasukan ke UA, politeknik, kolej komuniti dan ILKA," kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

Kementerian Pendidikan berkata, hebahan keputusan permohonan kemasukan ke program pengajian asasi, sijil dan diploma akan diumumkan pada 5 Mei (Ahad) mulai 12 tengahari sehingga 11.59 malam 12 Mei.

Saluran hebahan itu ialah di UPUPocket 2.0 dan lima URL lain iaitu https://jpt.umt.edu.my, https://jpt.ums.edu.my, https://jpt.unimas.my, https://jpt.utm.my dan https://jpt.uum.edu.my.

Semakan status permohonan juga boleh didapati melalui sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) ke 15888 dengan menaip UPU RESULT [NO. KP], katanya.

"Tawaran tempat adalah muktamad dan sebarang permohonan pertukaran adalah tidak dibenarkan," kata kementerian itu.
Menurut kementerian itu, surat tawaran akan dikeluarkan oleh pihak UA, politeknik, kolej komuniti serta ILKA, dan semua calon berjaya dikehendaki membuat pengesahan setuju terima tawaran dalam tempoh yang ditetapkan.

Pemohon yang gagal menerima sebarang tawaran boleh mengemukakan permohonan rayuan ke UA melalui UPUOnline Rayuan di URL http://upu.moe.gov.my dalam tempoh lima hari bekerja mulai pukul 12.00 tengah hari 5 Mei sehingga 11.59 malam 10 Mei, katanya

Rayuan ke politeknik premier, politeknik konvensional/metro, kolej komuniti dan ILKA pula boleh dibuat dengan mengemukakan permohonan terus kepada institusi berkaitan, kata kementerian itu.

"Dasar pemilihan rayuan adalah untuk mengisi kekosongan tempat mengikut program pengajian di UA, politeknik, kolej komuniti dan ILKA selepas tempoh pendaftaran pelajar baharu," katanya.

Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar (BPKP), Jabatan Pendidikan Tinggi akan membuka kaunter khidmat runding cara permohonan kemasukan ke UA, politeknik, kolej komuniti dan ILKA di ruang legar Kementerian Pendidikan, Menara 2, Presint 5, Putrajaya mulai 6 Mei 2019 pukul 8.30 pagi sehingga 4.00 petang pada waktu dan hari bekerja sahaja sehingga 10 Mei 2019.

Kemudahan hotline turut disediakan pada waktu dan hari bekerja untuk membantu menjawab kemusykilan pemohon. Talian Hotline BPKP Jabatan Pendidikan Tinggi ialah 03-8870 8200.- Bernama

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo