NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kedah: Setahun Kerajaan PH mundur, kecewakan rakyat - Suraya


ALOR SETAR – Pemerintahan setahun oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) bagi UMNO Kedah, disifatkan mundur dengan barisan pemimpin yang mengecewakan rakyat.

Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Suraya Yaakob berkata, Malaysia menjadi perhatian dunia sejak PH memerintah dengan jolokan 'Malaysia Baharu' namun ia bertukar kepada bahan jenaka oleh majoriti rakyat di negara ini khususnya netizen di alam maya.

"Ada juga pemimpin yang terpaksa menahan malu diherdik pedih setiap kali beritanya dikongsi di media sosial.

"Namun itulah realiti hari ini. Majoriti rakyat khususnya netizen tidak akan begitu sikapnya jika PH mengemudi negara dengan lebih baik berbanding Barisan Nasional (BN).

"Tapi siapa yang tidak kecewa dan marah sekiranya ditipu berkali-kali serta memberi alasan dangkal bagi setiap janji yang dimungkiri," katanya dalam satu kenyataan.

Suraya berkata, dasar kepimpinan PH juga seolah-olah mengenepikan kepentingan Islam dan bangsa Melayu, apabila tercetusnya isu ICERD yang menggugat kepentingan Islam dan kedaulatan Raja-Raja Melayu.

Beliau berkata, isu Tabung Haji, Felda serta kos sara hidup meningkat dengan harga barang melambung didakwa antara faktor yang turut mengecewakan rakyat.

"Melucukan pula bila diingatkan kisah kasut dan sarung kaki hitam, sijil palsu dan beli sijil, 'tisu' terkoyak, menoreh di musim tengkujuh, nelayan tanam nenas di belakang rumah, minum minyak sawit, 'rebranding' segala produk BN, tanam padi di waktu malam, 'U-turn' dan 'O-turn', serta banyak lagi isu-isu dan insiden yang menjadi bahan jenaka rakyat," katanya.

Dalam pada itu, katanya paling meresahkan apabila parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang diharapkan akan menjaga kepentingan agama Islam, Raja-Raja Melayu, bangsa Melayu dan Bumiputera seolah-olah gagal melaksanakan perkara tersebut.

"Hakikatnya, majoriti rakyat kini semakin tertekan. Ramai yang menyesal tersalah pilih. Lain yang diharap, lain pula jadinya. Kocek rakyat semakin bocor, dapur semakin semput tidak berasap, anak muda semakin meluap resah.

"Itulah perencanaan ALLAH SWT buat bumi Malaysia. Kerana itu diinsafkan UMNO dan dilunakkan Pas supaya umat Islam di seluruh negara kembali menyatu membentuk perpaduan untuk menyelamatkan negara sekaligus membina kembali sebuah negara bangsa yang lebih baik dan diredai ALLAH," katanya.

Suraya berkata, walaupun baru setahun PH memerintah negara namun majoriti rakyat sudah mengeluh resah kerana bimbang tentang onar yang bakal dibawa PH dalam pentadbiran negara dalam tempoh sepenggal ini.

Sumber : https://www.sinarharian.com.my/article/27263/KHAS/Kerajaan-PH/Setahun-Kerajaan-PH-mundur-kecewakan-rakyat-Suraya

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo