NOTIS:
Keadilan untuk Muhammad Adib
Seperti ramai rakan-rakan yang lain, saya turut tertanya-tanya dengan penjelasan yang diberikan bahawa arahan supaya Syazlin Mansor menarik diri dari mewakili KPKT dan JPBM dalam prosiding inkues Muhammad Adib Mohd Kassim adalah kerana wujudnya konflik kepentingan kerana Syazlin juga turut mewakili keluarga Muhammad Adib.
Lantikan Syazlin dibuat oleh KPKT dan diumumkan sendiri oleh Menterinya pada 24 Disember 2018 di mana beliau dilaporkan berkata Syazlin “akan memberikan khidmat nasihat guaman kepada keluarga Muhammad Adib dan JBPM” dan “akan turut membantu Polis Diraja Malaysia dan pihak pendakwaan dalam persediaan prosiding kes tersebut”.
Seperti ramai rakan-rakan yang lain, malah seperti Setiausaha Politik Menteri sendiri, saya turut tertanya-tanya mengapa arahan menarik diri hanya diberi pada 23 Mei 2019 dan mengapa tiada sebarang bantahan dibuat sebelum ini sedangkan lantikan ini diumumkan secara meluas dan prosiding inkues juga sudah bermula pada 11 Februari 2019 lagi.
Saya turut tertanya-tanya apa bentuk konflik kepentingan yang boleh timbul antara KPKT, JPBM dan keluarga Muhammad Adib kerana pandangan umum adalah kesemua tiga entiti ini mempunyai kepentingan yang sama, iaitu untuk melihat keadilan diberikan kepada Muhammad Adib sama ada selaku kakitangan mahupun sebagai ahli keluarga mereka.
Tidak boleh disalahkan masyarakat umum jika mereka merasakan seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena dengan pengendalian dan hala tuju prosiding inkues ini, khususnya dengan melihat kepada perkembangan mutakhir yang sedang berlaku beberapa hari ini.
Apatah lagi bila Perdana Menteri sendiri, selepas menziarahi Muhammad Adib yang sedang menerima rawatan di IJN pada 28 November 2018, berkata bahawa “melihat kepada keadaan mangsa, nampak jelas orang yang melakukannya mempunyai niat untuk membunuh”.
Begitu juga dengan blogger berpengaruh Datuk A Kadir Jasin yang menulis pada 21 Disember 2018 bahawa “penjenayah atau kumpulan penjenayah yang menyebabkan kematian beliau, tidak kira bangsa atau agama, wajib diburu dan dijatuhkan hukuman yang setimpal”.
Apa pun, marilah kita berdoa semoga keadilan akan diperolehi oleh Muhammad Adib.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments
Post a Comment