BANGI, 25 Ramadan 1440H, Khamis – Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) memberi peringatan kepada institusi Islam tertentu, yang seolah-olah menyokong tindakan pemimpin DAP mengedarkan bantuan zakat kepada penduduk Islam baru-baru ini supaya tidak menjual agama untuk harga yang murah.
Naib Presiden Berjasa, Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman menegaskan, tindakan itu bermakna institusi berkenaan secara tersirat menghalalkan promosi fahaman mungkar sekularisme, liberalisme, sosialisme dan pluralisme yang diperjuangkan DAP sejak puluhan tahun dahulu.
"Ini juga bermakna institusi Islam itu menyucikan imej ahli-ahli politik DAP yang menentang konsep negara Islam dan memperjuangkan konsep negara sekular," kata beliau dalam satu kenyataan.
Beliau berkata demikian dipercayai merujuk kepada tindakan ADUN Pulau Tikus, Chris Lee Chun Kit mengedarkan bantuan zakat kepada penduduk Islam di Pulau Pinang pada Ahad lalu.
Chun Kit dalam status dimuat naik di laman Facebook menjelaskan, kit bantuan Zakat Pulau Pinang (ZPP) itu diagihkan kepada penerima di Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bangkok Lane dan Kampung Herriot di Pulau Tikus.
Bagaimanapun, tindakannya menyerahkan kit bantuan itu mendapat kecaman daripada pelbagai pihak yang menganggap perbuatan itu sebagai mencampuri hal ehwal agama Islam.
Bagaimanapun semalam, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor dilaporkan berkata, dari sudut feqah adalah harus untuk orang bukan Islam diwakilkan sama ada untuk menerima atau mengagihkan zakat kepada golongan asnaf.
"Ini hanya yang berkaitan dengan mu'amalat dan ibadat Maliyah seperti zakat, nazar dan kaffarah. Ibadat yang berbentuk fizikal (ibadat badaniyah) seperti solat dan puasa, tidak harus diwakilkan kepada orang lain," katanya.
Beliau berpandangan agihan zakat kepada golongan asnaf oleh beberapa wakil rakyat bukan Islam di Pulau Pinang yang tular dalam media sosial tidak perlu dijadikan isu, asalkan ia tidak diselewengkan.
Dalam pada itu Ustaz Hazizi menegaskan, perjuangan sekularisme, liberalisme, sosialisme dan pluralisme adalah perjuangan mungkar, wajib dicegah.
"Sesiapa yang mempromosikan perjuangan itu turut sama melakukan kemungkaran. DAP sememangnya sedia maklum memperjuangkan segala fahaman itu untuk direalisasikan dalam negara kita sejak puluhan tahun dahulu. Mempromosikan DAP seperti mempromosikan kemungkaran fahaman perjuangan mereka.
"Amat jelas sekali dan tanpa ragu bahawa ahli politik DAP turut agih zakat demi mempromosikan parti mereka kepada orang Islam yang majoritinya masih belum menerima perjuangan batil mereka," kata beliau.
Sumber: https://www.ismaweb.net/2019/05/30/isu-agihan-zakat-usah-jual-agama-untuk-harga-murah/
NOTIS:
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments
Post a Comment