NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

"Guru: Semoga Baktimu Terus Menyinari Pertiwi"



Salam Ramadhan buat warga pendidik muslim di seluruh Malaysia ..
Selamat sejahtera buat semua guru yang budiman .

"Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa..
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta...
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara..
Jika hari ini seorang peguam menang bicara ..
Jika hari ini seorang Penulis terkemuka ..
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa...
Segalanya dimulakan oleh seorang 'GURU BIASA' ..
Dengan lembut sabarnya, mengajar tulis baca ..
(Petikan bait sajak dari tokoh Sasterawan Negara ,Dato Dr. Usman Awang ).

Dengan penuh takzim,saya mewakili Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (PENDIDIK)) ingin dedikasikan ucapan 'Selamat Hari Guru' kepada semua warga pendidik ,ustaz ,ustazah dan para asatizah di seluruh Malaysia .
Semoga sentiasa tabah dan sabar dalam mendidik anak bangsa walau di mana jua berada..

Meskipun ada waktunya, pengorbanan untuk mendidik anak bangsa dan menanamkan nilai murni dalam jiwa pertiwi tidak dihargai ,namun kesabaran dalam menjunjung tinggi profesionalisme perguruan tetap terpahat dalam diri.

Sempena Hari Guru 2019 pada tahun ini ,ketahuilah wahai ibu bapa bahawa bukan hadiah besar,pemberian kek , jambangan bunga atau perayaan besar yang warga pendidik mahukan .Bukan itu impian mutlak yang diingini dalam diari seorang guru.
Sejujurnya ,seorang guru berjiwa mulia hanya impikan agar cukuplah jasa mereka dikenang dalam sanubari,ajarannya dipatuhi ,nasihatnya diikuti,adab dan tertib dijaga bila berbahasa dan menutur bicara serta jangan meninggi suara melawan guru .

Kepada ibu bapa dan masyarakat di luar sana ..
Hargailah pengorbanan warga pendidik yang gigih mencurah bakti dalam persada pendidikan negara ..
Didiklah anak kita untuk menghormati guru di sekolah dan institusi pendidikan di mana anak kita mengutip mutiara ilmu berharga darinya.

Hormatilah guru,patuhi ajarannya dan janganlah membiarkan anak kita melawan kata guru atau bersikap tidak menghormati mereka .Ini adalah kerana ilmu guru ada keberkatannya.Umpama 'obor penyuluh kegelapan di malam yang gelap gelita' .

Biarpun guru gajinya tidak sebesar mana berbanding profesion yang lain ..
Biarlah mereka tidak bekerja di dalam bilik penghawa dingin setaraf dengan kelulusan mereka sebagaimana profesion lain ..
Biarpun gaji mereka cukup sederhana ..untuk menyara keluarga yang adakalanya menyebabkan diri mereka dipandang hina oleh golongan keluarga yang berada ..

Dalam memperjuangkan isu pendidikan dan pembelaan terhadap kebajikan warga pendidik ,ada beberapa peristiwa yang cukup menyentuh hati saya.Antaranya adalah perasaah sedih apabila menyaksikan ada segelintir warga pendidik berdedikasi , yang diheret ke mahkamah oleh ibu bapa, dimalukan di media elektronik dan media bercetak tanpa perasaan belas sehingga akhirnya berdepan dengan tindakan dibuang kerja.

Naluri hati seorang guru pasti akan tersentuh hati dan jiwa bagai dihiris sembilu, apabila niat untuk menjadikan pelajarnya menjadi insan berguna dan taat kepada ajaran ALLAH SWT disalahertikan. Antara kes yang cukup dekat di hati saya ialah Kes Ustaz Adib yang cuba mendisiplinkan pelajarnya dalam bab menunaikan solat namun ,akhirnya guru ini dihukum dan didakwa di mahkamah serta akhirnya telah ditamatkan perkhidmatannya sebagai guru.

Namun ,saya optimis dan percaya ,kehidupan guru tabah yang bergelar 'Ustaz' ini akan terus diberkati bersama ahli keluarga dan sahabat yang sentiasa memberikan kata -kata penguat semangat dan sumber inspirasi dalam meniti kehidupan yang penuh berliku dan menguji kesabaran .

Semoga hidupnya sentiasa berbahagia di dunia dan di Akhirat.Inilah doa yang kami mampu hadiahkan kepadanya.Meskipun mungkin guru ini dipandang hina atas dakwaan masyarakat yang tidak memahami kedudukan cerita sebenar, tetapi beliau adalah 'WIRA' di hati warga pendidik di seluruh Malaysia.

2 rangkap pantun didedikasikan sempena Hari Guru 2019 pada tahun ini :

Awan larat angin puputan
Gugur melayang si bunga sena
Guru ibarat permata intan
Kami menumpang sinar cahayanya ..

Lipat tuala bersusun bunga
Suntingkan kenanga berawan larat
Tiadalah upaya kami membalasnya
Dari dunia sampai Akhirat .

Akhir kata kata ,"Selamat Hari Guru "..

" Sesungguhnya ,baktimu bak segunung intan .Budimu seluas lautan terbentang .
Semoga ALLAH SWT terus merestui segala usaha murnimu.."
"Terima kasih cikgu...".

"Guru:Obor Hemah ,Menyinari Pertiwi"

Ingatan tulus :
NORMALA SUDIRMAN(CIKGU MALA)
Presiden Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (PENDIDIK).
16 Mei 2019/11 Ramadhan 1440H.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo