NOTIS:
Ancaman tiga hari tiada air
MINGGU keempat April banyak kawasan di Lembah Klang termasuk ke serata Wilayah Persekutuan diberi amaran akan ancaman tiga hari tidak berair.
Saya terharu dengan amaran dan ujian itu. Saya takut tidak dapat mandi, satu amalan sepanjang hidup saya. Lazimnya saya mandi tiga kali sehari.
Masa sekolah dulu saya mandi waktu Subuh, balik dari sekolah tengah hari dan sebelum Maghrib. Dalam alam pekerjaan tiada peluang mandi tengah hari kecuali cuti. Setelah jadi warga emas mandi sebelum Subuh, sebelum Asar dan sebelum Maghrib.
Saya tidak bimbang wuduk kerana ketiadaan air boleh tayamum.
Tidak selesa jika tidak mandi. Biar tidak makan kerana puasa, tapi jangan tidak mandi.
Selepas tempoh putus air tamat saya penuh insaf melihat air yang ditakung dan yang keluar dari pili. Syukur kerana tiga hari terancam itu saya terus mandi sekalipun berjimat. Saya teringat ibarat dari Saidina Umar al-Khatab, betapa orang taqwa berhati-hati berjalan di jalan yang berduri.
Saya berhati-hati bercermat mengguna air takut air jangan putus ketika mandi. Saya tidak pasti bolehkah cermat mandi itu disamakan berhati-hari di jalan berduri. Mungkin tidak dapat disamakan, tetapi saya terfikir begitu sebaik tidak terganggu mandi tiga hari itu.
Alangkah bersyukurnya bekalan air tidak terganggu dalam tempoh amaran itu. Saya puji jurutera air dapat mengendali menambah baik bekalan air hingga di tempat saya tinggal gangguan air tidak berlaku.
Sebelumnya saya memikir akan pengalaman kawasan dilanda banjir. Air melimpah ruah. Tidak boleh diminum. Tidak sesuai digunakan untuk memasak dan membasuh. Saya memikirkan untuk tiga hari itu akan mengalami kepayahan orang mengalami bencana.
Jika bekalan putus, air yang ditakung tidak cukup, cukupkan bekalan dari lori bantuan kecemasan memenuhi keperluan pengguna.
Bekalan air bersih adalah nikmat baru kemerdekaan dan kemajuan teknoligi. Tidak semua dapat nikmat itu sebelum merdeka. Tetapi semua dapat air dan boleh mandi dari telaga dan kolam dekat kediaman masing-masing. Kemarau boleh mengancam tetapi telaga boleh menampung keperluan minum, memsak dan istinjak.
Sekarang telaga sudah tiada termasuk di kampung. Untuk minum lembu dan kambing pun dari air yang dirawat. Apa lagi tiada ruang untuk gali telaga di kota-kota.
Tiga hari berita ancaman itu bukan manusia saja berjimat-jimatan, pokok bunga dan tumbuhan pun dapat air terhad. Bertuahlah jika hujun turun di kawasan tertentu. Bahagialah bunga dan tumbuhan dengan hujannya.
Di tempat saya, dua hari setengah panas terik tak terkira. Petang hari ketiga hujan mencurah-curah hingga ke malamnya. Esoknya hujan juga sedang orang tidak tidak terancam lagi.
Jika pokok dan tumbuhan berwajah seperti manusia, nescaya kita dapat lihak senyum dan cerianya dengan hujan nikmat untuk alam itu.
Dengan hujan selepas tempoh amaran luput, sekalian makhluk beroleh rahmatan lil alamin yang datang dalam pakej syariah. Hanya umat Islam tidak pasti adakah rahmatan lil alamin dirasai tanpa syariah?
Orang Lembah Klang sayugia bersyukur, betapa berita amaran tak berair boleh mengingatkannya tentang iman dan taqwa. Walaupun ancaman tadi tidak berlaku tetapi amaran mengenainya mengajak semua moga-moga mendekatkan diri dengan Allah. Syukur kita terlepas dari bencana ancaman itu. – HARAKAHDAILY 3/5/2019
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments
Post a Comment